Skip to main content

Daripada Bashar kepada Bashir: Iktibar pembebasan Syria

Bashar al-Asad telah pergi, diganti dengan Bashir. Kini, Syria diperintah oleh seorang teknokrat berkelulusan Kejuruteraan dan Syariah, Mohammed al-Bashir, dalam sebuah Kerajaan Peralihan hingga 1 Mac 2025, setelah mendapat mandat daripada kumpulan pembebasan yang diketuai oleh Hai’at Tahrir al-Sham (HTS) dan sekutunya.

Syria merupakan negara majoriti berbangsa Arab, mewakili 85 peratus penduduknya. Selain Arab, terdapat juga beberapa etnik lain seperti Kurdi, Druze, Turkmen,  Assyrian, Armenian, Circassian, Yahudi dan lain-lain. Rakyat Syria juga terbahagi kepada beberapa agama seperti Islam (Sunni), Alawiyah (Syiah), Kristian, Druze, Yahudi dan lain-lain.

Keluarga Asad yang mula memegang tampuk pemerintahan pada tahun 1970 sebenarnya bukan daripada majoriti Sunni, tetapi sebaliknya merupakan minoriti Nusairiah/Alawiyah yang dahulunya berpusat di kawasan pantai Latakia dan Tartus.

Alawiyah merupakan satu-satunya pecahan ideologi Syiah ideologi ekstrim (ghulāṭ) yang masih wujud pada zaman moden. Cara beragama Alawiyah juga agak berahsia, dan berlegar hanya dalam kumpulan elit tertentu dalam komuniti mereka yang hanya mewakili sekitar 15 peratus daripada penduduk Syria. Ramai kerabat Alawiyah tidak tahu-menahu akidah Alawiyah sebenar, atau bersikap taqiyyah apabila bercampur dengan majoriti Sunni di Syria.

Secara politik, negara Syria sendiri adalah produk dasar pecah dan perintah penjajah Barat. Dalam perjanjian Sykes & Picott (1916), Syria ‘difaraidkan’ kepada Perancis. Pecahan sempadan ini, antara lain, melemahkan kekuatan bangsa Kurdi, yang menjadi minoriti di Syria, Turkiye dan Iraq, sekali gus menjadi bom jangka kepada perpecahan antara kaum di negara berkenaan.

Syria hanya mula menikmati kemerdekaan pada tahun 1946. Walaupun merdeka, politik Syria sering bergolak dengan menyaksikan banyak peristiwa kudeta atau rampasan kuasa khasnya oleh pihak tentera, terutamanya semasa era Parti Ba’ath.

Sejak kekalahan Syria dan negara Arab lain pada tahun dalam Perang 6 hari pada tahun 1967, Hafez al-Asad yang merupakan Menteri Pertahanan secara terbuka menyatakan penentangan terhadap pemimpin Parti Baa’th, Salah Jadid. Akhirnya pada tahun 1970, Hafez al-Asad telah membuat rampasan kuasa dengan menyingkirkan Nureddin al-Attasi sebagai Presiden Syria pada tahun 1970.

Walaupun berjanji pada awalnya untuk memberi sinar baharu kepada Syria, akan tetapi Hafez telah memerintah secara autoritarian dengan melantik hanya penyokong kuatnya sahaja di dalam jentera kerajaan dan ketenteraan serta perisikan. Individu pembangkang akan dipenjarakan dan dihukum bunuh. Ini termasuklah kumpulan Islamik di wilayah Hama yang diperangi pada tahun 1982 selama hampir sebulan, menyaksikan sekitar 40,000 nyawa terkorban sementara lebih 100,000 menjadi pelarian.

Daripada Bashar kepada Bashir: Iktibar pembebasan Syria

Propaganda ala sosialis dilaksanakan di seluruh negara, di mana wajah dan tugu beliau dibangunkan di seluruh negara. Ramai yang jadi perisik, hingga ada gurauan menyatakan dinding-dinding di bangunan pun menjadi perisik diktator ini.

Setelah kematian beliau pada tahun 2000, jawatan Presiden digantikan oleh anak kedua beliau, Bashar al-Asad, yang ketika itu sedang menyambung pengajian sebagai doktor mata di London. Perlembagaan negara yang menyatakan Presiden hendaklah berusia melebihi 40 tahun dirombak bagi membolehkan Bashar yang ketika itu berumur 36 tahun dinobatkan. Dalam adik-beradik al-Asad, abang sulung mereka Bassel al-Asad lebih awal direkrut untuk menggantikan bapanya tetapi telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Rakyat yang bertahun-tahun ditindas mengharapkan permulaan era baharu di negara Syria. Dengan latar belakang pengajian perubatan dari Barat, warga Syria menantikan dasar pemerintahan yang lebih manusiawi. Tetapi hakikatnya, Bashar hanya menyambung legasi autoritarian ayahnya, bahkan lebih zalim. 

Sejak tahun 2011 apabila warga Syria berarak secara aman untuk mendesak Presiden mereka melakukan reformasi dalam pemerintahan, seramai 191,000 nyawa telah dibunuh oleh tentera rejim ini hanya dalam tempoh tiga tahun. Menurut laporan tidak rasmi, jumlah sebenar menjangkaui setengah juta orang.

Puluhan ribu banduan diseksa dalam penjara yang tidak berperikemanusiaan. Dunia tidak dapat melupakan serangan kimia yang digunakan ke atas penduduk Ghouta, mengorbankan ribuan nyawa, kebanyakannya kanak-kanak yang tidak berdosa. Akibat sengketa saudara ini, sembilan juta penduduk Syria menjadi pelarian. Ramai yang terkorban ketika mencuba nasib menyelamatkan diri ke negara lain. Jumlah mangsa ini lebih ramai berbanding warga Palestin yang ditindas Zionis.

Setelah 53 tahun hidup di bawah pemerintahan rejim diktator, dengan 13 tahun perang saudara, akhirnya rakyat bangkit dengan lebih tersusun setelah belajar daripada kesilapan lampau. Kumpulan pembangkang yang diketuai oleh HTS akhirnya menyatupadukan segmen rakyat Syria yang pelbagai etnik, agama dan mazhab, untuk proses awal reformasi, iaitu menyingkirkan diktator daripada tampuk pemerintahan.

Dasar inklusif yang dipamerkan oleh pemimpin HTS seperti Abu Mohammed al-Jolani, walaupun pernah terpalit dengan penyertaannya dalam al-Qaedah yang perlu difahami daripada konteks sejarah secara objektif, diterima oleh rakyat tempatan. Beliau menolak pendekatan radikal demi kepentingan negara, berjaya membuka Damsyiq tanpa pertumpahan darah. Beliau juga dengan berpakaian orang awam, menyeru rakyat supaya menyambut pembebasan ini secara aman, dan melarang daripada melepaskan tembakan ke udara atau sebarang provokasi yang menakutkan rakyat.

Sebagai warga Malaysia, banyak hikmah yang perlu ditekuni di sebalik peristiwa ini. Kita tidak tahu lagi bagaimana masa depan Syria pascapembebasan ini tetapi sekurang-kurangnya sekarang, ada kelegaan yang dinikmati oleh mereka. Umat Islam juga tidak boleh bermudah-mudahan mentafsirkan apa yang berlaku sekarang ini sebagai peristiwa khusus yang diramalkan dalam hadis akhir zaman, tetapi yang pasti ia menepati konsep menghormati karamah insan.

Dalam usaha mewujudkan negara Madani, ideologi pelampau dan ekstremisme perlu dibendung bagi mengelakkan ia membarah dan seterusnya mengundang manusia terjunam dalam kancah konflik sesama insan. Sama ada ekstrem dalam berpolitik dan beragama, sikap ini perlu dihindarkan kerana kemuliaan insan itu hanya boleh dinikmati dengan membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan berteraskan panduan wahyu. Mudah-mudahan perkara ini tidak berlaku di negara kita yang tercinta.

bashar
Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-Mel: Irfan@umpsa.edu.my

 

Reports by:
Admin UMP News