Skip to main content

Dialek Kelantan pemangkin perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Negeri Cik Siti Wan Kembang

Berlegar di media sosial tentang keakraban dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Kelantan

Negeri Kelantan merupakan negeri yang kaya dengan adat dan budaya masyarakatnya yang pelbagai. Masyarakat Kelantan terdiri daripada Melayu sebagai kaum majoriti, diikuti oleh kaum Cina, Siam, India dan paling minoriti adalah Sikh dan orang asli. Gelaran negeri Cik Siti Wan Kembang sememangnya sudah sinonim dengan negeri Kelantan yang menyimpan sejarahnya yang tersendiri. 

Selain daripada sejarah silam yang unik, Kelantan juga turut menyimpan banyak hasil seni dan budaya seperti dikir barat, mak yong, menora, permainan wau, gasing dan batik. Selain dari seni dan budaya, salah satu perkara yang telah mengangkat negeri Kelantan adalah kerana perpaduan masyarakatnya. Dewasa ini telah berlegar di media sosial tentang kejayaan negeri Kelantan yang berjaya menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum yang sukar dilihat di negeri-negeri di luar negeri Kelantan. Masyarakat luar Kelantan rata-rata meluahkan rasa kagum dengan perpaduan yang terdapat di negeri Kelantan. Secara amnya, masyarakat pelbagai kaum di negara Malaysia telah lama hidup aman damai walaupun berlainan agama, budaya dan kepercayaan tanpa sengketa, tetapi ada satu keunikan perpaduan yang dapat dilihat di negeri Kelantan. Apakah keunikan tersebut? 

Keunikan yang boleh diungkapkan kepada masyarakat Kelantan adalah keakraban perpaduan masyarakatnya yang sangat utuh, tidak mudah berpecah dan rasa kekitaan yang sangat tinggi walaupun berbeza bangsa, agama dan kepercayaan. Justeru, masyarakat Kelantan sangat sinonim dengan ungkapan “set kito jange pecoh” (masyarakat kita jangan berpecah). Ungkapan inilah yang menyatukan semua rakyat Kelantan dari pelbagai kaum dan agama. 

Rakyat Kelantan Bangga Menggunakan Dialek Kelantan

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Ikatan perpaduan yang kuat antara masyarakat pelbagai kaum di Kelantan adalah kerana rakyatnya ‘bangga’ menggunakan bahasa/dialek yang sama iaitu dialek Kelantan (kecek Klate) sebagai bahasa utama atau bahasa penghubung antara kaum Melayu, Cina, Siam, India, Sikh dan lain-lain. Tidak itu sahaja, orang Cina, orang India dan orang Siam, ada dalam kalangan mereka yang menggunakan dialek Kelantan apabila bertutur sesama ahli keluarga di rumah. Mereka tidak kekok menggunakan dialek Kelantan malahan selesa berbahasa tersebut antara ahli keluarga. 
 
 

Pempengaruh Mek Klate ini antara orang India yang menggunakan dialek Kelantan bersama ahli keluarga beliau
Pempengaruh Mek Klate ini antara orang India yang menggunakan dialek Kelantan bersama ahli keluarga beliau
Pempengaruh Mek Yun juga antara contoh masyarakat Cina yang menggunakan dialek Kelantan bersama ahli keluarganya
Pempengaruh Mek Yun juga antara contoh masyarakat Cina yang menggunakan dialek Kelantan bersama ahli keluarganya
 Bukti masyarakat bukan Melayu bangga menggunakan dialek Kelantan
Bukti masyarakat bukan Melayu bangga menggunakan dialek Kelantan
Mek Yun pempengaruh berbangsa Cina dari Kelantan yang bangga menggunakan dialek dan budaya Kelantan
Mek Yun pempengaruh berbangsa Cina dari Kelantan yang bangga menggunakan dialek dan budaya Kelantan

Begitu juga kaum Cina dan  India, mereka juga menggunakan dialek Kelantan apabila bertutur sesama mereka. Kaum Cina dan  Siam juga menuturkan dialek Kelantan dalam urusan seharian. Apa yang lebih membanggakan, masyarakat Kelantan adalah tidak kira mereka berbangsa apa, sama ada mereka bangsa Cina, India, Siam dan lain-lain mengaku diri mereka sebagai ‘ore Klate’ (kita orang Kelantan). Ini mencerminkan rasa kekitaan dan semangat patriotisme yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat bukan Melayu di Kelantan. 

  Contoh keakraban masyarakat Kelantan
 Contoh keakraban masyarakat Kelantan
Gambar diambil dari tiktok Kelantan Kito seorang nenek Cina yang bangga berbahasa Kelantan
Gambar diambil dari tiktok Kelantan Kito seorang nenek Cina yang bangga berbahasa Kelantan

Tidak dinafikan juga bahawa masyarakat bukan Melayu seperti bangsa Cina, India dan juga Siam merupakan masyarakat tertua di Kelantan memandangkan datuk nenek moyang mereka telah lama berhijrah ke Kelantan seawal abad ke-13 lagi. Kelantan juga merupakan negeri yang mengadakan hubungan persahabatan dan perdagangan dengan negeri China dan Siam pada suatu masa dahulu. Begitu juga kemasukan masyarakat India juga adalah atas sebab penghijrahan dan perdagangan semasa kegemilangan Kesultanan Melayu di rantau ini. Keunikan masyarakat Kelantan terserlah lagi apabila masyarakat minoriti ini telah berjaya menerapkan budaya masyarakat Melayu Kelantan dalam kehidupan seharian mereka sama ada dari segi pemakaian, budaya, pemakanan, perayaan dan yang paling terserlah adalah penggunaan bahasa iaitu dialek Kelantan. Masyarakat luar pasti terpegun kerana masyarakat minoriti ini fasih menggunakan dialek Kelantan sehingga seakan tidak percaya mereka ini bukan orang Melayu. 

Ternyata bahawa bahasa memainkan peranan penting dalam menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Dalam kes negeri Kelantan, dialek Kelantan menjadi bahasa yang digunakan oleh semua masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Dialek Kelantan menjadi alat penyatu semua kaum yang mana dialek ini telah mempengaruhi pula kehidupan seharian mereka seperti gaya hidup, pemakanan, pemakaian dan pemikiran. Bahasa/dialek menyatukan mereka semua sejak dari dulu sehingga kini. Kelantan tidak hanya mempunyai budaya yang unik malahan mempunyai masyarakat yang unik kerana walaupun berbeza bangsa, mereka bangga menggunakan dialek Kelantan tanpa prasangka. 

: Dr. Hasnah Hussiin
Dr. Hasnah Hussiin

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel    : hasnah@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri