Ekonomi MADANI, antara pemulihan dan kesediaan menghadapi risiko baharu
Ekonomi Malaysia hari ini sedang berada pada persimpangan yang penting. Setelah melalui tempoh yang penuh cabaran seperti pandemik, ketidakstabilan politik dan tekanan global, kini kita menyaksikan usaha bersungguh-sungguh khususnya oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke arah pemulihan dan pengukuhan struktur ekonomi negara. Dalam kerangka ini, gagasan Ekonomi MADANI muncul sebagai panduan baharu untuk merangka semula masa depan negara secara lebih inklusif, seimbang dan berasaskan nilai.
Namun, dalam menuju masa depan yang terjamin, satu persoalan utama timbul sama ada kita sedang pulih dengan betul, dan adakah kita cukup bersedia untuk menghadapi risiko baharu yang semakin kompleks? Ekonomi MADANI bukanlah sekadar satu formula ekonomi dalam erti kata konvensional. Ia adalah satu pendekatan menyeluruh yang cuba meletakkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial, antara kemajuan kebendaan dan nilai kemanusiaan. Dalam erti kata lain, Ekonomi MADANI berusaha mengatasi jurang antara angka dan realiti – iaitu jurang antara pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang membanggakan dengan rakyat biasa yang masih bergelut dengan kos sara hidup, jurang antara pelaburan mega dengan peluang pekerjaan yang sebenar untuk rakyat marhaen. Falsafah ekonomi ini membawa misi yang lebih mendalam bagi membina semula kepercayaan antara rakyat dan sistem, untuk memastikan manfaat pertumbuhan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, dan untuk melahirkan struktur ekonomi yang lebih adil serta lestari.
Dalam fasa pemulihan ini, tumpuan yang diberikan bukan hanya kepada pertumbuhan ekonomi secara angka, tetapi juga kepada ketahanan ekonomi dan keterangkuman sosial. Selain itu, usaha untuk mengukuhkan rantaian bekalan, menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta memperluas jaringan keselamatan sosial adalah antara komponen utama yang sedang digerakkan. Namun begitu, cabaran besar yang masih membelenggu adalah ketidakseimbangan antara wilayah, sektor dan kelas sosial serta masih wujud kelompok yang tercicir daripada arus pemulihan. Ekonomi MADANI harus tampil sebagai pemangkin untuk merapatkan jurang ini, bukan melalui pemberian semata-mata tetapi dengan membina kapasiti rakyat untuk berdikari dan bersaing.
Pemulihan sebenar bukan hanya bermakna negara kembali mencatat pertumbuhan, tetapi apabila rakyat dapat merasai kemajuan itu dalam kehidupan harian iaitu sama ada dalam bentuk gaji yang mencukupi, perkhidmatan awam yang cekap, mahupun peluang peningkatan taraf hidup. Dalam dunia pascapandemik dan era globalisasi baharu ini, ekonomi negara kini berhadapan dengan pelbagai risiko yang lebih mencabar sifatnya yang bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga geopolitik, teknologi dan perubahan iklim.
Oleh yang demikian, Ekonomi MADANI perlu menyediakan kerangka yang cukup tangkas untuk mengurus risiko yang tidak dapat dijangka ini. Misalnya, ketegangan geopolitik dunia bukan lagi hanya isu luar negara, tetapi boleh memberi kesan langsung kepada harga barang, pelaburan dan kestabilan pasaran tempatan. Begitu juga dengan kemajuan teknologi yang pesat, yang mampu mengganggu struktur pekerjaan tradisional, sekali gus mewujudkan cabaran baharu dalam pendidikan, latihan dan perlindungan sosial. Malaysia mesti segera bersedia dengan sistem pendidikan dan pasaran buruh yang lebih anjal dan responsif.
Selain itu, perubahan iklim kini memberi kesan langsung kepada rantaian makanan, tenaga dan tempat tinggal yang mana implikasinya daya tahan ekonomi mesti diperkukuh dengan pendekatan hijau yang strategik, bukan sekadar retorik atau kempen semata-mata. Salah satu komponen penting dalam kerangka Ekonomi MADANI adalah tadbir urus berasaskan nilai. Ia menekankan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan ekonomi, baik dalam kalangan pemimpin politik, penjawat awam mahupun pihak swasta. Sememangnya, pengalaman lalu telah membuktikan bahawa tanpa tadbir urus yang baik, segala rancangan pemulihan dan pelaburan akan gagal memberi kesan kepada rakyat. Pembaziran, ketirisan dan kelemahan dalam penyampaian dasar akan merencatkan semua usaha baik yang sedang digerakkan.
Oleh itu, Ekonomi MADANI memerlukan satu sistem yang berani memperbetulkan kelemahan lama, termasuklah sistem subsidi yang tidak bersasar, ketidak cekapan agensi awam, dan budaya kerja yang tidak proaktif. Semua ini harus dilihat sebagai reformasi menyeluruh, bukan hanya pembaikan kecil yang bersifat kosmetik. Bagi merealisasikan hal ini, rakyat tidak boleh menjadi penonton semata-mata. Ekonomi MADANI mengajak rakyat menjadi rakan kongsi dalam membangunkan negara, bukan hanya sebagai penerima bantuan atau polisi, tetapi sebagai penyumbang, pengkritik dan penggerak. Masyarakat madani, sektor swasta, akademik dan belia harus sama-sama mengangkat nilai keusahawanan, produktiviti dan daya cipta dalam menjadikan ekonomi lebih dinamik dan terbuka. Rakyat perlu dilibatkan dalam proses pembuatan dasar, melalui mekanisme maklum balas yang terbuka dan adil.
Lebih penting, rakyat perlu diyakinkan bahawa masa depan ekonomi negara adalah tanggungjawab bersama. Ia bukan hanya milik ahli politik atau elit korporat. Ekonomi MADANI merupakan sebuah janji kepada masa depan yang lebih adil, mampan dan inklusif. Namun, janji itu hanya akan terlaksana jika semua pihak benar-benar menghayati maksudnya dan komited dalam melaksanakannya. Pemulihan ekonomi tidak akan kekal jika asasnya rapuh, dan kita tidak akan bersedia menghadapi risiko baharu jika kita masih terperangkap dalam pemikiran lama. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk negara bukan sahaja pulih, tetapi bangkit dengan nilai kerana hanya dengan nilai, kita mampu bertahan dan mara ke hadapan.

Oleh: Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid Bin Ab Hamid
E-mel: rashid@umpsa.edu.my
Penulis adalah Profesor di Pusat Sains Matematik (PSM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 49 views
Reports by: