Skip to main content

Fiqh Algoritma mendepani Etika Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) Patuh Syariah

Albert Einstein seorang ahli fizik dan pemenang hadiah nobel pernah menyatakan, “Science without religion is lame. Religion without science is blind.” (Sains tanpa agama pincanglah, agama tanpa sains butalah). Integrasi kedua-dua ilmu iaitu agama dan sains sangat berperanan dalam perkembangan dunia semasa. Manusia memerlukan Sains dan Teknologi untuk melestarikan dan membangunkan alam. Sebagai pembuktian, sehingga kini proses revolusi industri 5.0 terus berkembang pesat melalui kecerdasan buatan (artificial intelligence) AI, AR, VR dan UAVs (Profesor Dr. Anitawati Mohd Lokman, 2024). Sanjungan kepada sains semata-mata akan melahirkan saintisme secara mutlak sehingga mengabaikan aspek keagamaan, adat resam, budaya, dan tata susila kehidupan sebagai seorang Muslim.

Dalam konteks Islam, perbincangan mengenai kecerdasan buatan (AI) mencetus pelbagai dimensi fikrah percambahan idea oleh pengkaji. Terutamanya dalam hal-hal berkaitan etika, kemanusiaan, serta implikasinya terhadap nilai-nilai agama. Beberapa isu berkaitan Islam dan AI yang melibatkan keagamaan, nilai dan moral perlu diselarikan dengan ajaran (syariah) Islam. Walaupun begitu, hujah al-Islam Imam al-Ghazali dalam karyanya, Ihya’Ulumuddin yang menyebut bahawa tuntutan umat Islam agar menguasai ilmu Shar’iyyah (agama) dan Ghairu Shar’iyyah (sains) tidak dapat dinafikan dalam perbincangan ini. Selari dengan pentakrifan yang diberikan oleh Ibnu Khaldun iaitu al-Ulum Naqliyyah dan al-Ulum Aqliyyah (Ghazali Muhammad, Mukhtasar Ihya Ulumuddin Terj. Irwan Kurniawan: Bandung Penerbit Mizan, 2008). Cuma dalam konteks memahami agama dan sains ini, perlu ada disiplin ilmu yang mengawalnya atau disebut sebagai manhaj memahami nas-nas al-Quran agar tidak sewenang-wenangnya ‘men-sains-kan’ al-Quran dan ‘meng-Quran-kan’ sains. Bukan semua perkara boleh disainskan dan bukan semua perkara boleh diQurankan dalam konteks perbincangan AI ini. Umpamanya dalam konteks perbahasan roh dan kehidupan selepas kematian (alam kubur) generative AI boleh menghasilkan imej orang yang sudah meninggal dunia bertahun-tahun lamanya dengan alasan kerinduan yang mendalam kepada kedua orang tua atau orang yang disayangi (Irsyad Hukum Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 5 Ogos 2024). Seseorang akan memasukkan arahan pada perisian atau aplikasi gambar yang dikehendaki kemudian menghasilkan imej digital yang boleh berbual-bual dengan roh (imej) yang dihasilkan.

Persoalan inilah yang perlu dirungkaikan menurut pandangan syarak agar selari dengan ajaran Islam, agar dalam masa yang sama kita mendukung institusi syarak dengan teknologi terkini. Inilah tema perbahasan penting untuk menterjemahkan menjadi ‘Fiqh Algoritma’ demi menjaga kemaslahatan ummah. Satu bentuk kawalan Islami (Islamic guardrail) adalah dengan membangunkan Fiqh Algoritma.

Inovasi Manusia dan AI

Kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) merupakan satu perkembangan teknologi yang dibangunkan hasil intelektual dan kebijaksanaan manusia. AI berpotensi menjadikan manusia lebih cekap, berkesan, mudah dan selesa. Perlu diingat semua bentuk teknologi dan inovasi dimungkinkan dengan izin Allah SWT. Dari perspektif Islam, tidak sama dan tidak akan menjadi lebih baik dari kemampuan akal manusia. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Tin,

inovasi manusia

Para ulama dan cendekiawan Muslim telah memperjelaskan maksud ayat di atas dengan sebaik-baik kejadian adalah merujuk kepada penciptaan tiga unsur yang terpenting iaitu penciptaan fizikal, spiritual dan akal. Komponen akal mempunyai maqam yang tertinggi dalam memandu keberadaan manusia. Selari dengan perbincangan AI dan akal yang dihasilkan oleh inovasi atas kebijaksanaan manusia.

Sumbangan ilmuwan Islam dalam bidang ilmu yang menjadi asas kepada teknologi AI memberikan tanggungjawab moral kepada umat Islam untuk memberi respons kepada perkembangan AI sebagai alat penting dalam kehidupan dengan dipandu dengan batas-batas (hudud) yang ditentukan oleh Islam (Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen b Shaikh Mohd Salleh, 2024).

Fiqh Algoritma dan Maqasid Syariah

Muhammad Aurangzeb Ahmad, seorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang AI di Amerika Syarikat memperkenalkan istilah Fiqh Algoritma yang merangkumi prinsip-prinsip kesaksamaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pembelajaran mesin (fairness, accountability and transparency in machine learning). Fiqh Algoritma boleh memandu manusia dalam etika pembangunan dan kaedah penggunaan AI berlandaskan Maqasid Syariah. Fiqh Algoritma boleh dianggap sebagai satu elemen yang boleh mengawal etika penggunaan AI secara bertanggungjawab untuk memperoleh manfaat dan mengelak mafsadah (kerosakan) kepada manusia secara keseluruhannya.

Dalam mengaplikasikan Fiqh Algoritma ini, lima objektif di bawah Maqasid Syariah perlu dilindungi secara sistematik seperti Gambar Rajah 1. 

Gambar Rajah 1: Fiqh Algoritma dan Pematuhan Syariah

 

Sumber: Hasiah Mat Salleh, Norazmi Anas, Siti Marsitah Mohd Mokhtar, Rashidi Abbas (2024)
Sumber: Hasiah Mat Salleh, Norazmi Anas, Siti Marsitah Mohd Mokhtar, Rashidi Abbas (2024)

Maqasid Syariah daripada perspektif maslahah yang dijaga terbahagi kepada tiga peringkat utama iaitu daruriyyah, hajiyyah dan tahsiniyyah. Maslahah daruriyyah ialah perkara yang mesti ada untuk kemaslahatan hidup dunia dan akhirat. Ketiadaan  maslahah itu akan menyebabkan kegagalan, kerosakan dan kemusnahan sistem kehidupan dunia berada dalam kerugian pada kehidupan akhirat (al-Shatibi, 2011). Penggunaan AI secara berleluasa perlu dilihat dari perspektif penjagaan agama, nyawa, akal keturunan dan harta (al-Ghazali, 2010).

Peringkat yang kedua ialah maslahah hajiyyah. Menurut (al-Shatibi, 2011), ia merangkumi perkara yang menjadi keperluan manusia. Dalam konteks AI, manusia perlu kepada AI kerana memberikan kemudahan dalam berurusan secara keseluruhan tetapi keperluannya tidaklah sampai kepada tahap daruriyyat. Peringkat yang ketiga adalah tahsiniyyat iaitu perkara-perkara yang bersesuaian dengan adat-adat yang baik dan menjauhi perkara yang tidak disukai oleh akal. Penggunaan AI dapat memperelok keadaan seseorang dan menyempurnakan kehidupannya dengan lebih selesa dan berkesan.

Bagaimana Fiqh Algoritma mendepani AI patuh syariah?

Hakikatnya etika sentiasa ketinggalan kepada perkembangan sains dan teknologi. Dalam banyak keadaan etika (khususnya etika kepada AI) dilihat tidak mampu memberikan respons segera kepada isu sains dan teknologi yang berbangkit. Pelanggaran nilai etika banyak berlaku pada banyak peringkat melibatkan ramai orang dari pelbagai tahap. Fiqh Algoritma yang melibatkan etika penggunaan AI akan mengawal perbuatan seseorang sama ada benar atau salah, baik atau buruk, benar atau palsu. Di samping itu, penentuan berprinsip boleh dilaksanakan dan bersifat menggalak serta mencegah. Etika bukan sesuatu yang subjektif dalam membuat analisis atau keputusan, tetapi merupakan satu tindakan mencari penyelesaian terbaik.

Apabila Sains dan Teknologi tidak dibangunkan dan digunakan berdasarkan nilai agama dan etika, kita akan sentiasa berhadapan dengan banyak bencana, musibah dan kehancuran kepada masyarakat dan dunia itu sendiri. Atas alasan ini, maka sangat penting bagi semua pihak yang berkepentingan yang terlibat dengan teknologi AI menerapkan etika dalam pembangunan dan penggunaan teknologi AI.

Seterusnya apabila dibuat penyelidikan secara terperinci natijah yang akan dihasilkan adalah timbulnya isu-isu AI secara umum dengan pematuhan syariah seperti Gambar Rajah 1. Di mana persoalan ini timbul, pengkaji akan merungkaikan secara umum melalui perbandingan yang diberi.

Jadual 1: Isu-isu AI secara umum 

 

Apabila meneroka domain baharu yang mempunyai potensi ke arah kebaikan dan keburukan, usaha mengelakkan keburukan perlu diberikan keutamaan berbanding meraih kebaikan berdasarkan objektif Maqasid Syariah.

Gambar Rajah 2: Keterikatan di antara Fiqh Algoritma dengan Maqasid Syariah

Gambar Rajah 2: Keterikatan di antara Fiqh Algoritma dengan Maqasid Syariah 

Kesimpulan

Fiqh Algoritma dan Maqasid Syariah adalah cabang ilmu yang penting dalam memahami kaedah penetapan hukum serta hikmah syariat. Objektif Maqasid Syariah adalah mendatangkan maslahah dan menolak mafsadah. Pengukuran maslahah dan mafsadah mestilah melalui kaedah-kaedah yang terdapat di dalam usul Fiqh baik secara kulli atau juz’i. Penjabaran ilmu Fiqh Algoritma dan Maqasid Syariah dapat mendisiplinkan individu agar menjadi insan yang lebih bertanggungjawab di hadapan Allah SWT.

Rujukan

al-Quran al-Karim (Pimpinan ar-Rahman)

al-Ghazali, Muhammad bin Muhammad, al-Mustasfa fi ílm al-Usul (Beirut: Dar al-Kutub al-Ïlmiyyah, 2010).

al-Shatibi,  Ibrahim  bin  Musa,  al-  muwafaqat  fi  usul  al-Shariáh
( Kaherah: Dar al-Ghad al-Jadid, 2011)

Anitawati Mohd Lokman, Prof Dr (2024). Pembelajaran Berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) Realiti Tambahan (AR) dan Realiti Maya (VR) dalam Pendidikan. Seminar Kecedasan Buatan Anjuran IKIM 11-12 November 2024.

Irsyad Hukum Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 5 Ogos 2024 Ghazali  Muhammad,  Mukhtasar  Ihya  Ulumuddin  terj  Irwan Kurniawan:Bandung Penerbit Mizan, 2008

Shaikh Mohd Saifuddeen b Shaikh Mohd Salleh Dr, Penerapan Etika dalam Peradaban Dunia. Seminar Kecerdasan Buatan Anjuran IKIM 11-12 November 2024.

Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas
Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas

Penulis adalah Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: rashidi@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri