Ingin Jadi Pelajar Minda Kelas Pertama? Kuasai Pengetahuan Am
Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang tentulah menjadi igauan setiap pelajar. Apatah lagi menjadi pelajar minda kelas pertama, bukan jalan yang mudah dan juga tidak susah untuk mendapatkannya. Sana sini kita mendengar orang bercakap tentang generasi minda kelas pertama, tetapi berapa ramaikah yang betul-betul memahami apa itu generasi minda kelas pertama? Berdasarkan misi nasional 2006-2020, teras kedua daripada lima misi yang telah digarisan oleh pihak kerajaan ialah untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama.’ Dalam hal ini, kejayaan masa hadapan bergantung kepada mutu modal insan yang dimiliki, bukan sahaja dari segi intelek tetapi juga keperibadian. Justeru, secara amnya untuk membentuk modal insan minda kelas pertama bukan sahaja bergantung kepada daya keintelektualan malahan termasuk juga nilai sahsiah diri. Kedua-dua aspek ini perlu bergabung bagi memastikan modal insan yang dilahirkan mampu membangunkan negara dari aspek duniawi dan rohani. Antara perkara penting yang perlu disematkan dalam usaha membentuk generasi minda kelas pertama adalah menguasai pengetahuan am. Pengetahuan am ini merangkumi ilmu tentang negara sendiri, isu-isu semasa, budaya dan kearifan tempatan, mengetahui bahasa asing dan akhir sekali pentingnya sikap suka membaca.
Kuasai ilmu tentang negara sendiri
Nilai penting bagi seseorang warganegara adalah kewarganegaraan. Kewarganegaraan akan mengikat seseorang dengan negaranya. Justeru, sebagai warganegara adalah menjadi kewajipan untuk seseorang itu mengetahui tentang latar belakang sejarah negara, sistem pentadbiran negara, undang-undang dan dasar negara. Ini merupakan perkara asas yang wajib dipelajari oleh rakyat Malaysia. Ia seumpama anda mempunyai sebuah rumah, jadi anda perlu tahu segala yang ada di dalam rumah anda iaitu berapa orang mendiami rumah tersebut dan peraturan dalam rumah tersebut iaitu apakah perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan di rumah tersebut. Realitinya, sebagai pemilik rumah tersebut, anda sepatutnya mengetahui semua perkara berkaitan rumah anda. Begitulah konsep ringkas bagi memahami individu dan kewarganegaraan. Pemahaman dan penguasaan ilmu tentang negara sendiri akan melahirkan pelajar yang patriotisme tidak mudah terpengaruh dengan unsur luar, menjadi duta kecil negara dan patuh pada undang-undang negara.
Kuasai isu-isu semasa
Kajian secara tidak rasmi mendapati ramai generasi muda hari ini kurang mengambil tahu dan kurang minat untuk mengetahui isu-isu semasa yang berlaku di dalam negara apatah lagi di luar negara. Mungkin kerana pelajar kurang menyedari atau melihat isu semasa tidak berkaitan dengan diri mereka dan subjek yang mereka pelajari. Para pelajar juga melihat pengetahuan am ini sebagai sesuatu yang asing, apatah lagi dengan ilmu sains, teknologi dan kejuruteraan. Ini adalah satu kesilapan. Sains, Teknologi dan Kejuruteraan sebenarnya tidak boleh hidup tanpa ilmu kemanusiaan. Isu-isu semasa yang berlaku seperti pergolakan politik, penukaran tampuk pemerintahan, suaka politik, pengangguran, pencemaran alam dan sebagainya akan membuka minda para pelajar tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka. Ini secara tidak langsung akan melahirkan pelajar yang kuat jati diri, berfikiran di luar kotak dan sentiasa bersedia dengan dunia yang sentiasa berubah.
Belajar dan ketahui budaya orang lain
Masyarakat Malaysia sememangnya adalah masyarakat yang terkenal di dunia luar. Ini disebabkan sikap masyarakat Malaysia yang sentiasa bertolak ansur, saling memahami dan tolong-menolong telah melahirkan keamanan dan kedamaian yang tidak dinikmati oleh negara luar. Satu suasana yang mustahil untuk diwujudkan sementelah berlainan agama, kepercayaan dan budaya. Tetapi Malaysia mampu membuktikan perbezaan agama dan kepercayaan tidak menghalang untuk kita terus hidup aman damai. Tetapi, ada yang menganggap perkara ini remeh dan menyebabkan ada dalam kalangan generasi baharu hari ini tidak menggunakan kesempatan ini untuk belajar dan mengetahui budaya dan kepercayaan agama atau bangsa lain. Pelajar yang berminda kelas pertama harus ikhlas dan jujur untuk mendalami budaya bangsa lain bagi melahirkan pelajar yang menghargai orang lain dan mudah diterima masyarakat walau di mana mereka berada serta mudah untuk bawa diri di tempat orang di samping sentiasa dihargai oleh orang lain.
Kuasai pelbagai bahasa
Pengetahuan tentang beberapa bahasa dunia akan menjadi tiket untuk menguasai beberapa ilmu dunia. Pelajar yang berminda kelas pertama memang wajib mengetahui lebih dari dua bahasa. Dalam hal ini, pelajar yang menguasai beberapa bahasa dunia akan memudahkan mereka meneroka ilmu dari pelbagai pelusuk negara, berkomunikasi dalam pelbagai bahasa dan ini sudah tentu akan membuka minda pelajar tentang negara luar, budaya sesebuah negara dan masyarakat sekeliling.
Banyakkan membaca
Akhir sekali, perlu banyak membaca. Ini adalah perkara yang ramai orang malas nak buat. Tetapi itulah hakikatnya orang yang banyak membaca maka banyaklah ilmu yang dia tahu dan secara tidak langsung minda orang yang banyak membaca akan lebih tinggi berbanding dengan orang yang tidak membaca. Ketahuilah bahawa negara maju kaya dengan masyarakatnya yang suka membaca. Membaca adalah jambatan ilmu, tanpa membaca macamana ilmu akan sampai kepada kita dan jika tiada ilmu yang sampai maka minda kita juga akan kosong. Bila minda kosong, bagaimana kita mahu membentuk minda kelas pertama? Membaca ini juga perlu diperluaskan kepada pelbagai isu dan bidang pengajian. Maksudnya, jika anda pelajar kejuruteraan, anda tidak boleh membaca perkara berkaitan kejuruteraan semata-mata tetapi perlu merangkumi apa sahaja ilmu yang boleh membimbing pelajar menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Disediakan Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
e-mel: hasnah@ump.edu.my
- 5012 views