Isu keselamatan jalan raya di Malaysia: Trend pakaian dalam kalangan penunggang atau pembonceng motosikal pada bulan Ramadan al-Mubarak
Penggunaan motosikal dapat dilihat sebagai salah satu pilihan pengangkutan yang dapat memudahkan urusan pergerakan seharian sama ada di kawasan bandar besar atau pun kampung. Selain itu, motosikal juga menjadi pilihan utama di Malaysia kerana melibatkan kos yang rendah, mudah dan cepat untuk sampai ke destinasi kerana mampu dikendalikan di jalan sesak dan sesuai untuk pengangkutan jarak dekat mahupun sederhana. Walaupun begitu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan dalam sidang Dewan Rakyat pada 27 Januari 2026 bahawa statistik kes kemalangan maut melibatkan penunggang atau pembonceng motosikal mencatatkan jumlah tertinggi pada tahun 2025 iaitu 4,340 kes kematian daripada jumlah keseluruhan kematian iaitu 6,537 kes. Antara faktor kemalangan maut yang telah dikenal pasti melalui banyak kajian yang dijalankan adalah faktor manusia, keadaan jalan raya dan faktor persekitaran.
Namun begitu, terdapat satu faktor yang kurang diberi perhatian dan sering kali diabaikan oleh penunggang serta pembonceng motosikal iaitu daripada segi pakaian semasa menunggang atau membonceng motosikal sepanjang bulan Ramadan. Seiring dengan perkembangan fesyen, terdapat trend yang semakin popular terutamanya dalam kalangan Muslimah iaitu pemakaian baju labuh, jubah, telekung, atau tudung yang panjang ketika dalam perjalanan menunaikan solat sunat Tarawih di surau atau masjid berdekatan dengan kediaman masing-masing. Menurut syariat agama Islam seperti dalam al-Quran iaitu surah an-Nur, ayat 31 ada menyatakan pakaian yang labuh dan longgar adalah dituntut dalam agama. Namun begitu, potongan pakaian yang terlalu labuh dan longgar serta kain tudung yang terlepas atau meleret boleh menjadi faktor penyumbang kepada berlakunya kes kemalangan motosikal. Kain fabrik yang panjang dan beralun berisiko untuk tersangkut pada bahagian motosikal yang berputar seperti rantai atau roda sekiranya tidak mengambil langkah berjaga-jaga pada peringkat awal. Hal ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan pada pakaian, malah lebih teruk lagi boleh mengakibatkan risiko untuk terjerut pada leher atau tertarik ke belakang secara tiba-tiba lalu menyebabkan kecederaan serius atau kematian. Selain itu, trend pemakaian seluar longgar seperti ‘palazzo’ atau ‘jogger pants’ dengan hujung kaki seluar yang lebar juga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Penggunaan seluar sebegini, jika tidak dipakai secara hati-hati boleh mengakibatkan kain tersangkut pada gear, rantai atau pedal motosikal seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan.
Terdapat beberapa kejadian kemalangan berlaku akibat pakaian tersangkut pada komponen motosikal telah dilaporkan di Malaysia. Antaranya adalah kejadian kemalangan melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun maut, manakala isterinya mengalami kecederaan parah dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib. Kejadian ini dilaporkan berlaku di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 2 November 2023 berpunca apabila motosikal yang ditunggangi lelaki warga emas itu hilang kawalan selepas telekung yang dipakai oleh isterinya tersangkut pada tayar belakang motosikal. Selain itu, pada 5 Mei 2025, seorang kanak-kanak cedera parah apabila tangan kirinya patah akibat baju hujan tersangkut pada rim tayar. Mangsa didapati menggunakan baju hujan yang besar dan longgar semasa kejadian.
Bagi mengatasi isu keselamatan jalan raya ini terutamanya sepanjang bulan Ramadan, kempen kesedaran dan perkongsian maklumat secara menyeluruh dalam media kepada para penunggang atau pembonceng motosikal di Malaysia perlu ditingkatkan dengan penambahan elemen pemilihan pakaian yang sesuai dan selamat ketika menunggang atau membonceng motosikal khususnya kepada kaum wanita. Bagi Muslimah yang memilih pakaian seperti jubah, baju labuh atau telekung, pastikan pakaian tersebut diikat atau dilipat dengan kemas terlebih dahulu agar tidak meleret ke bawah. Dengan melaksanakan pemilihan pakaian yang bersesuaian ini mampu mengelak kemalangan daripada berlaku seperti yang direkodkan sebelum ini. Oleh itu, faktor pemilihan pakaian juga tidak boleh dipandang remeh sebelum memulakan perjalanan menggunakan motosikal.
Selain daripada itu, pemakaian jaket keselamatan yang direka khas untuk penunggang atau pembonceng motosikal juga dapat membantu melindungi kain tudung atau baju daripada beralun. Jaket jenis ini juga biasanya ditutup sehingga paras leher, sekali gus dapat mengelakkan tudung daripada terbang dan meleret ke bawah. Jaket juga seharusnya dizipkan dengan betul pada bahagian hadapan dan perlu dielakkan untuk memakai jaket secara terbalik. Pemakaian jaket secara terbalik pula boleh meningkatkan risiko untuk jaket tersangkut pada bahagian kenderaan yang berdekatan contohnya pada bahagian cermin sisi kenderaan. Seluar yang terlalu longgar atau hujungnya lebar tanpa pengikat juga perlu dielakkan. Sekiranya ingin memakai seluar jenis ‘palazzo’ atau ‘jogger’, pastikan hujung seluar diikat atau dimasukkan ke dalam sarung kaki atau kasut untuk mengelakkan bahagian seluar tersebut tersangkut pada rantai atau pedal.
Penekanan berkaitan etika pemakaian semasa menunggang dan membonceng motosikal dapat membantu untuk mengurangkan kes kemalangan yang berpunca daripada faktor pakaian. Diharapkan semua penunggang dan pembonceng motosikal dapat mematuhi segala peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengurangkan risiko kemalangan. Bak kata pepatah, cegah sebelum terlambat agar tiada tangisan dan penyesalan di kemudian hari.

Oleh: Dr. Mohd Najib Yacob
E-mel: mohdnajibyacob@umpsa.edu.my
Penulis ialah Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 7 views
Reports by: