Kawalan diri dan nilai kemanusiaan: Panduan dalam penyelesaian masalah sosial
Berita pelajar perempuan diperkosa bergilir-gilir di dalam bilik darjah menyebabkan ramai pihak berasa berang. Sekolah yang dianggap tempat yang selamat kini diancam pula oleh perbuatan kejam pelajar yang hilang kawalan diri dan iman. Ditambah pula pelajar yang tiada nilai kemanusiaan, tanpa rasa belas merakam perbuatan jenayah, yang menjadi sebab trauma melampau kepada mangsa. Pada kesalahan mereka, banyak pihak perlu melakukan retrospeksi bagi menghentikan kesalahan besar ini berulang. Di samping undang-undang ke atas pelajar ini wajib dijalankan, tidak ada seorang pun yang boleh terlepas.
Seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara, antara nilai penting yang perlu ada pada seseorang ialah kekuatan kawalan diri dan ketinggian nilai kemanusiaan. Apabila kedua nilai ini hilang maka kemungkinan berlakunya salah laku dan jenayah akan terjadi. Individu yang mempunyai kawalan diri akan mampu mengawal emosi, nafsu dan tindakan agar tidak melanggar batas agama mahupun undang-undang. Manakala individu yang tinggi nilai kemanusiaan akan menjadikan diri menghargai nilai kehidupan, menghormati orang lain dan mampu pula berbuat baik tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan kedudukan. Hari ini kita melihat Greta Thunberg, yang merupakan aktivitis alam sekitar sebagai ikon remaja dengan nilai kemanusiaan yang tinggi. Perbezaan agama tidak menjadi halangan untuk beliau memperjuangkan kebebasan Palestine.
Apabila salah laku melibatkan individu yang beragama, khususnya penganut agama Islam, maka penyelesaian yang paling tepat ialah kembali kepada ajaran serta didikan agama itu sendiri. Islam sebagai agama yang menyeru kepada kebaikan menekankan konsep dosa dan pahala sebagai neraca utama dalam menilai setiap tindakan manusia. Dalam ajaran Islam, perkara yang haram telah dijelaskan dengan terang dan nyata, melakukannya bukan sahaja mengundang dosa, malah boleh membawa hukuman di dunia serta azab di akhirat kelak. Sebaliknya, Islam juga menegaskan bahawa setiap amalan yang baik akan diganjari pahala oleh Allah SWT. Pelaku kebaikan bukan sahaja memperoleh ketenangan jiwa bahkan mendatangkan kesejahteraan dan keselamatan hidup bermasyarakat. Setiap Muslim hendaklah sentiasa berusaha mengawal hawa nafsu daripada terjerumus ke dalam dosa serta bersabar dalam melaksanakan kebaikan sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT dan mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW. Maka perlunya seorang Muslim mempunyai kekuatan kawalan diri dan nilai kemanusiaan yang tinggi di dalam kehidupan.
Kekuatan kawalan diri di dalam ajaran Islam adalah juga dipanggil mujahadah an-nafs yang bermaksud keupayaan menahan diri dari perbuatan bertentangan dengan syariat, melawan diri dari melakukan dosa kecil dan besar seperti berzina dan memperkosa; mahupun mengekang diri dari dosa-dosa hati seperti membenci, sombong, riak, tamak dan hasad dengki. Al-Quran menyebut dalam Surah Ali Imran ayat 134 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.”
Jelas ayat ini menunjukkan kawalan diri atau mujahadah an-nafs merupakan perbuatan yang amat dikasihi Allah. Bahkan Nabi Muhammad SAW juga menyebut:
“Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.” (Riwayat Bukhari:6114).
Diambil kefahaman dari hadis Nabi Muhammad SAW ini menjelaskan bahawa kekuatan sebenar individu bukanlah pada jasad tetapi pada kekuatan jiwa dan iman bagi mengawal emosi serta nafsu. Individu yang mampu menahan diri boleh mengelak daripada tindakan yang boleh membawa penyesalan. Individu ini juga akan mampu menahan keinginan jangka pendek bagi manfaat jangka panjang.
Nilai kemanusiaan yang tinggi merupakan juga konsep ihsan dan kasih sayang kepada semua makhluk ciptaan Tuhan. Islam menganjurkan sikap hormat-menghormati, berkasih sayang dan layanan yang adil kepada semua manusia tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa. Nabi Muhammad SAW sendiri adalah contoh terbaik dalam mempamerkan nilai kemanusiaan yang tinggi. Baginda Nabi Muhammad SAW amat menghormati wanita bahkan baginda melindungi wanita seperti disebut dalam hadis,
“Jangan kamu bunuh wanita, kanak-kanak, orang tua, atau orang yang tidak terlibat dalam peperangan.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)
Mengambil iktibar apa yang terjadi kepada pelajar kita, maka ajaran dan amalan Islam perlu dikukuhkan. Ajaran agama Islam sepatutnya tidak hanya dijadikan pengetahuan semata-mata bahkan sewajibnya ia dijadikan perbuatan atau amalan berdasarkan fahaman yang benar. Oleh sebab manusia sering lalai dan gagal dengan ujian nafsu, godaan syaitan serta nikmat dunia, mereka akan mudah tersasar dari suruhan Allah SWT. Semakin mudahlah mereka melakukan dosa dan jenayah besar kerana hatinya tiada Allah SWT yang sepatutnya mereka takuti dan juga dalam hidup tiada Nabi Muhammad SAW yang sepatutnya mereka contohi.
Maka tidak kira umur, setiap individu perlunya ada guru yang membimbing ilmu fiqah, tauhid dan juga ilmu tasawuf. Ini untuk memastikan tindakan mereka sentiasa berada dalam syariat Islam, fikiran mereka diurus dengan tauhid serta hatinya sentiasa bersih dan jiwanya hidup dengan ilmu tasawuf. Guru pembimbing di sini sama ada ustaz atau yang paling terkenal adalah Mursyid di dalam tarekat, akan membantu muridnya dalam penyucian jiwa serta membimbing individu untuk mengenali Allah SWT. Proses ini adalah untuk menguatkan rohani agar mampu memberi kesan kepada perbuatan dan fikirannya. Rohani yang sentiasa berhubung dengan Allah SWT akan mampu mengawal dirinya dari mengikut hawa nafsu, mengawal diri dari melakukan dosa dan berakhlak baik dengan orang keliling.
Kegetiran masalah sosial hari ini semakin menakutkan. Jika kembali kepada ajaran Islam dianggap cliché maka perlunya kita mengorak langkah dengan lebih serius. Sebagaimana sahabat dibimbing oleh Nabi Muhammad SAW, maka perlunya setiap orang Islam mencari guru pembimbing yang benar untuk membawa kepada jalan benar. Sebagaimana pernah dijawab oleh Dr. Mohamad Zulkifli al-Bakir apabila ditanya oleh seorang pendengar radio mengenai penglibatan dalam tarekat, beliau menjawab, “Sekiranya seseorang itu tidak mampu meninggalkan dosa maka seharusnya dia menyertai tarekat.” Maka dalam setiap keluarga perlunya ada guru yang membimbing kerana pada kesalahan seorang anak pastinya disebabkan oleh kepincangan mendidik mereka.
Mendidik rohani adalah jalan utama untuk meninggikan kawalan diri dan menambah nilai kemanusiaan tinggi. Ia perlukan kesedaran ramai terutama individu dan ibu bapa. Mendidik rohani memerlukan pengorbanan, masa dan tenaga serta memerlukan kefahaman ilmu dan kesungguhan yang tinggi. Bermula hari ini, pasti satu hari akan menghasilkan pelajar dan masyarakat yang kuat jiwanya, yang mampu melakukan kebaikan yang lebih banyak dan manfaat yang lebih besar untuk dirinya dan orang lain.

Oleh: Dr. Anita Binti Abdul Rani
E-mel: anita@umpsa.edu.my
Penulis adalah Ketua Program (Pascasiswazah) Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 85 views
Reports by: