Ke Arah Kelestarian SULAM UMPSA: Pengalaman Membentuk Kepakaran
Service learning atau pembelajaran berasaskan khidmat masyarakat merupakan kaedah pengajaran inovatif yang dimulakan di negara Barat sejak tahun 1960-an. Service learning merupakan istilah global yang digunakan di seluruh dunia bagi merujuk kepada pembelajaran yang menyemai nilai kepedulian kepada masyarakat. Namun, di Malaysia istilah rasmi ini dirujuk sebagai Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM).
Idea menggabungkan pembelajaran di luar dinding universiti memberi pengalaman sebenar kepada pelajar untuk mengaplikasi pengetahuan mereka memahami masalah komuniti seterusnya menyemai empati yang tinggi. Nilai ini disepadukan bagi membentuk graduan yang akhirnya berfungsi sebagai ahli masyarakat berpendidikan yang membantu mengatasi isu-isu yang berlaku dikitaran dan ruang lingkung mereka.
Pembelajaran ini bukannya terbentuk dengan sendiri, malahan usaha pengajar yang berdedikasi dalam melaksanakan projek SULAM Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merupakan indikator usaha dan tenaga yang tidak berbelah bagi dalam menyokong hasrat universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menterjemah visi melahirkan graduan holistik. Konsistensi dan penglibatan pengajar dalam pelaksanaan projek SULAM di dalam dan luar UMPSA membentuk kredibiliti dan kompetensi seterusnya menambah merit sebagai panel pakar yang dapat membantu pelaksanaan SULAM di UMPSA. Justeru, melalui lantikan Panel Pakar SULAM, kelestarian pelaksanaan SULAM di UMPSA boleh diperoleh dengan beberapa faedah antaranya:
• Kuasa Semak dan imbang dalam tadbir urus yang lebih berstruktur: melalui latihan yang komprehensif, peranan lantikan pakar dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) membantu dalam penilaian projek SULAM yang lebih telus dan berintegriti;
• Pengwujudan rantaian kepakaran yang dikongsi bersama: ilmu dan kepakaran yang dikongsi akan dapat disebarluaskan secara sistematik tanpa berpaksi kepada PTJ tertentu;
• Meningkatkan kompetensi UMPSA menerusi latihan dan bimbingan yang intensif, penyediaan panel pakar ini akan lebih bersedia terhadap sebarang kemungkinan terutamanya apabila KPT dalam pelan perancangan jangka panjang untuk mewajibkan SULAM kepada semua insitusi pengajian tinggi (IPT); dan
• Pengukuhan identiti universiti: Penjajaran objektif, misi dan nilai UMPSA yang selari dengan misi global SDG dapat dipenuhi dengan bantuan pengajar dan pelajar bersesuaian dengan slogan UMPSA ‘teknologi untuk masyarakat’.
Plato dalam pandangannya terhadap proses pembelajaran menekankan pengalaman di mana apabila seseorang itu merasai, maka pembelajaran lebih dimaknai. Ini bersesuaian dengan model pembelajaran berasaskan pengalaman Kolb yang bukan hanya terpakai kepada pelajar, tetapi kepada pengajar yang telah melalui pengalaman pengintegrasian SULAM dalam kaedah pengajaran. SULAM UMPSA merupakan instrumen strategik dalam proses pemindahan ilmu pelajar kepada masyarakat seterusnya membentuk pemimpin masa hadapan yang peduli terhadap isu sejagat.

Training of Trainers (TOT) Panel Pakar kepada pengajar yang konsisten melaksanakan projek SULAM UMPSA

Perbincangan tadbir urus tiga penjuru iaitu Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat serta wakil Pusat Sains Kemanusiaan.

Oleh: Dr. Hadijah Ahmad
E-mel: hadijah@umpsa.edu.my
Penulis adalah Penyelaras SULAM UMPSA, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 242 views
Reports by: