Skip to main content

Kenapa Mesej Sedikit-sedikit Menyusahkan Penerima?

Dalam dunia komunikasi digital hari ini, aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram menjadi medium utama interaksi harian. Namun, tabiat menghantar mesej sedikit-sedikit atau mesej ‘berpecah-pecah’, semakin biasa dilihat. Walaupun kelihatan remeh, tabiat ini sebenarnya menimbulkan kesulitan kepada penerima dan menjejaskan keberkesanan komunikasi.

Salah satu masalah utama ialah gangguan terhadap tumpuan penerima. Apabila mesej datang berturut-turut, telefon bergetar atau berbunyi berulang kali, mengganggu fokus, terutama ketika penerima sedang bekerja, belajar atau menjalankan tugasan penting. Penerima perlu membaca setiap potongan mesej untuk memahami maksud sepenuhnya, mengambil masa lebih lama berbanding mesej yang tersusun dan lengkap.

Selain itu, mesej berpecah boleh mengurangkan kejelasan komunikasi. Idea yang dihantar dalam serpihan selalunya sukar diikuti kerana aliran maklumat tidak lengkap. Potongan awal boleh membawa maksud yang berbeza daripada mesej keseluruhan. Jika penerima bertindak berdasarkan potongan awal sebelum mesej terakhir diterima, risiko salah faham meningkat. Dalam perbualan kumpulan, mesej berpecah boleh menenggelamkan mesej lain dan menyukarkan perbincangan.

Mesej sedikit-sedikit juga menimbulkan beban mental. Setiap potongan memerlukan perhatian, walaupun singkat. Apabila mesej masuk secara berturut-turut, penerima terpaksa menilai kepentingannya berulang kali. Lama-kelamaan, ini menimbulkan keletihan digital dan perasaan serabut, sama ada dalam hubungan sosial mahupun konteks profesional.

Dari perspektif adab komunikasi, mesej berpecah-pecah boleh dianggap kurang sopan. Penghantar tidak memberikan maklumat secara tersusun. Lantas, menyukarkan penerima memahami keseluruhan maksud. Dalam urusan rasmi, tabiat ini juga menjejaskan imej profesional. Mesej yang berselerak memberi gambaran bahawa penghantar tidak menyusun fikiran sebelum menulis. Tabiat sebegini mengakibatkan persepsi buruk oleh rakan sekerja atau klien.

Tambahan pula, mesej sedikit-sedikit menyukarkan rujukan semula. Penerima yang ingin mencari maklumat tertentu perlu menatal (scroll) banyak mesej kecil untuk memahami konteks penuh. Berbanding mesej panjang dan tersusun, penghantaran mesej pendek serta berangkai lebih membazir masa dan tenaga untuk disemak.

Mesej berpecah juga meningkatkan risiko tindakan salah. Potongan awal mesej mungkin kelihatan penting atau mendesak, sedangkan mesej seterusnya mengubah konteks. Jika penerima bertindak berdasarkan potongan awal, kesilapan boleh berlaku. Dalam komunikasi kerja atau kecemasan, implikasinya mungkin menjadi serius.

Walaupun begitu, mesej sedikit-sedikit bukan sepenuhnya negatif. Dalam perbualan santai, gaya ini membolehkan penghantar menyampaikan maklumat secara spontan. Masalah timbul apabila ia menjadi tabiat buruk tanpa mengambil kira penerima.

Beberapa langkah mudah boleh diamalkan untuk mengurangkan kesan negatif mesej berpecah. Pertama, susun mesej di dalam draf sebelum dihantar supaya idea lebih tersusun. Kedua, gunakan perenggan dan tanda noktah untuk memisahkan isi. Ketiga, jika mesej perlu dihantar berperingkat, nyatakan tujuan utama terlebih dahulu supaya penerima tidak tertunggu-tunggu. Keempat, gunakan voice note atau panggilan ringkas untuk maklumat panjang atau kompleks kerana cara ini lebih cepat dan jelas.

Kesimpulannya, mesej sedikit-sedikit boleh menjejaskan kejelasan komunikasi, tumpuan dan produktiviti penerima. Ia menimbulkan risiko salah faham, beban mental dan menjejaskan persepsi profesional. Dalam era digital yang sibuk, kesedaran mengenai cara menyusun mesej bukan sahaja memudahkan penerima tetapi juga mencerminkan adab dan tanggungjawab komunikasi. Dengan sedikit perubahan tabiat, komunikasi digital boleh menjadi lebih efisien, sopan dan mudah difahami oleh semua pihak.

Ahmad Ibrahim

Oleh: Ahmad Ibrahim
E-mel: ahmadbi@umpsa.edu.my

Penulis adalah Pensyarah, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri