Kesan Covid-19 Kepada Pelajar UMP: Satu Kajian Ringkas
Pandemik Covid-19 telah mendidik rakyat Malaysia untuk hidup dalam norma baharu. Kehidupan dan aktiviti harian masyarakat kini telah banyak berubah. Salah satu bidang yang terkesan akibat pandemik ini adalah dalam sektor pendidikan sama ada di peringkat rendah atau Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Baru-baru ini, satu kajian ringkas telah dijalankan oleh para pelajar UHE3182 (Malaysian Studies) semester 2 2019/2020 bagi mengenal pasti apakah penerimaan dan permasalahan yang dihadapi oleh sebahagian pelajar UMP terhadap pandemik Covid-19. Sememangnya Covid-19 telah memberi kesan yang pelbagai kepada pelajar dari pelbagai aspek seperti kewangan, pengurusan masa, pembelajaran, dan aspek kesihatan.
Norma baharu telah mengheret sektor pendidikan negara ini ke arah penggunaan teknologi secara maksima. Untuk itu, pelaksanan pengajaran dan pembelajaran hari ini adalah menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian. Kaedah ini digunakan bagi membendung pandemik ini dari terus merebak. UMP juga mengambil pendekatan ini apabila semua pelajar dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing dan mengikuti kelas secara dalam talian.
Secara amnya, didapati sebanyak 89.5 peratus responden memilih aplikasi Google Meet sebagai platform untuk mengikuti kelas dalam talian dan 2.6 perataus pula menggunakan Kalam. Dari kajian yang dijalankan bersama pensyarah dan pelajar, aplikasi yang popular adalah Google Meet dan Google Classroom disebabkan ianya mudah diakses dan mudah digunakan. Dalam hal ini, pelajar dapat berkomunikasi dengan pensyarah dengan lebih berkesan kerana Google Meet tidak mempunyai had masa seperti aplikasi Zoom yang mempunyai had masa dan ini akan menganggu proses pembelajaran.
Salah satu perkara yang perlu diberi perhatian apabila melaksanakan kaedah ini adalah dari segi capaian internet. Ini kerana mereka terpaksa mengikuti kelas dalam talian dari rumah dan kampung masing-masing. Dari aspek capaian internet, sebanyak 52.6 peratus bersetuju bahawa mereka telah mendapat capaian internet yang baik, 31.6 peratus kurang baik dan sebanyak 7.9 peratus sahaja yang tidak mempunyai capaian internet yang baik. Kebanyakan pelajar yang mempunyai capaian internet yang baik adalah disebabkan mereka tinggal di kawasan Bandar. UMP juga sangat prihatin dan telah bekerjasama dengan pihak YTL yang telah memberikan kad sim percuma kepada pelajar dengan kapasiti 40GB serta pihak kerajaan yang menyumbang 1GB internet percuma semasa Perintah Kawalaan Pergerakan (PKP).
Mengenai penerimaan pelajar terhadap pembelajaran secara dalam talian pula, kebanyakan pelajar UMP iaitu lebih kurang 78.9. peratus sangat bersetuju pembelajaran secara bersemuka adalah lebih berkesan dalam penerimaan sesuatu yang diajar oleh pensyarah. Temu ramah secara bersemuka juga telah dilakukan di mana kebanyakan pelajar berpendapat tanpa bersemuka dengan pensyarah, agak sukar untuk pelajar bertanya soalan ditambah pula dengan capaian internet yang kurang memuaskan. Komunikasi antara pelajar dengan pensyarah sukar dilaksanakan apabila talian internet bermasalah.
Dari aspek kewangan pula, ramai pelajar yang merasa terbeban apabila mereka terpaksa mengeluarkan duit untuk membeli data internet bagi membolehkan mereka menghadiri kelas dalam talian, peperiksaan dalam talian dan juga untuk menghantar tugasan. Bagi membolehkan pelajar mengikuti kelas dalam talian, ia memerlukan talian internet yang laju, cepat dan tiada gangguan dan untuk mendapatkannya bukanlah murah. Daripada kajian yang telah dijalankan didapati seramai 70 peratus pelajar yang terkesan dengan masalah kewangan. Mereka terpaksa menghabiskan duit yang banyak bagi membolehkan mereka mengikuti kelas dalam talian dengan lebih berkesan.
Secara amnya, hampir separuh pelajar UMP mengalami masalah kewangan. Seperti yang kita ketahui, pandemic COVID-19 telah memberi kesan kepada banyak syarikat dan sektor untuk menutup operasi mereka dan ini menyebabkan kakitangan tidak dibayar upah dan ada yang kehilangan pekerjaan. Malah, ada segelintir ibu bapa pelajar yang tidak lagi mampu membayar yuran pengajian anak mereka. Rentetan daripada masalah kewangan, secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada pengajian para pelajar. Ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar tentang prestasi dan pencapaian mereka nanti. Ketidakupayaan mereka untuk mendapat capaian internet dilihat sebagai penghalang untuk mereka mendapat info tentang pengajian dan pembelajaran semasa perintah kawalan.
Ada juga sebahagian pelajar yang mengalami masalah dalam mendapatkan akses beberapa perisian berkaitan bidang kejuruteraan seperti Solidwork, Matlab, AutoCAD dan lain-lain lagi. Ini memandangkan perisian berkenaan hanya boleh diakses di dalam kampus secara percuma. PKP menyebabkan ramai pelajar sukar untuk mengakses perisian tersebut dari rumah dan ini menjejaskan usaha menyiapkan tugasan oleh pelajar tahun akhir dan juga pelajar pascasiswazah.
Mengenai pengurusan masa semasa PKP, didapati sebanyak 93 peratus pelajar tidak kira lelaki atau perempuan menghabiskan masa dengan belajar memasak. Adakah ini mengejutkan kita atau normal? Aktiviti seterusnya adalah mengulang kaji dalam talian. Ini adalah berkaitan dengan pembelajaran dalam talian yang dilaksanakan oleh pensyarah mereka. Seterusnya, membuat penyelidikan dan akhir sekali menjalankan perniagaan secara dalam talian. Secara amnya, dari aspek pengurusan masa, para pelajar didapati membuat atau merancang pengurusan masa dengan lebih berkesan semasa dalam PKP. Dari aspek penjagaan kesihatan pula, didapati sebanyak 69.4 peratus pelajar mendapat faedah dari cuti PKP ini. Antara aktiviti yang dilakukan adalah melakukan work out dan memakan makanan yang berkhasiat dan menyihatkan.
Pandemik COVID-19 sememangnya memberi kesan yang mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia kerana mereka terpaksa membiasakan diri mereka melakukan aktiviti yang di luar norma kebiasaan mereka. Kita semua tidak tahu bilakah COVID-19 akan hilang, tetapi adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan virus ini tidak terus tersebar. Para pelajar terutamanya, perlu bijak menguruskan masa agar pembelajaran mereka tidak terganggu dan memanfaatkan teknologi yang ada untuk peningkatan akademik mereka.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP)
Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
e-mel: hasnah@ump.edu.my
- 47713 views