Lagu Raya Hari Ini: Ke Mana Hilangnya Nilai Estetika?
Lagu Hari Raya merupakan sebahagian daripada khazanah budaya masyarakat Melayu. Setiap kali menjelang Aidilfitri, lagu-lagu ini bukan sekadar hiburan, malah menjadi medium yang membangkitkan nostalgia, emosi kekeluargaan dan memori kolektif masyarakat. Namun, jika diperhatikan dengan lebih teliti, karya-karya hari raya generasi baharu dilihat semakin kehilangan nilai estetika dan arah dalam penghasilan karya.
Rentak Muzik yang Tidak Menarik
Banyak lagu hari raya masa kini dibina dengan struktur muzik yang terlalu ringkas. Rentaknya mudah, berulang dan sering dihasilkan melalui teknik programming digital semata-mata. Walaupun pendekatan ini menjadikan lagu mudah didengar dan cepat tular, dari sudut estetika muzik, ia memperlihatkan kemiskinan kreativiti generasi hari ini. Amat menyedihkan lagi, apabila lagu tersebut dihasilkan melalui asas kecerdasan buatan (AI) dan diolah semula.
Berbanding karya lama yang kaya dengan susunan muzik, penggunaan instrumen yang pelbagai dan permainan melodi yang halus, lagu hari raya hari ini sering kedengaran hampir serupa antara satu sama lain. Nilai kehalusan komposisi semakin digantikan dengan formula muzik yang bersifat segera dan komersial.
Lirik Tanpa Keindahan Bahasa
Keindahan seni Melayu sejak dahulu terletak pada kekuatan bahasanya. Jika ditelusuri lagu-lagu lama, lirik tidak sekadar menyampaikan makna, tetapi dihiasi dengan metafora, simbol dan ungkapan puitis yang memberi ruang kepada pendengar untuk menafsir dan merasai makna yang lebih mendalam.
Sebaliknya, banyak lirik lagu hari raya masa kini menggunakan pendekatan yang terlalu langsung. Kata-kata seperti “Selamat Hari Raya”, “Maaf zahir batin” atau gambaran kegembiraan pulang ke kampung diungkapkan secara terus tanpa pengolahan bahasa yang indah. Apabila bahasa kehilangan lapisan makna dan kehalusan, maka nilai estetika dalam karya tersebut turut merosot.
Visual yang Melampaui Batas Kesederhanaan
Perkembangan media sosial turut mempengaruhi cara lagu dipersembahkan kepada khalayak. Video klip kini menjadi elemen utama dalam mempopularkan sesebuah lagu. Namun, dalam banyak keadaan, penekanan terhadap unsur hiburan visual kadangkala melampaui batas kesederhanaan budaya Timur. Lebih menyedihkan, penari-penari berbusana Melayu lengkap tetapi tarian yang dikareografkan dikategorikan terkinja-kinja.
Tarian yang berlebihan dan gaya persembahan yang terlalu sensasi menjadikan lagu Hari Raya lebih menyerupai hiburan pop semata-mata. Sedangkan secara tradisinya, lagu Hari Raya membawa suasana kesyukuran, kesederhanaan dan nilai kekeluargaan.
Kekuatan Lagu-lagu Evergreen
Jika dibandingkan dengan karya tokoh muzik seperti Dato’ M. Nasir, Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad, Allahyarhamah Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini dan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, jurang kualiti antara lagu hari ini dan generasi lama menjadi semakin jelas.
Karya-karya mereka memiliki kekuatan melodi yang kukuh, susunan muzik yang kaya dan lirik yang puitis. Lagu-lagu ini bukan sahaja popular pada zamannya, malah terus hidup merentas generasi kerana nilai seninya yang tinggi.
Simbolisme yang Halus dalam Lagu Lama
Contoh yang sering disebut ialah lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Menariknya, lagu ini tidak menyebut secara langsung perkataan “Hari Raya”.
Namun, setiap kali lagu ini dimainkan, masyarakat secara spontan mengaitkannya dengan suasana pulang ke desa menjelang Aidilfitri. Inilah keindahan estetika seni, makna disampaikan melalui gambaran emosi dan simbolisme, bukan sekadar melalui penyataan yang literal.
Dilema Artis Generasi Lama
Fenomena lain yang dapat diperhatikan ialah apabila sebahagian artis yang sebelum ini dikenali dengan karya berkualiti tinggi turut menghasilkan lagu hari raya yang mengikut formula muzik semasa. Dalam usaha menyesuaikan diri dengan selera pasaran, karya yang terhasil kadangkala terasa janggal dan tidak lagi mencerminkan kekuatan identiti seni mereka.
Keadaan ini memperlihatkan tekanan industri hiburan yang semakin dipengaruhi oleh trend digital dan budaya viral.
Mengembalikan Martabat Lagu Hari Raya
Perubahan zaman tidak semestinya membawa kepada kemerosotan nilai seni. Inovasi tetap penting, tetapi ia perlu berlaku tanpa mengorbankan keindahan muzik, kekuatan bahasa dan nilai budaya yang menjadi asas kepada seni Melayu.
Lagu hari raya bukan sekadar karya bermusim. Ia adalah sebahagian daripada memori budaya bangsa. Oleh itu, usaha untuk mengangkat semula nilai estetika dalam karya-karya baharu amat penting agar generasi akan datang masih dapat merasai keindahan yang sama seperti yang diwarisi daripada karya-karya agung terdahulu.
Kesimpulanya, kita menyambut kemenangan setelah sebulan berpuasa secara sederhana. Hari Raya merupakan hari kemenangan umat Islam. Lagu-lagu juga memainkan peranan penting kerana mewujudkan suasana. Kita Orang Timur, berADAB Sopan amalan kita.
…..“Hai di hari begini
Kita menjamu selera
Kita bermaaf-maafan
Di suasana hari raya”…
-Suasana Hari Raya, Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini-

Oleh: Mohd Zaki Ahmad
E-mel: mohdzaki@umpsa.edu.my
Penulis ialah Pengarah, Pusat Kebudayaan (PusKeb), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 39 views
Reports by: