Mata Pelajaran Umum (MPU): Membina Insan Bukan Sekadar Graduan
Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 bertemakan ‘Memacu Lonjakan Pendidikan Negara’ telah dilancarkan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 20 Januari 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Kuala Lumpur. Ia merupakan pelan strategik satu dekad untuk transformasi pendidikan negara di mana agenda utama yang akan diberikan perhatian adalah:
1. Matriks Pembelajaran Malaysia bagi mengukur pencapaian murid tahun 4 dan tingkatan 3 secara berpusat;
2. Kanak-kanak berusia enam tahun berpeluang masuk darjah satu secara sukarela;
3. Bahasa Melayu dan Sejarah wajib untuk semua warganegara mengikut kurikulum kebangsaan;
4. RM100 juta untuk naik taraf bilik guru;
5. Reformasi sekolah kebangsaan; dan
6. Laluan TVET sejak peringkat sekolah rendah – kurikulum persekolahan 2027.
Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 (RPTM 2026–2035) dibangunkan melalui proses kolaboratif dan perundingan yang dipacu oleh pemikir terkemuka Malaysia dengan lebih 8,000 pihak berkepentingan dan individu yang terlibat dalam memberikan input dan maklum balas. Ini menonjolkan komitmen Malaysia dalam memperluas akses pendidikan sambil membina sistem yang berterangkum dan berdaya saing di peringkat global. Apa yang menarik dalam RPTM 2026-2035 kali ini adalah buat julung kalinya subjek MPU telah diangkat sebagai salah satu elemen penggerak dalam agenda pembangunan pendidikan negara.
MPU dan Aspirasi Negara
Pemerkasaan MPU dilihat selari dengan keperluan negara untuk melahirkan pemimpin beretika, pekerja berdaya tahan dan warganegara bertanggungjawab. Dalam tempoh 2026–2035, MPU berpotensi menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan tinggi yang lebih manusiawi melalui penerapan nilai-nilai kemanusiaan dan kenegaraan. RPM 2026–2035 akan menjadi jambatan untuk menangani isu pembelajaran, kurikulum, bakat murid, cabaran teknologi Kecerdasan Buatan (AI), profesionalisme pendidik, prasarana, bakat murid, profesionalisme pendidik, pihak berkepentingan, pihak industri serta kecekapan tadbir urus. Tidak terkecuali, RPM 2026-2035 akan membina legasi pendidikan yang menjamin kesiapsiagaan rakyat Malaysia menghadapi masa depan.
Konsep Subjek MPU
Mata Pelajaran Umum (MPU) merupakan kursus wajib yang diperkenalkan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Selain pelajar tempatan, MPU juga menjadi salah satu pendekatan untuk menggalakkan pelajar luar negara mempelajari sejarah, budaya dan persekitaran yang terdapat di Malaysia. Subjek MPU dirombak dan diajar dalam bahasa Melayu di semua universiti, menekankan pendidikan Perlembagaan dan Sejarah Malaysia kepada pelajar Malaysia. Landskap pembelajaran dan pengajaran kursus MPU semakin meningkat sejajar dengan keperluan pasaran kerja iaitu kemahiran digital dan teknologi terkini. Antara subjek MPU seperti Tamadun Islam dan Tamadun Asia serta Hubungan Etnik. Seterusnya digantikan pula dengan subjek Penghayatan Etika dan Peradaban serta Falsafah dan Isu Semasa. Bagi memperkukuh lagi usaha menanamkan nilai kemanusiaan, etika dan kenegaraan, dua kursus baharu akan diperkenalkan di institusi pengajian tinggi (IPT) sedikit masa lagi. Ia wajib diikuti semua pelajarnya iaitu kursus ‘Aspirasi Pembinaan Negara Bangsa’ serta ‘Falsafah dan Pemikiran Kontemporari’, hasil rombakan terhadap kursus ‘Etika dan Peradaban’ dan Falsafah dan Isu Semasa. Menurut Zambry Abd. Kadir's (December 2025), MPU bukan lagi subjek sampingan atau diajar sekadar untuk memenuhi keperluan kredit secara tangkap muat tetapi perlu diangkat sebagai teras pembinaan jati diri, pemikiran kritis dan nilai kenegaraan mahasiswa. IPT bukan hanya berperanan melahirkan graduan berkemahiran tinggi, tetapi turut memikul tanggungjawab besar dalam membentuk watak, kefahaman sejarah, kesedaran peradaban serta rasa tanggungjawab terhadap negara dan masyarakat.
MPU sebagai Wahana Memanusiakan Pendidikan Tinggi
Dalam arus globalisasi dan revolusi teknologi yang pesat, pendidikan tinggi tidak lagi boleh berfungsi semata-mata sebagai kilang melahirkan tenaga kerja berkemahiran teknikal. Sebaliknya, universiti perlu menjadi ruang pembinaan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan sosial. Di sinilah Subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) memainkan peranan penting sebagai wahana memanusiakan pendidikan tinggi Malaysia. Pembangunan modal insan merupakan teras utama kemajuan negara dalam dekad mendatang. Dalam menghadapi cabaran global seperti ketidaktentuan ekonomi, transformasi digital dan perubahan struktur sosial, Malaysia memerlukan graduan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi juga mempunyai nilai-nilai etika, kemanusiaan dan semangat kenegaraan yang tinggi. Dalam konteks ini, Subjek MPU menjadi instrumen strategik bagi menyokong aspirasi pembangunan modal insan bersepadu seperti yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 yang menekankan pembangunan modal insan berteraskan nilai dan kemanusiaan. Peranan Strategik MPU dalam Pendidikan Tinggi MPU berfungsi sebagai pelengkap penting kepada pengkhususan akademik dengan memberi penekanan kepada pembentukan jati diri kebangsaan dan perpaduan, pemahaman sejarah, perlembagaan dan peradaban. Dengan ini, MPU akan membantu membentuk graduan yang seimbang antara kecerdasan intelektual dan kematangan insaniah.

Subjek MPU akan berperanan sebagai ‘memanusiakan manusia’
MPU Teras Pembinaan Insan Holistik
Konsep Pembinaan Modal Insan holistik merujuk kepada pembangunan individu secara menyeluruh yang merangkumi aspek pengetahuan dan kemahiran profesional, nilai, etika dan integriti, kepimpinan dan tanggungjawab sosial, pemikiran kritis dan kesedaran global. Dalam hal ini, MPU menyediakan landasan untuk menyepadukan dimensi ini agar graduan bukan sahaja berilmu dalam bidang teknikal, malahan mampu menyumbang kepakaran untuk negara dalam pelbagai sektor. MPU diwujudkan bukan sekadar memenuhi keperluan kurikulum, tetapi sebagai instrumen strategik untuk membentuk graduan yang mempunyai jati diri kebangsaan, kefahaman nilai, etika dan peradaban,keupayaan berfikir kritis dan empati sosial. Melalui kursus Aspirasi Pembinaan Negara Bangsa’, ‘Falsafah dan Pemikiran Kontemporari’ serta Perlembagaan dan Masyarakat Berintegriti, MPU mampu membina dimensi kemanusiaan yang sering dipinggirkan dalam pendidikan berorientasikan peperiksaan dan kebolehpasaran dalam industri semata-mata.
MPU Memanusiakan Teknologi
Kemunculan Kecerdasan Buatan (AI), Automasi dan Ekonomi Digital menuntut graduan yang bukan sahaja cekap teknologi, tetapi juga mampu membuat pertimbangan moral, berkomunikasi secara beretika dan menghormati kepelbagaian. MPU berperanan sebagai benteng nilai yang memastikan kemajuan teknologi tidak menghakis nilai kemanusiaan. Dalam konteks ini, MPU membantu pelajar memahami persoalan seperti tanggungjawab sosial profesional, etika penggunaan teknologi, hubungan antara ilmu teknologi dan ilmu kemanusiaan.

Etika penggunaan teknologi sangat penting di era teknologi maklumat yang tiada sempadan
MPU Selari dengan Falsafah Pendidikan Negara dan Rukun Negara
Tidak syak lagi pemerkasaan MPU adalah sangat tepat dan ia dilihat sangat selari dengan Falsafah Pendidikan Negara dan Rukunegara.
Falsafah Pendidikan Negara
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2018).
Rukun Negara
Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan
Ternyata bahawa Falsafah Pendidikan Negara ingin melahirkan modal insan yang menyeluruh dari aspek intelek, rohani dan jasmani. Elemen seperti tanggungjawab, berakhlak mulia, keharmonian dan kemakmuran adalah terangkum dalam subjek MPU. Begitu juga kelima-lima prinsip Rukun Negara juga sangat berkait dengan subjek MPU untuk melahirkan modal insan yang mengamalkan ajaran agama, mempunyai ilmu kenegaraan dengan menghormati pemimpin dan negara, menghormati undang-undang serta mengamalkan nilai-nilai etika yang baik.

Ilmu teknikal dan ilmu kemanusiaan perlu seiring
Secara amnya, memperkasakan subjek MPU bermakna mengangkat semula tujuan asal pendidikan iaitu untuk membentuk manusia dan bukan sekadar graduan. Dalam usaha Malaysia melahirkan generasi masa hadapan yang berdaya saing di peringkat global, MPU perlu terus dimartabatkan sebagai nadi kemanusiaan dalam sistem pendidikan tinggi negara. Hanya dengan pendidikan yang memanusiakan insan, baharulah kemajuan yang dicapai benar-benar bermakna. Pemerkasaan MPU bukan sekadar pembaharuan kurikulum, tetapi satu komitmen nasional terhadap pembangunan modal insan bersepadu. Dengan pelaksanaan yang strategik dan berkesan, MPU mampu menjadi tunjang kepada usaha Malaysia melahirkan generasi graduan yang berilmu, berakhlak dan bersedia menghadapi cabaran global secara lestari.
Kami di Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyambut langkah baik kerajaan MADANI yang mengangkat dan memperkasakan subjek MPU sebagai salah satu elemen penting dalam Rancangan pendidikan tinggi negara. Ini kerana sebagai sebuah IPT yang berteraskan Sains dan Teknologi, elemen kemanusiaan melalui subjek MPU akan dapat melahirkan graduan yang mampu beradaptasi dengan dunia digital dan pada masa yang sama mampu mengangkat nilai-nilai kemanusiaan sehingga ke peringkat global. Pemerkasaan subjek MPU merupakan julung-julung kalinya terpilih sebagai antara agenda penting Rancangan Pendidikan Tinggi Negara Malaysia. Ini secara tidak langsung akan mengangkat subjek yang selama ini dianggap sebagai subjek picisan, subjek servis menjadi penyuntik nilai kemanusiaan dalam pembentukan modal insan secara bersepadu dan menyeluruh. Pemerkasaan MPU memerlukan sokongan semua pihak iaitu kerajaan, kementerian, industri, pendidik, ibu bapa dan pelajar.

Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 35 views
Reports by: