Membangun Modal Insan Berjiwa MADANI: Nadi Kelestarian Agenda 'Teknologi untuk Masyarakat' di UMPSA
Era pascapendemik menuntut landskap pendidikan tinggi negara untuk lebih versatile demi kekal relevan dalam dunia yang kini lebih kompleks. Kompleksiti ini telah didorong oleh dualism yang wujud rentetan daripada kewujudan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang pantas mengubah cara kerja, dan dalam pada masa yang sama, masih perlu mengekalkan sumber manusia yang mempunyai nilai yang tinggi. Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), sebagai sebuah institusi yang menjunjung falsafah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju, memegang amanah besar dalam merealisasikan slogan keramat ‘Teknologi untuk Masyarakat’. Slogan ini bukan sekadar retorik, namun ia adalah janji universiti untuk menterjemahkan inovasi makmal kepada solusi kehidupan nyata.
Namun, sering kali kita terlupa bahawa teknologi hanyalah wadah namun penggerak utamanya tetap manusia. Di sebalik mesin canggih yang sedang berfungsi di makmal dan algoritma kompleks yang wujud, berdirinya satu entiti yang menjadi tulang belakang kepada kelangsungan ekosistem ini iaitu modal insan. Justeru, dalam keghairahan mengejar penarafan global, kita seharusnya tidak meminggirkan peranan jentera pentadbiran dan pengurusan bakat. Persoalannya, bagaimanakah transformasi pengurusan sumber manusia di UMPSA mampu menjadi pemacu utama kepada aspirasi Ekonomi MADANI, sekali gus memastikan teknologi yang dijana benar-benar menyantuni masyarakat?
Dalam menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan bakat yang kalis masa hadapan, naratif pengurusan sumber manusia di UMPSA perlu melalui fasa evolusi yang radikal. Jabatan Pendaftar nekad untuk terus bertindak sebagai rakan strategik yang proaktif dalam mencorak hala tuju universiti.
Analitik data raya (big data analytics) yang kini menjadi satu keperluan imperatif akan dimanfaatkan dalam perancangan tenaga kerja. Unjuran keperluan tenaga kerja dengan kompetensi yang tepat akan diwujudkan bagi menyokong hala tuju penyelidikan universiti untuk tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang. Jabatan Pendaftar melihat penekanan kepada pembangunan para pentadbir perlu diberi perhatian dalam mencapai hasrat menjadikan UMPSA juara arena TVET. Seiring dengan kemajuan, para pentadbir perlu berupaya untuk membudayakan inovasi dalam tugasan bagi memastikan kecemerlangan dapat terus dicapai. Selaku penasihat utama kepimpinan universiti, para pentadbir perlu mampu berfikir secara kritis untuk menyelesaikan masalah birokrasi yang boleh merencatkan pertumbuhan inovasi.
Selain kecekapan teknikal, kejayaan sesebuah organisasi moden tidak wajar diukur menerusi petunjuk prestasi utama (KPI) yang bersifat angka semata-mata. Di sinilah gagasan Malaysia MADANI yang digarap oleh Kerajaan Persekutuan menjadi kompas panduan, khususnya menerusi teras ‘Ihsan’ dan ‘Kesejahteraan’. Teknologi yang sering kali dipersepsikan sebagai elemen yang kaku, dingin, dan tiada jiwa perlu ’dimanusiakan’ menerusi sentuhan ihsan manusia.
Aspek kesihatan mental yang boleh dicapai menerusi keseimbangan kerjaya dan kehidupan perlu dijadikan keutamaan. Setiap usaha dan pendekatan yang diambil perlu bersifat empatik memandangkan tekanan ekonomi serta tuntutan kerja yang kian meningkat. Hasil kajian dari pelbagai pelosok dunia telah turut membuktikan bahawa kebajikan emosi pekerja mempunyai perkaitan terus dengan peningkatan produktiviti yang signifikan. Inisiatif seperti waktu bekerja anjal, program sokongan kaunseling, dan penyediaan ekosistem kerja yang kondusif bukan sekadar satu keistimewaan, sebaliknya merupakan prasyarat untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 8: Pekerjaan yang Layak dan Pertumbuhan Ekonomi dengan harapan penyampaian perkhidmatan yang efisien kepada pelanggan utama dapat dicapai.
Seterusnya, aspek tata kelola yang telus dan berintegriti merupakan benteng kepada kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan dan sebagai Badan Berkanun Persekutuan, UMPSA menerusi pelbagai inisiatif Jabatan Pendaftar, perlu meneruskan komitmen dalam memperkasakan pendigitalan proses sumber manusia secara holistik dan komprehensif.
Peralihan daripada pengurusan konvensional berasaskan fizikal kepada platform digital bersepadu bukan sahaja meminimumkan jejak karbon yang turut menyokong agenda SDG 13 iaitu Tindakan Iklim, malah berupaya mengurangkan ruang ketirisan dan salah laku. Sistem pengurusan berasaskan data akan menyuburkan budaya meritokrasi. Apabila sistem tadbir urus dalaman bersih dan cekap, ia secara tidak langsung mengangkat imej UMPSA sebagai institusi yang bukan sahaja unggul teknologinya, tetapi juga beradab dan beretika yang seterusnya menjadi bukti komitmen universiti dalam mendokong prinsip ketelusan dan tatakelola terbaik yang ditekankan oleh pimpinan negara hari ini.
Akhir sekali, dalam usaha UMPSA melebarkan sayap ke persada antarabangsa dengan menarik minat pelajar serta tenaga pakar luar negara, setiap warga kerja pentadbiran memikul tanggungjawab sebagai duta kecil universiti. Penguasaan kompetensi komunikasi silang budaya dan penguasaan bahasa global dalam kalangan staf adalah kritikal. Warga UMPSA perlu mampu menyantuni rakan kolaborasi global dengan profesionalisme tinggi yang mencerminkan citra universiti yang bertaraf dunia. Jabatan Pendaftar memainkan peranan dalam menyediakan latihan dan pendedahan dalam memastikan staf universiti kekal profesional dan tidak kekok sekali gus menyokong agenda pengantarabangsaan universiti.
Secara keseluruhannya, aspirasi ‘Teknologi untuk Masyarakat’ seharusnya bermula dari bakat universiti. Kecanggihan teknologi tidak akan bermakna tanpa bakat yang berkompetensi, berintegriti, dan sejahtera jiwanya. Jabatan Pendaftar UMPSA akan terus komited menjadi nadi yang memperkasakan seluruh warga universiti dan terus memainkan peranan yang proaktif sebagai rakan strategik kepada pengurusan universiti. Kecekapan teknologi dan nilai kemanusiaan MADANI, akan dijadikan asas dalam membina sebuah universiti yang bukan sahaja gah dari segi fizikalnya, tetapi sebuah institusi yang memartabatkan kemuliaan insan demi kesejahteraan sejagat. Inilah legasi sebenar yang ingin kita tinggalkan untuk generasi masa hadapan, sebuah legasi di mana teknologi dan nilai kemanusiaan berjalan seiring.

Oleh: SITI SAKINAH MOHTAR
E-mel: ssakinah@umpsa.edu.my
Penulis adalah Eksekutif Kanan, Jabatan Pendaftar, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 2 views