Membudayakan Integriti dalam Kehidupan
“If you lose your integrity, you’ve lost everything."
Apa yang kita boleh tafsirkan dengan ayat di atas? Kenapa integriti itu begitu penting sekali sehingga adanya pepatah seperti di atas?
Apa maksud integriti? Kita sering mendengar di pelbagai peringkat menyebut perkataan integriti. Dari borak kosong di kedai kopi sehinggalah ke perbahasan Parlimen oleh ahli-ahli politik, semuanya berbicara berkenaan integriti. Adakah kita sendiri faham akan makna atau maksud yang terkandung di dalam perkataan integriti tersebut?.
Perkataan ‘integriti’ dalam bahasa Melayu dipinjam daripada perkataan ‘integrit’ dalam bahasa Inggeris yang mempunyai makna generic ‘the quality of being honest and having strong moral principles’. Sementara kamus dwibahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1985 pula mendefinisikan integriti sebagai kejujuran, ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Ini bermaksud integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya dan lain-lain. Dalam erti kata lain, integriti adalah semua nilai-nilai murni yang perlu ada pada setiap individu atau organisasi.
Sering kita mengaitkan soal integriti ini dengan rasuah. Isu rasuah merupakan salah satu cabang dalam integriti. Bagi penulisan kali ini saya tidak akan menyentuh soal rasuah. Sebenarnya penggunaan integriti merangkumi tatakelakuan yang melibatkan isu-isu nilai, etika dan pegangan agama seseorang. Secara ringkasnya, integriti boleh di bahagikan kepada dua bahagian iaitu integriti individu dan integriti organisasi. Integriti individu merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu dan kualiti ini berteraskan kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi. Ini bermakna, integriti ialah keselarasan di antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum.
Integriti organisasi pula tercermin dalam perumusan dan perlaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika berkenaan ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi (corporate culture).
Tidak perlu kita melihat soal integriti di dalam organisasi kita sekiranya kita sendiri masih bergelut untuk menjadi seorang yang berintegriti. Kenapa saya katakan sebegitu? Lihat keadaan sekeliling kita di pejabat. Sepanjang tempoh sembilan jam bekerja di pejabat, berapa lamakah kita mengambil masa untuk melayan perbualan atau melayari sosial media di telefon bimbit, atau bersembang dengan rakan sekerja? Tanya diri sendiri pernahkah kita mengambil waktu bekerja untuk menyelesaikan urusan peribadi seperti keluar pejabat untuk ke bank atau ke pasar atau mengambil anak dari tadika dan pelbagai lagi?.
Kita selalu lupa bahawa isu integriti ini berkait rapat dengan rezeki yang kita dapat. Rezeki yang kita gunakan untuk menyara keluarga, membeli barang makanan, keperluan harian dan sebagainya. Jika rezeki itu diperoleh dengan cara yang tidak jujur, bagaimana pula hasil yang kita peroleh itu akan menjadi berkat? Kadang-kadang kita lupa bila kita ditimpa musibah seperti kereta rosak dan sering pula ditimpa pelbagai masalah dan musibah yang bertimpa-timpa, berkemungkinan musibah ini merupakan satu peringatan dari Allah SWT untuk kita. Kita patut bertanya kepada diri sendiri adakah gaji yang diperoleh setiap bulan itu datang dari cara yang sah?.
Bagi kita yang beragama Islam, seharusnya kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Dengan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan sebenarnya telah menjadikan kita sebagai seorang insan yang berintegriti. Keimanan dan ketakwaan di dalam diri menjadi benteng dan jati diri yang kukuh daripada melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan integriti. Setiap agama di dunia ini tidak pernah membenarkan penganutnya untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan atau di luar peradaban manusia.
Bagimana kita ingin menerapkan atau membudayakan nilai integriti ini dalam pekerjaan kita seharian? Permulaan adalah dengan hadir lebih awal ke pejabat. Ini akan memberikan kita masa untuk bersarapan dan menyediakan meja sebelum kita memulakan pekerjaan kita. Kita perlu mempunyai perancangan dalam melakukan tugas yang di amanahkan kepada kita. Setiap kerja yang ditugaskan kita selesaikan mengikut tempoh yang diberikan. Kita juga perlu menjaga kualiti kerja yang dihasilkan bagi menjaga nama baik diri sendiri serta jabatan yang kita wakili.
Saya berfikiran positif bahawa integriti sebenarnya boleh dicari malah dicapai melalui ketinggian integriti seseorang seiring dengan keimanan di jiwa seseorang individu itu. Menjadikan integriti sebagai garis panduan atau pegangan dalam menjalani kehidupan dapat menjadi benteng kepada kita daripada terjebak dengan perkara-perkara yang merugikan diri sendiri, agama, organisasi dan negara. Marilah kita sama-sama menanamkan azam dan sematkan tekad untuk menjadi manusia yang hanya ingin menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran di muka bumi Allah SWT ini kerana itulah antara kewajipan kita sebagai hamba-Nya.
Kesimpulannya, bukan mudah untuk kita membentuk diri untuk menjadi seorang individu yang berintegriti. Namun, pepatah mengatakan bahawa kalau hendak seribu daya, maknanya kita akan berusaha untuk mencapai sesuatu jika kita benar-benar inginkannya. Jadi bagi individu yang inginkan kelangsungan kehidupan yang cemerlang pada masa hadapan perlu berusaha sedaya mungkin untuk memperkukuh integriti diri sendiri dan individu-individu di bawah tanggungjawab masing-masing.
Memetik kata-kata cendekiawan Albert Einstein;
“…integrity without knowledge is weak and useless, and knowledge without integrity is dangerous and dreadful…”
Penulis ialah Ketua Unit Integriti dan Pematuhan, Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Disediakan Oleh: Noriza Hassan
e-mel: noriza@ump.edu.my
- 65503 views