Skip to main content

Memperkasakan Jaringan Global Melalui Program International Staff Mobility (ISM) 2026 di ITS Surabaya

Bersempena dengan Program International Staff Mobility (ISM) yang dianjurkan saban tahun oleh Institut Teknologi Sepuluh Nopember, dua orang staf akademik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah dipilih untuk menyertai program tersebut bagi tahun 2026. Delegasi UMPSA terdiri daripada wakil Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Ts. Dr. Yasmin Abdul Wahab dan wakil Pusat Bahasa Moden (PBM), Azimah Ahmad Zaki yang juga merupakan Penasihat PrRiSM (People-ready Representatives in Strategic Missions), sebuah organisasi pelajar di bawah kelolaan PBM UMPSA.

Penyertaan UMPSA dalam program yang berlangsung selama lima hari bermula 4 hingga 8 Mei 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh diplomasi akademik, mobiliti staf serta kerjasama penyelidikan pada peringkat antarabangsa. 

Program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha strategik UMPSA di bawah inisiatif Amanat Naib Canselor UMPSA 2026, Lonjakan 3 (Bakat) – Mobiliti Staf serta Pelan Strategik UMPSA 2025–2030 di bawah OS 1B: Attracting and Nurturing Global Talent (Staff). Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pendedahan global dalam kalangan staf melalui penglibatan aktif dalam program mobiliti bertaraf antarabangsa, di samping membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pertukaran idea dan pengukuhan jaringan strategik antara institusi pengajian tinggi serantau.

HARI 1: Jejak Global dan Integrasi Multilateral

Program dimulakan dengan sesi suai kenal yang menghimpunkan wakil-wakil daripada pelbagai universiti terkemuka di rantau Asia serta sebuah universiti dari Eropah. Kehadiran delegasi dari Malaysia (UMPSA dan UNIMY), Thailand (Mahidol University dan King Mongkut's Institute of Technology Ladkrabang), Filipina (University of Luzon), Jepun (Shibaura Institute of Technology), Vietnam (HCMUT, Thuyloi University dan USTH), India (VIT-AP) dan Republik Czech (University of Ostrava) menggambarkan kepentingan ITS sebagai hab pendidikan bertaraf antarabangsa. Wakil-wakil delegasi terdiri daripada staf akademik dan juga staf bukan akademik.

Memperkasakan Jaringan Global Melalui Program International Staff Mobility (ISM) 2026 di ITS Surabaya

Sesi Campus Tour pada hari pertama memberikan gambaran jelas mengenai prasarana moden yang dimiliki oleh ITS. Selain aspek fizikal, sesi ini menjadi ruang interaksi awal bagi peserta untuk memahami budaya kerja dan ekosistem inovasi yang diamalkan di Surabaya.

HARI 2: Sinergi Penyelidikan dan Mobiliti Strategik

Hari kedua merupakan kemuncak kepada objektif akademik program ini. Fokus utama adalah pada unit-unit strategik di ITS untuk melihat potensi kolaborasi masa hadapan. Para peserta diberi peluang untuk memilih 2 jabatan yang ingin dilawati. Ts. Dr. Yasmin telah memilih untuk melawat Direktorat Inovasi dan Kawasan Sains Teknologi (DIKST) dan pada sebelah petangnya. Beliau telah dijemput untuk berkongsi ilmu menerusi program International Guest Lecture. Manakala, Azimah telah memilih untuk melawat Perpustakaan serta Direktorat Riset dan Pengabdian kepada Masyarakat (DRPM).

Penerokaan Inovasi di DIKST

Lawatan ke Direktorat Inovasi dan Kawasan Sains Teknologi (DIKST) oleh Ts. Dr. Yasmin telah memberi pendedahan mengenai pengurusan hasil penyelidikan dan kolaborasi industri. Penekanan diberikan kepada bagaimana ITS menjana pendapatan melalui pengkomersialan teknologi dan kerjasama strategik, yang boleh dijadikan rujukan bagi pemerkasaan unit inovasi di UMPSA.

Perbincangan Meja Bulat di Departemen Teknik Instrumentasi

Satu pertemuan penting telah diadakan di Departemen Teknik Instrumentasi, Fakulti Vokasi ITS. Fokus perbincangan adalah:
•    Mobiliti Pelajar Ogos 2026: Pihak ITS secara rasmi menjemput 10 orang pelajar FTKEE untuk menyertai program mobiliti tidak berkredit di Surabaya pada Ogos akan datang.

•    Program Timbal Balik (Reciprocal): UMPSA menyatakan hasrat untuk menerima kumpulan pelajar dari ITS ke FTKEE dalam program yang sama pada tahun ini bagi memastikan kelestarian kerjasama dua hala.
 
Kuliah Umum: Seeing Inside

Sebagai sumbangan akademik, wakil FTKEE telah dijemput untuk menyampaikan Kuliah Umum bertajuk Seeing Inside: Process Tomography for Industrial Monitoring. Sesi ini dihadiri oleh pelajar prasiswazah ITS yang menunjukkan minat tinggi melalui sesi soal jawab yang aktif. Perkongsian ini bukan sahaja mempamerkan kepakaran UMPSA dalam bidang tomografi, malah membuka ruang perbincangan teknikal yang lebih mendalam bersama staf akademik ITS.

Lawatan Ilmiah ke Perpus ITS

Lawatan ke Perpustakaan ITS atau Perpus (slanga Indonesia) telah memberi pendedahan terhadap kemudahan, perkhidmatan serta pengurusan sumber maklumat yang disediakan kepada warga ITS. Azimah turut berkongsi dan memperkenalkan laman sesawang Perpustakaan UMPSA kepada beberapa pustakawan ITS yang hadir sebagai salah satu usaha memperkenalkan UMPSA dan membuka ruang jaringan institusi. Delegasi juga dibawa melawat setiap aras perpustakaan yang menempatkan pelbagai koleksi, ruang pembelajaran dan kemudahan interaktif untuk pelajar serta staf. Antara tarikan utama lawatan tersebut ialah seksyen Migas yang merupakan pusat pembelajaran dan muzium digital Migas pertama di Indonesia yang berbasis teknologi metaverse. Ia memaparkan pameran berkaitan industri minyak dan gas di Indonesia, sekali gus memberikan nilai tambah dari aspek pengetahuan industri dan perkembangan sektor tenaga di negara tersebut.

Memperkasakan Jaringan Global Melalui Program International Staff Mobility (ISM) 2026 di ITS Surabaya

        
Peluang Kolaborasi Penyelidikan di DRPM

Lawatan ke DRPM turut membuka ruang perbincangan strategik berkaitan potensi kolaborasi penyelidikan antara universiti serantau. Pihak DRPM telah berkongsi peranan mereka dalam mengkoordinasikan aktiviti penyelidikan, inovasi serta penglibatan komuniti yang merangkumi pelbagai bidang. Dalam sesi perbincangan tersebut, tumpuan turut diberikan kepada peluang kerjasama dalam penyelidikan halal, khususnya dalam bidang food engineering yang merangkumi aspek formulasi makanan, pemprosesan, keselamatan makanan, serta pematuhan standard halal dari peringkat bahan mentah hingga produk akhir. Potensi kerjasama ini juga dilihat mampu menyokong pembangunan inovasi produk halal bernilai tambah serta memperluas impak penyelidikan kepada industri dan masyarakat secara lebih meluas.
       
HARI 3: Kepelbagaian Budaya dan Naratif Sejarah Surabaya

Kelestarian kerjasama antarabangsa juga bergantung kepada pemahaman budaya. Pada hari ketiga, delegasi mengikuti kelas intensif Bahasa Indonesia di Global Language Center. Pengalaman merasai sajian tradisional Indonesia bukan sekadar sesi makan tengah hari, tetapi medium mengenali jati diri masyarakat setempat.

Sesi petang diteruskan dengan lawatan ke Muzium Surabaya. Delegasi dibawa menyelusuri sejarah perjuangan ‘Kota Pahlawan’ ini, yang memberikan konteks sosiobudaya penting dalam memahami semangat pembangunan komuniti di Jawa Timur. Delegasi turut berkesempatan mengunjungi Mirota Batik, sebuah pusat kraftangan dan batik terkenal yang menampilkan keunikan seni, budaya serta warisan tradisional Indonesia melalui pelbagai koleksi batik, cenderamata dan produk tempatan.
    
HARI 4: Ekspedisi Alam: Keajaiban Geologi Gunung Bromo

Hari keempat diisi dengan aktiviti pengukuhan jati diri dan apresiasi alam melalui ekspedisi ke Gunung Bromo. Perjalanan mencabar ini membuahkan hasil apabila delegasi berpeluang menyaksikan fenomena matahari terbit di puncak gunung yang menakjubkan.

Melihat kawah gunung berapi aktif secara dekat memberikan perspektif baharu mengenai kebesaran ciptaan Ilahi. Pengalaman ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada kesejahteraan mental peserta, malah mengukuhkan ikatan persaudaraan (bonding) sesama peserta ISM dari pelbagai negara dalam suasana yang luar biasa.

HARI 5: Pengurusan Sukarelawan Global dan Acara Penutup

Hari terakhir memfokuskan kepada pengurusan program antarabangsa. Delegasi melawat ITS Global Kampong untuk mempelajari:

1.    Sistem Pengurusan Program Antarabangsa: Bagaimana ITS menyelaraskan ratusan pelajar antarabangsa dalam satu masa.

2.    Skim Sukarelawan Pelajar: Strategi merekrut pelajar sebagai sukarelawan yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan program antarabangsa mereka.

3.    Mobiliti Staf: Peluang bagi staf akademik dan bukan akademik untuk menyertai program pertukaran di luar negara bagi meningkatkan kompetensi global.

Pameran Let’s Study Abroad! dan Majlis Penutupan 

Sesi petang menyaksikan acara Open Booth, setiap universiti peserta membuka reruai pameran. Reruai UMPSA menerima kunjungan ramai pelajar ITS yang berminat untuk mengetahui peluang menyambung pengajian serta program pertukaran pelajar ke Malaysia.
Program diakhiri dengan Majlis Penutupan rasmi yang penuh gimik dan emosi, menandakan berakhirnya sebuah kembara ilmu yang sangat bermakna.

Kesimpulan dan Tindakan Susulan

Penyertaan dalam ISM 2026 di ITS Surabaya ini telah membuahkan hasil yang sangat positif bagi UMPSA. Antara langkah susulan yang akan diambil termasuklah penyelarasan segera bagi penghantaran 10 pelajar ke ITS pada Ogos 2026 serta persiapan menerima pelajar ITS ke FTKEE. Selain itu, kolaborasi melibatkan sukarelawan pelajar ITS Global Engagement dan PrRiSM turut dipersetujui dalam membantu persediaan UMPSA sebagai hos bersama The Asia-Pacific Association for International Education (APAIE) 2027. 

Segala ilmu, strategi pengurusan antarabangsa, dan rangkaian kerjasama yang diperoleh akan dikongsikan bersama warga UMPSA demi memacu universiti ke arah pencapaian global yang lebih gemilang.

Penulis adalah Pensyarah Kanan atau Koordinator Pengantarabangsaan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan Guru Bahasa Kanan/Penasihat PrRiSM Pusat Bahasa Moden (PBM), UMPSA

Disediakan Oleh: Ts. Dr. Yasmin Abdul Wahab, Azimah Ahmad Zaki
E-mel: yasmin@umpsa.edu.my, azimahaz@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri