Skip to main content

Menara Gading Tunjang Matlamat Pembangunan Mampan: Realistik atau Utopia?

Fungsi dan signifikan institusi pengajian tinggi (IPT) sehingga kini berterusan dicabar. Adakah masih relevan menterjemahkan segala aspirasi negara dalam bentuk pembangunan modal insan, penghasilan teknologi terunggul mahupun pembudayaan nilai-nilai sahsiah terpuji. Belum cukup dengan beban amanah ini, masyarakat kini juga menuntut adakah menara gading mampu menzahirkan kesemua Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) atau SDG. Adakah ini suatu aspirasi yang realistik, ataupun suatu dambaan utopia yang bakal menghambat jauh menara gading lari dari tujuan asal penubuhan?

Umum mengetahui bahawa Matlamat Pembangunan Mampan yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sejak tahun 2015 menetapkan sebanyak 17 matlamat yang ingin dicapai menjelang tahun 2030. Antara matlamat tersebut ialah tiada kemiskinan, sifar kelaparan, kesihatan baik dan kesejahteraan, pendidikan bermutu, serta inovasi, industri dan prasarana. 

Berdasarkan ucapan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia 2024, pencapaian Malaysia dalam indeks SDG sudah mencapai 43 peratus iaitu mendepani pencapaian purata dunia dengan indeks sebanyak 17 peratus. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa angka ini barangkali bukan suatu petunjuk aras yang mutlak bagi menterjemahkan seluruh manfaatnya kepada rakyat secara keseluruhan. Bagaimana dengan rakyat yang masih terbeban dengan kemiskinan tegar, anak-anak luar bandar yang belum terjamin hak pendidikan asas, hatta persekitaran dan ekosistem yang terancam dengan penjarahan rakus sumber bumi hingga menjadi faktor akan berlakunya bencana serta kerosakan alam yang meragut kehidupan manusia, flora dan fauna di muka bumi ini? Di mana dan harus bagaimana menara gading menjadi wadah dan wasilah bagi menyelesaikan permasalahan ini?  

 
Universiti Harus Jadi Jaguh Pembangunan Mampan
Warga menara gading, masyarakat umum hatta pemain industri seharusnya sedar bahawa menara gading itu sudah sedia dan sentiasa siap siaga menjalankan aspirasi pembangunan mampan sejak terbentuknya universiti di Malaysia yang pertama sebelum negara mencapai kemerdekaan. Fungsi universiti sebagai pusat pengkayaan dan percambahan ilmu, penerokaan penyelidikan berimpak tinggi serta penghasilan sumber manusia yang intelek serta berkepakaran tinggi mampu memacu aspirasi pembangunan mampan. 

Kewujudan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebagai universiti teknikal seharusnya menjadi batu lonjakan bagaimana percambahan idea, teori mahupun formula tidak hanya terbuku di kertas-kertas penyelidikan, sebaliknya diterjemahkan dalam bentuk praktikal yang mampu menyelesaikan pelbagai permasalahan masyarakat. Sebagai contoh, inovasi sistem pemantauan kualiti air yang dicipta oleh penyelidik UMPSA mampu mengesan dan mengawal pencemaran serta memastikan kestabilan bekalan air yang berkualiti. Selain itu juga, sistem pertanian pintar bukan sekadar menjadi suatu amalan untuk dipelopori dan dimonopoli oleh pengusaha berkapasiti tinggi. Sebahagian penyelidik UMPSA mampu menterjemahkan sistem ini dalam bentuk aplikasi dan modul latihan mudah, yang mana kini sistem pertanian pintar mampu digunapakai oleh pekebun kecil sekitar negeri Pahang yang rata-ratanya dari golongan B40. 

Tidak sekadar menerajui aktiviti penyelidikan dan inovasi, UMPSA sebagai salah sebuah universiti teknikal juga turut menjalankan fungsinya untuk menghasilkan graduan berkemahiran tinggi, yang mampu menyokong kepelbagaian sektor dan industri di Malaysia. Struktur pembelajaran berasaskan kerja (Work Based Learning) yang telah diperkenalkan dilihat mampu mempersiapkan para graduan dengan kemahiran praktikal yang sesuai dengan kehendak pasaran industri. Ekosistem pembelajaran sebegini mampu menjadi inisiatif serampang dua mata iaitu  matlamat pendidikan bermutu mampu diterjemahkan dalam bentuk penerimaan dan pengiktirafan daripada pemain industri, serta matlamat pembangunan ekonomi mampu disokong oleh sumber manusia tempatan tanpa perlu bergantung kepada kepakaran asing.

Tugas sebagai Ummatan Wasatan

Menelusuri lanjutan ucapan Perdana Menteri Malaysia, kerosakan dan kecelakaan yang terjadi di muka bumi ini berpunca daripada tangan manusia yang rakus menjarah alam demi kepentingan diri. Kebobrokan ini menghasilkan ketidakseimbangan, baik dari segi ekosistem persekitaran mahupun sosioekonomi masyarakat. Di sinilah tugas manusia sebagai Ummatan Wasatan iaitu sebagai golongan perantara yang akan mempertahankan keseimbangan. 

Tugas mempertahankan keseimbangan ini perlu digalas oleh warga menara gading iaitu universiti menjadi pusat rujukan bagi sebarang perancangan pembangunan. Tidak dapat dielakkan bahawa sesetengah sektor industri memerlukan penggalian sumber alam, penerokaan hutan-hutan dan lautan. Walau bagaimanapun, kajian impak, simulasi kesan aktiviti, penggunaan teknologi untuk pengesanan dan kawalan serta pembangunan kertas kerja dasar mampu menjadi instrumen penting untuk mempertahankan keseimbangan alam daripada terus terkorban jika aktiviti pembangunan yang dijalankan terlalu berkiblatkan keuntungan semata-mata.

Realisasikan SDG: Pintu Menara Gading Sentiasa Terbuka Luas untuk Semua

Masyarakat, pemain industri dan kerajaan seharusnya sedar bahawa universiti sentiasa membuka seluasnya ruang perbincangan dan kerjasama untuk setiap permasalahan sama ada di peringkat komuniti setempat mahupun apa sahaja bahana yang mampu menggugat kestabilan negara. UMPSA dengan rangkaian penyelidik berpengalaman, juga aktif turun padang bertemu masyarakat untuk membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan. Harus diakui, universiti dan keseluruhan warganya bukanlah sosok seorang adiwira yang berupaya merealisasikan matlamat pembangunan mampan secara tuntas dan mutlak. Tambahan pula, aspirasi pembangunan mampan bukan sekadar penarafan bintang serta pencapaian indeks peratusan. Namun, penggemblengan tenaga dan sumber secara kolektif antara kesemua pemegang taruh yang perlu dicapai, bagi merealisasikan keberhasilan pembangunan mampan yang mampu dirasai nikmatnya oleh pelbagai lapisan masyarakat. 

Natijahnya, di sinilah kemuncak fungsi universiti yang mampu mendukung inisiatif glokal: penerokaan ilmu secara global, namun tindakan serta penyelesaian berpaksikan kepada keadaan setempat (local).

Ts. Dr. Abdul Nasir Abd Ghafar
Ts. Dr. Abdul Nasir Abd Ghafar

Penulis adalah pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri