Skip to main content

Menelusuri Potensi dan Masa Hadapan Penternakan Itik Penelur di Malaysia

Penternakan itik penelur merupakan salah satu industri ternakan yang semakin berkembang di Malaysia. Walaupun kurang popular ketimbang industri penternakan ayam, penternakan itik penelur ini mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada bekalan telur negara dan membuka peluang ekonomi baharu bagi para penternak. Telur itik bukan sahaja digunakan untuk keperluan domestik, malah menjadi bahan utama dalam industri makanan seperti pembuatan telur masin, telur pindang, kuih bahulu, kuih bulan, kerepek dan kek. 

Selain itu, telur itik juga sangat terkenal penggunaannya dalam masakan seperti ketam telur masin, sotong telur masin, udang telur masin dan telur masak lemak cili padi. Permintaan pasaran yang semakin meningkat menunjukkan bahawa industri itik penelur mampu menjadi salah satu sektor penternakan yang berdaya maju jika dikendalikan dengan sistematik dan cekap.

Di samping itu juga, penternakan itik penelur boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat luar bandar dengan memberi peluang pekerjaan seterusnya meningkatkan tahap pendapatan isi rumah negara melalui penjanaan pendapatan yang berterusan. Hal ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 1: Tiada Kemiskinan.

Menyedari kepentingan dan potensi industri ini, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah  (UMPSA) telah mengambil inisiatif untuk menjalin kerjasama di peringkat akar umbi bersama komuniti tempatan dalam usaha membangunkan industri itik penelur secara mampan dan inklusif. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh keterlibatan universiti dalam pemindahan ilmu dan teknologi, malah berperanan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi setempat.

Potensi Penternakan Itik Penelur
Permintaan Pasaran yang Stabil

Permintaan terhadap telur itik di Malaysia kekal stabil dan semakin meningkat dari semasa ke semasa. Selain kegunaan domestik, industri makanan memerlukan bekalan telur itik yang mencukupi untuk memenuhi permintaan pengeluaran telur masin dan produk lain. Pasaran eksport juga berpotensi diterokai, terutama ke negara-negara yang mempunyai komuniti yang menggemari telur itik seperti China, Singapura dan Thailand.

Sementalahan pula, permintaan terhadap produk berasaskan telur itik seperti kuih-muih tradisional, sos telur masin dan makanan berprotein tinggi turut meningkat dalam pasaran moden. Pengguna kini lebih sedar akan kelebihan nutrisi telur itik, yang mengandungi lebih banyak protein dan lemak sihat berbanding telur ayam biasa.

Kelebihan Itik Berbanding Ayam

Berbanding ayam, itik mempunyai ketahanan yang lebih tinggi terhadap penyakit dan boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan cuaca. Ini menjadikan penternakan itik lebih lestari dan kurang berisiko. Dalam masa yang sama, itik penelur juga mempunyai keupayaan menghasilkan telur dengan kadar yang tinggi, menjadikannya sumber protein yang boleh diandalkan dalam jangka masa panjang.

Tambahan pula, itik mempunyai tempoh produktiviti yang lebih panjang berbanding ayam. Seekor itik penelur boleh menghasilkan telur sehingga umur dua tahun, manakala ayam penelur biasanya mencapai puncak pengeluaran dalam masa setahun sebelum produktivitinya menurun. Ini membolehkan penternak memperoleh keuntungan dalam jangka masa lebih panjang dengan pelaburan yang lebih rendah.
Pengeluaran Produk Bernilai Tinggi.

Menelusuri Potensi dan Masa Hadapan Penternakan Itik Penelur di Malaysia

Selain dijual sebagai telur segar, telur itik boleh diproses menjadi pelbagai produk bernilai tinggi seperti telur masin dan serbuk telur masin yang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa. Dengan strategi pemasaran yang tepat, industri ini berpotensi menjana pendapatan lumayan kepada penternak dan usahawan tempatan.

Selain telur, itik juga boleh memberikan sumber tambahan dalam bentuk dagingnya. Daging itik semakin mendapat perhatian kerana rasanya yang lebih enak berbanding ayam serta penggunaannya dalam pelbagai masakan tempatan dan antarabangsa seperti itik panggang, itik salai, rendang itik dan sebagainya.

Sokongan Kerajaan dan Institusi Berkaitan

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta agensi berkaitan telah menyediakan pelbagai inisiatif bagi menyokong penternak itik penelur. Bantuan dalam bentuk latihan, insentif kewangan dan khidmat nasihat teknikal membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti produk yang dihasilkan. Selain itu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga giat dijalankan bagi memastikan teknologi penternakan moden dapat diaplikasikan dalam industri ini.

Agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) turut menjalankan program kesihatan ternakan dan kawalan penyakit bagi memastikan penternakan itik dijalankan secara lestari dan selamat. Selain itu, institusi kewangan juga semakin terbuka dalam memberikan pinjaman kepada usahawan dalam sektor ini, menunjukkan keyakinan terhadap pertumbuhan industri penternakan itik penelur.

Kerajaan Malaysia, melalui pelbagai dasar seperti Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0, Dasar Industri Asas Tani (DIAT), Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dan Program Transformasi Industri Ternakan (LITS), memberikan sokongan yang kukuh terhadap pembangunan serta masa hadapan penternakan itik penelur di negara ini. Dasar-dasar tersebut bertujuan meningkatkan produktiviti, menjamin keselamatan makanan, menggalakkan penggunaan teknologi moden, serta memperkukuh daya saing industri ternakan secara keseluruhan. 

Selain itu, kerajaan turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan seperti insentif kewangan, latihan, pembangunan modal insan, pemindahan teknologi, dan bimbingan keusahawanan kepada penternak serta usahawan dalam sektor agromakanan. Agensi-agensi berkaitan seperti MARDI, FAMA dan Agrobank juga memainkan peranan penting melalui penyelidikan baka, sokongan pemasaran hasil ternakan dan penyediaan kemudahan pembiayaan. Dengan pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu ini, industri penternakan itik penelur mempunyai potensi besar untuk berkembang secara mampan dan menjadi antara penyumbang utama kepada sektor makanan negara.

⁠Inisiatif dan Program-Program Kerajaan 

Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bantuan bagi menyokong potensi serta pembangunan masa hadapan penternakan itik penelur, terutamanya dalam kalangan usahawan tani dan penternak kecil. Antara inisiatif utama ialah Geran Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), yang menawarkan bantuan kewangan sehingga RM30,000 kepada belia berumur 18 hingga 43 tahun bagi memulakan atau mengembangkan perusahaan ternakan termasuk penternakan itik penelur. Bantuan ini merangkumi pembelian peralatan, pembinaan infrastruktur ladang dan pembelian ternakan. 

Menelusuri Potensi dan Masa Hadapan Penternakan Itik Penelur di Malaysia

Selain itu, kerajaan melalui Agrobank menyediakan pelbagai skim pembiayaan khusus untuk sektor ternakan seperti Pembiayaan Ternakan Komersial dan Pembiayaan Mikro Agrobank, yang menawarkan pinjaman bersubsidi dengan kadar faedah yang rendah untuk tujuan modal kerja, pembelian makanan ternakan, serta pembesaran ladang. Di samping itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut melaksanakan Program Pembangunan Usahawan Tani (PPUT) yang memberi fokus kepada latihan keusahawanan, strategi pemasaran dan bimbingan teknikal untuk membantu penternak memasarkan produk seperti telur itik dan produk nilai tambah seperti telur masin. Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem penternakan negara dan menjadikan industri itik penelur sebagai salah satu penyumbang penting kepada ekonomi agromakanan Malaysia.

⁠Inisiatif Projek Dari UMPSA

Pelbagai inisiatif dan projek yang dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan sokongan agensi kerajaan dan institusi kewangan telah memberi sumbangan besar kepada potensi dan masa hadapan industri penternakan itik penelur di Malaysia. Antaranya adalah projek yang dilaksanakan dengan kerjasama Public Bank Islamic dan Bank Negara Malaysia, bertujuan memperkasa ekonomi golongan asnaf zakat di Pahang melalui penternakan itik penelur yang berdaya saing dan mampan.

Melalui geran Inovasi Sosial Kementerian Pengajian Tinggi  (KPT), UMPSA turut melaksanakan Projek Transformasi Penternakan Itik Penelur yang menggunakan pendekatan holistik bagi membina ekosistem penternakan yang lestari dari segi ekonomi, alam sekitar dan sosial. Selain itu, melalui program UniMADANI anjuran Kementerian Kewangan (MOF), UMPSA menjalankan projek pemindahan teknologi penternakan itik penelur dan pendaging kepada Koperasi Komuniti Amanah Pahang Berhad (KOMTA) dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman (NUR IMAN), bagi memastikan teknologi dan amalan terbaik dalam industri ini dapat dimanfaatkan secara langsung oleh komuniti tempatan. 

Di Johor, projek pemindahan teknologi penternakan itik melalui geran dalaman Inovasi Sosial dan Pembangunan Komuniti dijalankan dengan memfokuskan kepada latihan dan pendidikan menyeluruh kepada komuniti di Kampung Sri Lukut, Kahang, Kluang dalam usaha meningkatkan produktiviti pengeluaran telur dan daging itik. Tambahan pula, melalui dana Geran Padanan, UMPSA turut membangunkan rumusan makanan khas untuk itik penelur bersama KOMTA, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada makanan import dan mengurangkan kos operasi penternak.

Dalam masa yang sama, UMPSA juga sedang merancang untuk membangunkan ekosistem penternakan itik yang menyeluruh bermula daripada baka, dedak, reban, produk telur dan juga produk hiliran berasaskan itik atau telur itik dalam masa terdekat bagi membantu penternak supaya tidak bergantung hanya pada satu sumber pendapatan sahaja. Projek ini juga merupakan penerusan kepada projek-projek sedia ada dalam skala yang lebih menyeluruh.
Kesemua inisiatif ini menunjukkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh pembangunan industri penternakan itik secara strategik dan berimpak tinggi, serta menyokong matlamat negara ke arah keterjaminan makanan dan pembangunan ekonomi komuniti luar bandar.
Cabaran Dalam Industri

Kos Makanan Ternakan yang Tinggi

Salah satu cabaran utama dalam penternakan itik penelur ialah kenaikan kos makanan ternakan yang semakin meningkat. Kebergantungan negara terhadap bahan mentah makanan ternakan yang diimport menyebabkan penternak terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi, sekali gus menjejaskan margin keuntungan mereka. Oleh itu, penggunaan sumber alternatif seperti sisa pertanian dan makanan ternakan tempatan perlu diterokai bagi mengurangkan beban kos kepada penternak. Bahan semula jadi seperti tumbuhan zolla, serangga ternakan (contohnya, black soldier fly), dan sisa pertanian berpotensi menjadi sumber makanan alternatif yang lebih murah dan mesra alam, sekali gus membantu mengurangkan kos pengeluaran secara signifikan.

Harga makanan ternakan di Malaysia telah menunjukkan peningkatan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutama bagi bahan utama seperti jagung dan kacang soya yang banyak digunakan dalam penternakan itik penelur. Statistik terkini daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menunjukkan harga jagung bijian meningkat lebih 15 peratus dalam tempoh kurang setahun, daripada RM955 satu tan kepada RM1,100 satu tan. Kenaikan harga makanan ternakan ini memberi tekanan yang besar kepada penternak kerana kos makanan ternakan boleh mencecah sehingga 70 peratus daripada jumlah kos operasi ladang. 

Antara punca utama kenaikan harga tersebut ialah kebergantungan Malaysia terhadap import bahan mentah dari negara seperti Argentina dan Brazil, di mana kenaikan harga komoditi di peringkat global terus mempengaruhi kos domestik. Selain itu, penyusutan nilai Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat turut menyumbang kepada peningkatan kos import bahan mentah. Faktor lain yang menyumbang ialah ketegangan geopolitik seperti konflik Rusia-Ukraine serta gangguan rantaian bekalan global yang menyebabkan kekurangan bekalan dan kenaikan harga. Tambahan pula, perubahan iklim dan cuaca ekstrem di negara pengeksport menjejaskan pengeluaran bahan makanan ternakan, sekali gus meningkatkan tekanan harga.

Kesan daripada kenaikan harga makanan ternakan ini menyebabkan penternak kecil berdepan risiko mengurangkan pengeluaran atau menutup operasi mereka, manakala penternak berskala besar mungkin terpaksa memindahkan kos tambahan tersebut kepada pengguna melalui kenaikan harga produk seperti telur dan daging itik. 

Bagi mengatasi cabaran ini, beberapa langkah mitigasi dicadangkan, termasuklah diversifikasi sumber bahan mentah dengan menggalakkan pengeluaran tempatan, penggunaan sisa makanan sebagai bahan makanan ternakan alternatif yang lebih murah, serta pemberian subsidi dan insentif oleh kerajaan untuk membantu penternak menampung kos yang meningkat. Pendekatan menyeluruh ini diharapkan dapat memastikan kelangsungan dan kemampanan industri penternakan itik penelur di Malaysia meskipun berdepan dengan tekanan kos yang semakin tinggi.

Isu Penyakit dan Kawalan Kesihatan

Walaupun itik lebih tahan terhadap penyakit berbanding ayam, risiko jangkitan penyakit seperti selesema burung dan salmonella masih wujud. Oleh itu, penternak perlu mengamalkan sistem penternakan yang bersih dan mematuhi garis panduan kesihatan haiwan bagi mengelakkan sebarang wabak yang boleh menjejaskan industri ini.
Sistem penternakan tertutup (closed-house system) boleh diaplikasikan untuk meningkatkan tahap kebersihan dan mengurangkan risiko jangkitan penyakit. Kaedah ini semakin mendapat perhatian kerana mampu meningkatkan kadar pengeluaran sambil memastikan kesihatan ternakan terjaga. Panduan mengenai sistem ternakan ini boleh didapati di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Penternak juga boleh merujuk pakar yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Persaingan dengan Industri Ayam

Industri ayam masih mendominasi pasaran telur di Malaysia. Telur ayam lebih mudah didapati dan harganya lebih murah berbanding telur itik. Oleh itu, penternak itik perlu lebih kreatif dalam strategi pemasaran bagi meningkatkan daya saing produk mereka. Penjenamaan dan promosi mengenai kelebihan telur itik seperti nilai nutrisinya yang lebih tinggi perlu diperkasakan.

Kempen kesedaran pengguna serta pemasaran produk premium seperti telur organik dan bebas antibiotik boleh membantu meningkatkan daya saing produk telur itik di pasaran.
Sorotan dan Analisis Situasi

Salah satu contoh kejayaan tempatan ialah projek ternakan itik yang dijalankan di Pondok Warga Emas Nur Iman, Kampung Tanjung Cempaka, Pekan. Projek ini dimulakan dengan kapasiti 300 ekor itik baka Khaki Campbell yang terkenal dengan penghasilan telur yang tinggi. Dengan kos permulaan sekitar RM20,000, projek ini kini mampu menjana pendapatan bulanan kira-kira RM4,500 dan mampu pulang modal dalam tempoh setahun. Namun, perjalanan untuk mencapai kejayaan ini bukanlah tanpa cabaran. Pada fasa awal, kadar kematian anak itik sangat tinggi terutama dalam 30 hari pertama akibat faktor persekitaran dan risiko jangkitan penyakit. Bagi mengatasi masalah ini, pihak pengurusan projek telah mendapatkan bimbingan teknikal dan kolaborasi daripada UMPSA dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menambah baik pengurusan ladang ternakan serta kawalan penyakit.

Antara contoh lain adalah Ladang Itik Sungai Nipah, Bagan Datuk, Perak mempunyai ternakan itik baka Khaki Campbell sebanyak 5,000 ekor yang menggunakan sistem separa intensif. Penggunaan makanan tambahan daripada sisa hasil pertanian tempatan telah terbukti membantu untuk menjimatkan kos. Ladang ini berjaya menghasilkan lebih 4,000 biji telur sehari dan dipasarkan ke Pulau Pinang dan Lembah Klang. 

Antara contoh kejayaan yang lain adalah dengan memanfaatkan bantuan program Agropreneur Muda, seorang usahawan belia telah memulakan projek ternakan sebanyak 1,000 ekor itik di Kelantan. Dengan bantuan MADA dan penggunaan teknologi seperti pemantauan suhu serta rekod kesihatan digital, beliau kini memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM3,000 dan mampu mengupah pekerja untuk membantu kerja-kerja beliau. Ini menunjukkan bahawa dengan teknik dan saluran bantuan yang betul, industri penternakan itik juga berpotensi untuk berkembang dengan pesat seperti ayam.

Kesimpulannya, penternakan itik penelur mempunyai potensi besar untuk berkembang di Malaysia. Dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat, industri ini mampu memberikan pulangan yang baik kepada penternak dan menyumbang kepada keterjaminan makanan negara. Walau bagaimanapun, pelbagai cabaran seperti kos makanan ternakan, risiko penyakit, dan persaingan dengan industri ayam perlu ditangani dengan bijak. Melalui sokongan kerajaan, inovasi teknologi, strategi pemasaran yang berkesan serta pendidikan kepada penternak, industri ini boleh berkembang menjadi salah satu sektor ternakan utama di Malaysia. 

Dalam masa yang sama, sokongan dan bantuan para ahli akademik melalui kerjasama dengan universiti tempatan juga amat diharapkan untuk membantu para penternak itik secara kecil-kecilan ini. Penternakan itik penelur bukan sahaja dapat menjana pendapatan kepada penternak, malah dapat meningkatkan keupayaan negara dalam pengeluaran telur secara mampan dan berdaya saing.

Ts. Mohd Najib Razali
Ts. Mohd Najib Razali

Penulis adalah Pensyarah, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Beliau juga Pengasas dan Pengarah,MNR Multitech Sdn Bhd,
Syarikat Pemula UMPSA.

E-mel: najibrazali@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri