Skip to main content

Pelajar Kejuruteraan dan kebimbangan terhadap halaman kosong

Pernahkah anda menatap halaman kosong dengan perasaan cemas, jantung berdegup kencang, tapak tangan berpeluh dan fikiran berbisik, “Ini terlalu sukar. Alangkah bagusnya jika mendapat soalan objektif.” Jika ya, anda bukanlah bersendirian. 

Bagi kebanyakan pelajar Diploma Kejuruteraan, penulisan esei dalam bahasa Inggeris merupakan satu cabaran besar. Sekumpulan tenaga pengajar bahasa Inggeris daripada Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengambil inisiatif untuk meneliti secara mendalam tahap kebimbangan atau kegelisahan yang dialami oleh pelajar dalam penulisan akademik serta meneroka faktor yang menyebabkan kesukaran dalam menterjemahkan pemikiran mereka ke dalam bentuk penulisan.

Tekanan dalam Penulisan Akademik
Menulis dalam bahasa pertama sudah mencabar, apatah lagi dalam bahasa kedua. Hampir separuh daripada pelajar Diploma Kejuruteraan yang disoal selidik mengakui mengalami tahap kebimbangan menulis yang tinggi. Ada yang berasa idea mereka menjadi bercelaru apabila berhadapan dengan tekanan masa, manakala yang lain berasa bimbang terhadap kritikan pensyarah yang sering ditandakan dengan pen merah. 

Antara cabaran utama yang dihadapi oleh mereka termasuk kebimbangan terhadap penggunaan tatabahasa yang betul, pemilihan kosa kata yang sesuai, serta kesukaran dalam menulis istilah teknikal dengan jelas. Mengapakah penulisan akademik begitu mencabar? Bagi pelajar yang mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (ESL), halangan bahasa merupakan satu cabaran utama. Penulisan dalam bahasa Inggeris bukan sekadar menyusun perkataan, tetapi juga menyampaikan idea kompleks dengan ketepatan dan kejelasan. Kekangan tatabahasa dan keterbatasan kosa kata sering kali menghalang kreativiti serta menjadikan proses penulisan lebih sukar.

Selain itu, kebimbangan terhadap maklum balas negatif turut menyumbang kepada ketakutan dalam menulis. Ramai pelajar bimbang akan kemungkinan menerima ulasan yang terlalu kritikal, membayangkan setiap kesalahan mereka akan dibulatkan, digariskan dan dinilai secara terperinci. Tekanan untuk menghasilkan karya yang sempurna turut boleh menyebabkan seseorang menjadi terhalang untuk memulakan penulisan, sekali gus melambatkan proses pembelajaran mereka.

Jenis-jenis Kebimbangan Penulisan
Kebimbangan dalam penulisan boleh dikategorikan kepada beberapa bentuk. Antaranya:

Kebimbangan Kognitif – Pelajar terlalu banyak berfikir mengenai setiap perkataan yang ditulis dan sering meragui ketepatan serta kejelasan idea mereka.

Kebimbangan Somatik – Pelajar mengalami gejala fizikal seperti degupan jantung yang laju dan tapak tangan berpeluh apabila perlu menulis dalam bahasa Inggeris.

Tingkah Laku Pengelakan (Avoidance Behaviour) – Pelajar menangguh proses penulisan sehingga ke saat akhir kerana tidak yakin dengan keupayaan mereka, sekali gus meningkatkan tekanan dan mengurangkan kualiti penulisan.

Strategi Mengatasi Kebimbangan Penulisan
Walaupun kebimbangan dalam penulisan adalah perkara biasa, ia bukanlah masalah yang tidak boleh diselesaikan. Penulisan boleh diibaratkan sebagai satu teka-teki dan setiap jurutera pastinya gemar menghadapi cabaran. Berikut adalah beberapa strategi untuk membantu pelajar mengatasi kebimbangan penulisan:

Pecahkan tugasan kepada bahagian kecil – Mulakan dengan satu perenggan atau satu idea pada satu masa. Seperti mana sesebuah struktur tidak dibina dalam sehari, begitu juga dengan esei yang berkualiti.

Terima kesilapan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran – Kesalahan adalah peluang untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kemahiran menulis.

Anggap maklum balas sebagai panduan, bukan kritikan – Maklum balas yang diterima bukanlah satu bentuk hukuman, tetapi merupakan bimbingan ke arah penambahbaikan dan peningkatan mutu penulisan.

Peranan Tenaga Pengajar dalam Menyokong Pelajar

Tenaga pengajar memainkan peranan penting dalam membantu pelajar mengatasi kebimbangan dalam penulisan akademik. Pendekatan seperti memberi maklum balas secara konstruktif, memberi penekanan kepada latihan penulisan yang lebih praktikal, dan mencipta persekitaran pembelajaran yang menyokong boleh memberikan impak yang besar terhadap keyakinan serta prestasi pelajar dalam penulisan akademik.

Bagi para bakal jurutera, ingatlah bahawa penulisan bukan sekadar satu tugasan yang perlu diselesaikan, tetapi merupakan satu kemahiran yang penting untuk menyampaikan idea kepada dunia. Seperti merancang pelan reka bentuk, setiap perkataan yang ditulis menjadi asas kepada sesuatu yang lebih besar. Oleh itu, apabila berhadapan dengan halaman kosong, tarik nafas dalam dan yakinlah pada diri sendiri. Anda pasti mampu mengatasinya. 
 

Nurul Nadia Muhammad
Nurul Nadia Muhammad

Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM)
nadiamuhammad@umpsa.edu.my

 

 Rosnani Ismail
Rosnani Ismail

Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM)
rosnani@umpsa.edu.my

 

Siti Norzaimalina Abd Majid
Siti Norzaimalina Abd Majid

Pensyarah, Pusat Bahasa Moden (PBM)
norzaimalina@umpsa.edu.my

Nota: Kandungan artikel ini adalah berdasarkan kajian tindakan (PBM22038: Investigating English Language Apprehension among ESL Engineering Students) yang telah dijalankan oleh para penulis yang merupakan tenaga pengajar bahasa Inggeris di Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri