Pemantapan Kursus Integriti dan Anti Rasuah Melalui Pembelajaran Berasaskan Pengalaman: Dengan Kaedah Pembelajaran Sesi Moot Court
Trend peningkatan rasuah dalam kalangan belia dan juga jenayah kolar putih semakin menjadi-jadi. Walaupun kita kini berada dalam fasa endemik, kes rasuah tidak pernah reda. Ini disokong oleh statistik daripada laman sesawang Suruhanjaya Pencegah SPRM dengan data dari Januari sehingga Ogos 2022 sahaja, sebanyak 713 tangkapan meliputi pelbagai sektor telah dibuat.
Justeru, adalah menjadi satu tanggungjawab kepada pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk memberi kesedaran kepada belia dan anak muda berkaitan gejala rasuah serta menerapkan asas integriti dan jati diri yang kukuh sebagai pemimpin pada masa hadapan. Pembinaan karakter pelajar akan dibentuk dengan memupuk jati diri berkualiti dan bersedia dengan minda sihat melalui pemahaman yang jitu tentang kesan rasuah serta tanggungjawab memerangi rasuah.
Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menggalas amanah untuk membina kesedaran yang jitu berkenaan dengan integriti dan anti rasuah melalui penawaran kursus elektif KIAR.
Kursus Integriti dan Anti-Rasuah (KIAR) telah dilaksanakan bermula sejak semester 1 sesi 2021/2022 dan kini mempunyai jumlah enrolmen pelajar yang sangat tinggi. Kursus elektif ini mengguna pakai pendekatan Experiential Based-Learning dengan adanya perkongsian dari pesalah rasuah, pegawai penyiasat SPRM, serta lawatan ke SPRM sendiri. Pelajar juga akan menggalas tanggunjawab menyebarkan isu-isu rasuah dan kepentingan membanterasnya dengan melaksanakan penilaian Public Service Awareness.
Usaha menghasilkan pelajar yang akan menjadi tenaga kerja penuh beretika dan tinggi nilai integriti disemai dan dipupuk melalui pemahaman terhadap Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Secara asasnya, seksyen ini adalah peruntukan bagi kesalahan oleh organisasi sosial. Adalah menjadi tanggungjawab seseorang pekerja untuk memahami prosedur dan tatacara kerja yang benar dalam organisasinya. Justeru, dengan memahami asas peruntukan akta ini, seseorang pekerja boleh mengelakkan diri daripada terjebak dengan perlakuan tidak berintegriti dan rasuah. Kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman bagi memberi kefahaman yang jitu mengenai Seksyen 17A Akta SPRM 2009 adalah metode terbaik yang telah dilaksanakan di dalam KIAR.
PSK bersama-sama dengan Unit Integriti, UMP telah bekerjasama untuk menyemai kefahaman ini melalui sesi moot court. Sesi moot court yang pertama kali diadakan secara dalam talian telah menyaksikan keterujaan pelajar untuk menuduh dan membela tertuduh serta saksi-saksi seakan-akan perbicaraan sebenar di mahkamah.
Semua pelajar diberikan tanggungjawab untuk terlibat sama di dalam sesi moot court ini. Para pelajar akan diberikan peranan sebagai pendakwa raya, peguam bela, tertuduh dan saksi. Pelajar-pelajar ini terlibat dengan pencarian bukti bagi memberi sabitan terhadap tertuduh, dan bukti bagi menyangkal dakwaan daripada peguam pendakwa raya. Saksi-saksi yang memberi keterangan juga dengan yakin menjawap soalan-soalan yang ditanyakan oleh pihak peguam bela dan pendakwa raya. Kajian kes ini dirangka oleh PSK bersama-sama Unit Integriti dalam memastikan usaha menyampaikan pengetahuan berkaitan 17A Akta SPRM 2009 dapat dicanai dengan baik.
Di samping menyemai kefahaman yang jitu, sesi moot court ini turut mengasah kemahiran berfikir secara kritikal. Para pelajar perlu mencari bukti dan mengaitkannya mengikut garis masa serta kesalahan yang dilakukan tertuduh. Ramai di antara pelajar yang berpotensi untuk menjadi seorang peguam dengan melihat kredibiliti mereka semasa membentangkan hujah dalam menyabitkan dan membela tertuduh. Aspek kemahiran berkomunikasi dan kepimpinan turut disemai di dalam konteks pembelajaran yang bermakna.
Kesimpulannya, melalui kaedah moot court di dalam pembelajaran KIAR menjadikan pembelajaran tersebut lebih berkesan khususnya dalam peningkatan kefahaman seterusnya menjadikan pelajar sebagai tenaga kerja harapan yang penuh integriti pada masa hadapan.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: hadijah@ump.edu.my
- 2377 views