Skip to main content

Pengajian tinggi sebagai satu pelaburan, bukan beban

Sekalung tahniah kepada para pelajar yang baharu menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang pada 24 April 2025 yang lalu.

Kepada yang masih tercari-cari sebab and tujuan anda yang seterusnya, pastikan anda menyambung pengajian anda ke pengajian tinggi samada mengambil kursus diploma, sijil profesional, matrikulasi dan lain-lain.

Yang pasti ialah anda mempunyai pelbagai pilihan, sama ada melalui permohonan UPU atau melalui kemasukan secara terus ke institut pengajian tinggi pilihan anda.

Walau bagaimanapun, terdapat satu statistik and trend yang membimbangkan. 

Menurut Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek, seramai 180,680 graduan SPM 2021 atau 48.74 peratus memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Trend ini menunjukkan peningkatan dari 115,939 graduan SPM 2020 yang memilih untuk tidak menyambung pengajian. 

Apa pun sebabnya, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana ia akan mendatangkan kesan buruk kepada produktiviti negara pada masa hadapan. 

Untuk menangani masalah ini, perubahan minda mesti berlaku di sekolah-sekolah menengah di seluruh negara.

Pengajian tinggi mesti dilihat sebagai satu pelaburan, bukan beban. 

Pengajian tinggi perlu dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dengan baik memandangkan bahasa tersebut digunakan secara meluas sebagai bahasa perniagaan dan komersial.
Menurut Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Azman Hashim, kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik dalam kalangan graduan universiti menunjukkan penurunan yang ketara.  

Peluang ini mesti dimanfaatkan dengan sebaik mungkin kerana majoriti institut pengajian tinggi menjalankan kursus-kursus mereka dalam bahasa tersebut.

Kemahiran berbahasa Inggeris yang baik membolehkan graduan untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik, setimpal dengan kelayakan yang mereka peroleh.

Selain meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, melanjutkan pengajian di universiti merupakan peluang terbaik untuk para pelajar membina rangkaian yang luas.

Para pelajar bukan sahaja berpeluang bertemu dengan rakan dalam kursus yang sama, malah mampu berkenalan dengan para pelajar dari kursus yang lain. 

Jaringan yang dibina ini bukan sahaja mampu menjadi aset kepada para pelajar di masa akan datang. 

Jaringan bukan sahaja dibina sesama para pelajar, malah pelajar boleh menjalin jaringan dengan pensyarah dan staf universiti. 

 

mahfuz
            Penulis bersama-sama keluarga ketika menghadiri Majlis                 Konvokesyen Ijazah Doktor Falsafah di King's College London.

Penulis bersama-sama keluarga ketika menghadiri Majlis Konvokesyen Ijazah Doktor Falsafah di King's College London.

Melanjutkan pengajian di menara gading membolehkan para pelajar meningkatkan kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi, berfikir secara kritis, dan lain-lain.

Persatuan Majikan-majikan Malaysia dalam kenyataan mereka menyatakan ranking universiti-universiti tempatan tidak bermakna jika para graduan tidak mempunyai kemahiran insaniah yang baik.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh persatuan tersebut, satu pertiga dari syarikat-syarikat di Malaysia berharap graduan yang mampu melakukan pelbagai tugasan pada masa yang sama dan bekerja secara efektif dalam pasukan berprestasi tinggi. 

Antara kemahiran insaniah lain yang penting ialah kerjasama berpasukan, kemahiran menyelesaikan masalah, dan kemahiran berfikir secara kritis. 

Secara kesimpulannya, perubahan minda perlu dilakukan untuk melihat pengajian tinggi sebagai pelaburan, bukan beban.

Kebanyakan anak muda memilih pekerjaan gig sebagai pilihan utama selepas tamat SPM.

Mereka memilih pekerjaaan gig untuk mendapatkan gaji yang lebih lumayan dan waktu bekerja yang fleksibel. 

Persoalannya ialah berapa lama anda mampu menjadi pekerja gig? 

Tanpa laluan kerjaya yang jelas, pekerja gig bergantung kepada kekuatan fizikal untuk melengkapkan tugas yang diterima.

Melengkapkan pengajian tinggi memerlukan biaya yang tinggi, namun pulangan yang diperoleh dari segulung ijazah melebihi kos yang dilaburkan. 

Akhir sekali, tepuk dada, tanya selera.

Keputusan yang anda pilih sekarang mampu mengubah hidup anda di masa hadapan. 

mahfuz
DR. AHMAD MAHFUZ GAZALI

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

E-mel: mahfuz@umpsa.edu.my

 

Reports by:
Admin UMP News