Pengalaman menarik pelajar antarabangsa UMPSA ketika Sambutan Bulan Kemerdekaan
Tanggal 31 Ogos setiap tahun sambutan Merdeka di Malaysia diadakan sebagai acara tahunan untuk memperingati hari kemerdekaan negara daripada penjajahan British pada tahun 1957. Menjelang sambutan ini suasana seluruh negara meriah dipenuhi dengan Jalur Gemilang yang kelihatan berkibaran di merata-rata tempat. Pelbagai aktiviti juga dilaksanakan di pelbagai peringkat dalam usaha terus memperingati dan menghargai pengorbanan tokoh-tokoh perjuangan dan sejarah perkembangan negara ini. Penyatuan pelbagai etnik kaum dan budaya menjadi simbol kebebasan dan perpaduan bagi rakyat Malaysia sehingga ke hari ini. Kemeriahan sambutan ini juga turut dirasai oleh para pelajar antarabangsa UMPSA dengan pelbagai pengalaman menarik.
Menurut pelajar Doktor Falsafah (PhD) UMPSA, Ellora Priscille Ndia Ntone dari negara Cameroon, selama hampir enam tahun tinggal di Malaysia, beliau melihat setiap tahun keterujaan dan kemeriahan sambutan kemerdekaan tetap sama. Setiap pelusuk jalan akan dipenuhi dengan kibaran bendera Malaysia dan keadaan ini jelas menggambarkan betapa mendalamnya penghargaan penduduk negara ini terhadap hari kemerdekaan mereka. Beliau juga turut menyertai rakan-rakannya menyaksikan perarakan kemerdekaan seperti perarakan tentera, melihat persembahan kebudayaan dan tradisional kaum negara ini. Sikap toleransi dan keakraban pelbagai kaum dalam merealisasikan sambutan kemerdekaan dengan penuh gilang gemilang ini memberikan kesan kepada dirinya agar mempunyai sikap saling hormat-menghormati dan pentingnya menghargai keamanan yang dimiliki. Sambutan ini juga membuatkan dirinya rindu akan negaranya, Cameroon.
Seterusnya, menurut pelajar peringkat sarjana UMPSA, Maryam dari negara Jordan berkongsi pengalaman menariknya bersama-sama anaknya yang sedang belajar di Taska Raudah UMPSA Kampus Gambang. Atmosfera sambutan kemerdekaan di Malaysia adalah sangat meriah dan sangat dirasai oleh semua lapisan masyarakat negara ini. Beliau sangat menyukai cara bagaimana UMPSA melibatkan kanak-kanak tadika dalam sambutan ini. Seawal usia mereka bukan sahaja didedahkan dengan kemeriahan sambutan, tetapi juga dengan kepentingan hari merdeka. Saya membeli busana bertemakan kemerdekaan untuk anak saya dan membantu beliau membuat kad merdeka. Kami berpeluang mencipta kenangan baharu bersama-sama. Selain itu, anak beliau juga boleh menghafal lagu ‘Negaraku’ dan terlibat menyertai tarian untuk sambutan hari kemerdekaan. Hal yang sama turut dikongsi oleh Elnaz dari negara Iran, yang turut membantu anak Maryam. Mereka membuat bersama-sama kad merdeka iaitu dengan melukis dan mewarna bendera Malaysia. Aktiviti ini juga menunjukkan Malaysia sebuah negara yang bukan sahaja mementingkan sambutan pada peringkat nasional semata-mata, bahkan sambutan kemerdekaan bermula pada peringkat awal di seluruh negara.
Manakala pelajar Doktor Falsafah (PhD) UMPSA, Ashraf A Alamen Teara dari negara Libya menyatakan sambutan kemerdekaan di Malaysia memberikan kegembiraan kepada dirinya. Beliau yang menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya berasa gembira dan terpesona dengan sambutan kemerdekaan. Beliau dan rakan-rakannya terpesona dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan rakyat Malaysia. Dalam sambutan ini, mereka melihat bagaimana pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, dan lain-lain bersama-sama meraikan dan berkongsi identiti yang sama. Hal ini memberikan mereka pengalaman berharga yang menunjukkan bahawa sambutan ini bukan sekadar meraikan kebebasan tetapi bagaimana semangat perpaduan yang menjadi sumber mempertahankan keamanan dan keharmonian negara ini.
Sambutan dan kemeriahan UMPSA dalam meraikan hari kemerdekaan tidak kurang meriahnya apabila diadakan Jelajah Aspirasi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Sambutan Ambang Kemerdekaan UMPSA di Stadium Mini, UMPSA Kampus Gambang. Seramai 1,500 orang hadir memeriahkan Sambutan Ambang Merdeka termasuklah pelajar antarabangsa. Abdelrahman Mohamed Farouk dari negara Mesir yang terlibat dengan sambutan ini menyatakan beliau memperoleh banyak pengalaman baharu dan dapat berkenalan dengan pelajar baharu ketika sambutan ini. Beliau dapat merasai semangat mencintai negara ini yang dikongsi semua pelajar UMPSA. Beliau menyaksikan pelbagai persembahan seperti persembahan patriotik, tarian India, gendang Cina dan persembahan silat. Pengalaman serta kemeriahan sambutan ini akan sentiasa menjadi kenangan kepada dirinya kelak.
Kesimpulannya, sambutan kemerdekaan bukan sahaja memberikan pengalaman menarik kepada para pelajar antarabangsa tetapi juga menyebarkan semangat Merdeka dalam kalangan mereka. Dengan ini mereka dapat membawa perspektif, pemahaman dan cara meraikan kemerdekaan negara Malaysia ke serata dunia. Hal ini demikian kerana kemerdekaan negara ini bukan sekadar sambutan tetapi perayaan sebegini sentiasa menyuburkan perasaan menghargai kebebasan dan keharmonian negara ini dalam kalangan semua lapisan masyarakat.
Salam Malaysia Madani: Jiwa Merdeka 2024
Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM) Universiti Malaysia Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: jamilahbebe@umpsa.edu.my
- 378 views