Skip to main content

Raya Bergaya di UMPSA: OOTD pelajar UMPSA di lokasi ikonik

Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) adalah antara acara tahunan yang paling dinanti-nantikan oleh warga kampus. Selain menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dan bertemu rakan-rakan selepas cuti perayaan, majlis ini turut menjadi pentas buat para pelajar menampilkan gaya dalam busana tradisional Hari Raya yang pelbagai daripada baju kurung moden, kebaya anggun, hinggalah baju Melayu lengkap bersampin.

Pastinya, keterujaan mereka tidak terhenti di situ. Ramai yang tidak sabar untuk merakam penampilan istimewa ini dan berkongsi momen tersebut. Gambar-gambar dalam pakaian perayaan atau yang lebih dikenali dalam kalangan generasi kini sebagai Outfit of the Day (OOTD) menjadi simbol ekspresi diri, lambang kebanggaan budaya, dan manifestasi ikatan emosi terhadap suasana kampus yang meninggalkan seribu satu kenangan manis sepanjang pengajian.

Menariknya, selepas acara utama, ramai pelajar mengambil peluang untuk bergambar OOTD di sekitar dua lokasi ikonik di universiti ini iaitu di sekitar Menara Jam dan Tasik UMPSA. Menara Jam dan Tasik UMPSA bukan sahaja menjadi latar gambar yang indah, tetapi juga turut menyimpan nilai emosi dan identiti bagi warga UMPSA. Menara Jam, dengan keunikan reka bentuknya, memberikan rasa kebanggaan dan kesinambungan dalam perjalanan sejarah universiti, manakala Tasik UMPSA, dengan ketenangan airnya, membawa aura kedamaian dan keharmonian yang dirasai oleh setiap individu yang berada di sekitarnya. Kedua-dua tempat ini menjadi lebih daripada sekadar lokasi bergambar; ia adalah ruang untuk merakam kenangan, mencipta momen-momen berharga, dan merasakan ikatan yang erat dengan universiti yang membentuk identiti mereka.

Raya Bergaya di UMPSA

Tajfel dan Turner (1979) melalui Teori Identiti Sosial menjelaskan bahawa individu membentuk identiti diri melalui penglibatan di dalam kumpulan sosial. Dalam konteks ini, pelajar UMPSA memanfaatkan sambutan Hari Raya dan lokasi-lokasi ikonik kampus untuk menzahirkan rasa kekitaan serta kebanggaan terhadap universiti. Dengan memakai busana tradisional, mereka bukan sahaja meraikan budaya warisan dan memaparkan gaya peribadi mereka, tetapi juga menghubungkan pengalaman peribadi dengan identiti kolektif sebagai warga UMPSA. 

Menurut Teori Komunikasi Visual oleh Barry (1997) pula, imej visual seperti foto OOTD bukan sekadar berfungsi sebagai dokumentasi tetapi juga sebagai medium penting untuk menyampaikan mesej dan membentuk persepsi sosial. Pelajar secara tidak langsung mengekspresikan identiti dan semangat kebersamaan melalui gambar-gambar yang dikongsi di media sosial. Pemilihan pakaian ini bukan hanya mencerminkan tradisi tetapi turut menggambarkan penghargaan terhadap nilai-nilai budaya yang terdapat di universiti. Hal ini demikian kerana lokasi-lokasi ini akan turut dikunjungi pelajar lain untuk merakam gambar kenangan mereka. 
 

Raya Bergaya di UMPSA

Selain itu, keadaan ini juga mengambarkan emosi gembira dan rasa bangga para pelajar terhadap lokasi-lokasi ikonik di dalam UMPSA untuk merakam gambar mereka dengan busana terbaik yang mereka pilih untuk dipakai ketika sambutan Hari Raya. Pelbagai emosi dapat dikaitkan dengan tindakan ini seperti rasa bangga yang ada di dalam diri setiap pelajar, tampil berani untuk berkongsi dengan komuniti luar  apa yang mereka miliki khususnya berkaitan institusi pengajian mereka.

Jika kita meninjau melalui Teori Penyebaran Inovasi oleh Rogers (2003), idea atau amalan baharu menyebarkan gambar OOTD melalui komunikasi sosial dan teknologi adalah salah satu bentuk perkongsiaan terkini. Aktiviti ini bukan sahaja mencerminkan penyesuaian budaya tradisional dalam era digital, tetapi turut memperkenalkan keindahan kampus UMPSA. Dengan perkongsiaan  secara dalam talian oleh para pelajar UMPSA, perkongsian ini secara tidak secara langsung menjadi medium penyebaran maklumat aktiviti dan kehidupan di kampus kepada komuniti luar. 

Raya Bergaya di UMPSA

Akhirnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri di UMPSA bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu bentuk pengalaman budaya, sosial dan emosi yang menyatukan seluruh komuniti kampus. Sambutan ini memberikan kegembiraan, kenangan, memperkukuh identiti, dan perkongsiaan pelbagai busana untuk merakan gambar di lokasi ikonik di kampus. 

Apa yang penting terdapat pelbagai juadah Hari Raya yang sedap, OOTD pun mantap.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin semua. 

Langit cerah kebiru-biruan,
Lambaian mesra menyambut tetamu,
Syawal dirai penuh kemaafan,
Warga UMPSA bersatu bertemu.

Rujukan:
Barry, A. M. (1997). Visual Intelligence: Perception, Image, and Manipulation in Visual Communication. SUNY Press.

Tajfel, H., & Turner, J. C. (1979). An integrative theory of intergroup conflict. In W. G. Austin & S. Worchel (Eds.), The Social Psychology of Intergroup Relations (pp. 33–47). Brooks/Cole.

Rogers, E. M. (2003). Diffusion of Innovations (5th ed.). Free Press.

Jamilah Bebe Mohamad
Jamilah Bebe Mohamad

Guru Bahasa Kanan
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
E-mel: jamilahbebe@umpsa.edu.my

 

Hanisah Bon (Kasbon)
Hanisah Bon (Kasbon)

Guru Bahasa Kanan
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
E-mel: hanisah@umpsa.edu.my

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Admin UMP News