Skip to main content

Saranan buat pelajar lepasan SPM: Tingkatkan kemahiran bahasa Inggeris untuk persediaan ke pengajian peringkat tinggi

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah berakhir sekitar bulan Februari yang lalu, dan kebanyakan pelajar telah mengemukakan permohonan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Selaras dengan pengumuman tarikh keputusan SPM pada 24 April 2025, pelajar lepasan SPM masih mempunyai tempoh masa beberapa bulan sebelum mendaftar di pusat pengajian tinggi yang akan ditawarkan kelak. 

Oleh itu, masa yang ada kini sebaiknya dimanfaatkan untuk meningkatkan kemahiran penggunaan bahasa Inggeris bagi memudahkan proses pembelajaran di universiti kelak.  Penguasaan bahasa Inggeris yang baik bukan sahaja membantu dalam memahami bahan pembelajaran, malah memudahkan pencarian serta pemahaman sumber rujukan. Sebahagian besar bahan akademik di peringkat pengajian tinggi tersedia di dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, dengan memiliki kemahiran bahasa Inggeris ini akan memberikan kelebihan kepada pelajar dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran akademik.  Selain itu juga, kecekapan dalam bahasa Inggeris juga akan membantu pelajar dalam menyiapkan tugasan akademik dengan lebih berkesan. Berikut adalah beberapa cara yang boleh diaplikasikan untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris: 

Memperluas perbendaharaan kata 

Memahami dan menguasai lebih banyak perkataan baharu akan meningkatkan kefasihan dalam penggunaan bahasa Inggeris. Antara kaedah menambahkan kosa kata bahasa Inggeris, terdapat pihak-pihak yang mengeluarkan himpunan perkataan (wordlist) yang boleh dikuasai sebagai langkah pertama membina kemahiran bahasa Inggeris. Sebagai contoh, antaranya ialah penguasaan pemahaman perbendaharaan kata set 3,000 patah perkataan bahasa Inggeris sebagai asas dalam membina keupayaan yang dikeluarkan oleh Oxford Dictionary iaitu Oxford 3000 Basic Wordlist. Terdapat juga set himpunan perkataan seperti Ogden Basic 800 Wordlist.  Jadikan cabaran menguasai dan memahami kosa kata dari set himpunan perkataan di atas sebagai langkah pertama ke arah penguasaan yang lebih komprehensif.

Sebagai langkah yang lebih praktikal, amatlah digalakkan untuk menyediakan sebuah buku nota khas dengan indeks abjad bagi mencatat perkataan baharu berserta maksud dan kata seerti dalam bahasa Inggeris. Satu buku nota perbendaharaan kata (dengan indek a,b,c -z di tepi halaman) sebagai rujukan sendiri boleh disediakan untuk tujuan pembelajaran. Perkataan baharu yang belum diketahui maknanya selepas merujuk kepada wordlist seperti Oxford atau Ogden boleh direkodkan, kemudian kata seerti di dalam bahasa Inggeris boleh dicari. Cara ini walaupun nampak mudah tetapi ia sangat berkesan kerana setiap kali pelajar hendak merekodkan perkataan baharu, secara tidak langsung ia juga membaca dan seterusnya turut mengulang kaji perkataan lama yang telah direkodkan. Langkah ini sekali gus dapat mengukuhkan ingatan dan kefahaman. Kaedah ini juga mampu untuk membantu pelajar mengulang kaji dan mengingati perkataan baharu dengan lebih berkesan. 

Membaca bahan bacaan yang diterbitkan/dihasilkan dalam bahasa Inggeris 

Pelajar boleh mula membaca bahan bacaan yang menarik minat seperti kisah pengembaraan, dokumentari, fiksyen, dan novel dalam pelbagai genre seperti penyiasatan dan jenayah. Dengan cara ini, pelajar bukan sahaja dapat menambah perbendaharaan kata tetapi juga boleh memperbaiki struktur ayat serta pemahaman dan penguasaan tatabahasa.  Pelajar juga boleh mencuba menulis kandungan dalam bahasa Inggeris di platform media sosial masing-masing. Sebagai contoh, untuk menceritakan aktiviti masa lapang, pelajar boleh mencuba untuk menyertakan kapsyen dalam bahasa Inggeris seperti "A fishing activity by the riverbank." Langkah ini membantu meningkatkan keyakinan dalam menggunakan bahasa Inggeris secara praktikal. 

Menonton dan mendengar rancangan hiburan yang disiarkan/dirakamkan dalam bahasa Inggeris

Selain itu, menonton rancangan televisyen atau video di platform seperti YouTube juga boleh membantu meningkatkan perbendaharaan kata dan memperkukuh penguasaan tatabahasa. Bahasa adalah sesuatu yang ‘hidup’ dan perlu diberi pendedahan yang berterusan melalui penggunaan dalam kehidupan seharian. Dalam kata lain, bahasa adalah satu ‘makhluk’ yang hidup. Ia perlu diberi ‘makan dan minum’, cuma dalam konteks ini keperluan bahasa itu di penuhi dengan peluang-peluang pendedahan bagi pengunaan bahasa tersebut dalam kehidupan harian. Pendedahan di platform digital boleh dimanfaatkan oleh pelajar untuk mendapat peluang meningkatkan kefahaman bahasa secara praktikal. Dalam era pendidikan digital ini, pembelajaran kendiri akan membina kemandirian seseorang dalam menimba ilmu dan menghadapi cabaran di alam pekerjaan dapat dipupuk melalui pengalaman ini. Pelajar boleh memanfaatkan media digital untuk menonton drama, filem, anime, atau mendengar lagu kegemaran dalam bahasa Inggeris. Pengalaman mendapat pendedahan bahan bahan seperti drama, filem dan genre yang lain dari penutur asli bahasa Inggeris ini menjadikan pembelajaran lebih bermakna kerana pelajar akan lebih berusaha memahami sesuatu perkara yang mereka minati. 

Menggunakan media digital secara berhemah dan selektif

Media digital adalah alat yang boleh digunakan untuk memperoleh kebaikan atau sebaliknya. Jika dimanfaatkan dengan betul, ia boleh membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan lebih berkesan. Harus diingatkan bahawa media digital adalah suatu medium, dan cara penggunaan akan menentukan hasilnya kepada kita. Jika disalahgunakan, ia akan membawa padah kepada kita khususnya dari segi pendedahan yang tidak terawal. Namun, jika ia digunakan untuk kebaikan, maka hasilnya sudah pasti membawa kebaikan. Dalam konteks pembelajaran bahasa kedua seperti bahasa Inggeris, sekiranya pelajar memanfaatkan peluang dan penggunaan media digital dengan betul, maka ia akan menguntungkan mereka dalam penguasaan bahasa Inggeris.  

Sebagai contoh, aktiviti mendengar audio siar (podcast) yang dirakam di dalam bahasa Inggeris juga boleh dijadikan salah satu medium untuk pelajar membina kosa kata. Di samping itu juga, pelajar juga akan dapat memerhatikan cara sebutan yang betul terutamanya sama ada dalam American English atau British English. Lambakan bahan bacaan digital yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris akan dapat dimanfaatkan selain dapat menambah minat untuk memupuk budaya membaca. Aktiviti membaca akan merangsang saraf neuron dan ini juga akan meningkatkan keupayaan untuk berfikir dengan lebih kritikal. Hasil pembelajaran yang lebih bermakna akan terjadi kerana pelajar akan berusaha belajar untuk lebih memahami tentang sesuatu perkara yang diminati atau disukai mereka.

Tiada formula khas bagi pembelajaran bahasa dan ia tidak harus dalam konteks akademik sahaja, malah hasil penguasan yang lebih mantap boleh juga diperoleh melalui pengalaman dari sekitar dan kegiatan digital.  Hasil yang menunggu akan lebih menyediakan mereka kepada penguasaan bahasa Inggeris yang lebih mantap untuk pembangunan diri dan pembelajaran mereka kelak. Oleh itu, pelajar digalakkan untuk menggunakan platform digital bagi memperkukuhkan kemahiran bahasa ini dengan cara yang menyeronokkan dan lebih bermanfaat. 

Berkomunikasi dalam bahasa Inggeris 

Salah satu cara terbaik untuk menguasai bahasa Inggeris ialah dengan menggunakannya dalam komunikasi harian. Pelajar boleh mula berbual dengan rakan atau ahli keluarga dalam bahasa Inggeris, walaupun hanya untuk perbualan asas. Selain itu, menyertai perbincangan dalam talian atau forum akademik dalam bahasa Inggeris juga boleh membantu meningkatkan keyakinan dalam bertutur dan menulis. 

Menulis jurnal atau blog dalam bahasa Inggeris 

Menulis merupakan satu cara yang efektif untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris. Pelajar boleh cuba menulis jurnal harian, artikel pendek, atau blog dalam bahasa Inggeris mengenai pengalaman mereka, pendapat tentang isu semasa, atau ulasan tentang buku dan filem. Ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kemahiran menulis, malah memberi peluang untuk membetulkan kesalahan tatabahasa dan juga struktur ayat. 

Menggunakan aplikasi pembelajaran bahasa 

Terdapat banyak aplikasi percuma yang boleh membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, seperti Duolingo, Memrise, dan Grammarly. Aplikasi ini menawarkan latihan interaktif yang membantu pelajar menguasai perbendaharaan kata, tatabahasa, dan sebutan dengan lebih berkesan. 

Menyertai program pertukaran bahasa atau kelas Bahasa Inggeris 

Jika berpeluang, para pelajar juga boleh menyertai program pertukaran bahasa atau kelas tambahan bahasa Inggeris. Berinteraksi dengan penutur asli atau pelajar lain yang juga ingin memperbaiki bahasa Inggeris mereka boleh memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih mendalam dan menyeronokkan. 

Kesimpulannya, penguasaan bahasa Inggeris yang baik akan memberi kelebihan kepada pelajar bukan sahaja dalam pembelajaran di universiti, malah dalam pembangunan diri dan sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan. Gunakalan masa dengan sebaiknya untuk memperbaiki kemahiran ini agar lebih bersedia untuk cabaran di masa hadapan. Sebagai langkah permulaan, pelajar tidak perlu takut untuk mencuba dan melakukan kesilapan dalam penggunaan bahasa Inggeris. Setiap kesilapan adalah satu peluang pembelajaran dan keberanian untuk terus berlatih, sama ada melalui membaca, menulis, mendengar, atau bercakap harus diusahakan. Dengan usaha yang berterusan dan sikap yang positif, penguasaan bahasa Inggeris yang lebih baik dapat dicapai serta akan menjadi aset penting dalam kehidupan akademik dan kerjaya pada masa hadapan. 

Dr. Abdullah Adnan Mohamed 
Dr. Abdullah Adnan Mohamed

Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
E-mel: adnan@umpsa.edu.my

Nur Syafawati Sabuan 
Nur Syafawati Sabuan

Guru Bahasa Kanan
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
E-mel: nursya@umpsa.edu.my

Dr. Mohammad Musab Azmat Ali 
Dr. Mohammad Musab Azmat Ali

Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
E-mel: mmusab@umpsa.edu.my

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Admin UMP News