Seni Campur Tangan British dalam Sejarah Tanah Melayu

Campur tangan British di Tanah Melayu bermula secara tidak langsung pada abad ke-18 melalui aktiviti perdagangan dan hubungan diplomatik. Namun, penglibatan ini semakin mendalam apabila British mula melihat Tanah Melayu sebagai kawasan strategik untuk kepentingan ekonomi dan politik mereka. Campur tangan ini berlaku secara berperingkat dan terancang dari segi ekonomi, politik, pentadbiran, pendidikan, serta sosial dan budaya yang akhirnya membawa kepada pendudukan British sepenuhnya (seluruh negeri-negeri Melayu).
Mencari Ruang untuk Campur Tangan
Langkah pertama ke arah campur tangan di Tanah Melayu adalah menggunakan alasan keselamatan untuk campur tangan dalam urusan negeri-negeri Melayu. Mereka mendakwa ingin membantu mengatasi masalah ketidakstabilan politik dan perebutan kuasa antara pembesar tempatan. Namun, di sebalik alasan tersebut tersembunyi kepentingan ekonomi terutama bagi mengawal perdagangan bijih timah dan membuka laluan strategik bagi empayar British di Asia Tenggara. Campur tangan British dapat dilihat di beberapa negeri di Tanah Melayu seperti Perak, Selangor, Pahang, Terengganu, Johor dan beberapa negeri lain. British menggunakan kekacauan dalam negeri untuk campur tangan dan menghulurkan bantuan. Wujudnya kekacauan dan perebutan kuasa dalam negeri memudahkan lagi untuk British masuk dan campur tangan sebagai mana kata pepatah Melayu ‘bagai pucuk dicita, ulam mendatang’.

Perjanjian sebagai Alat Campur Tangan
Setelah berjaya masuk untuk campur tangan, British menggunakan taktik diplomasi dan perjanjian untuk memperkukuh kedudukan mereka. Contohnya, Perjanjian Pangkor 1874 menandakan bermulanya campur tangan rasmi British di Tanah Melayu. Melalui perjanjian ini, British berjaya menempatkan wakil mereka di Perak dengan alasan membantu pentadbiran negeri. Kaedah yang sama kemudian diperluas ke negeri-negeri lain, menjadikan pengaruh British semakin kukuh tanpa perlu menakluk secara ketenteraan. Perjanjian British dengan Sultan atau pemerintah negeri telah dilakukan dengan semua negeri-negeri dalam Persekutuan.

Pelantikan Residen dan Penasihat British
Kewujudan Sistem Residen British dan Penasihat British menjadi simbol utama campur tangan mereka secara rasmi dalam pemerintahan negeri-negeri Melayu. Residen/Penasihat bertindak sebagai penasihat kepada sultan, tetapi pada hakikatnya mempunyai kuasa besar dalam hal pentadbiran dan kewangan. Walaupun sultan masih diiktiraf sebagai pemerintah rasmi, kuasa sebenar beralih ke tangan Residen. Hal ini menunjukkan cara halus British mengawal negeri-negeri Melayu tanpa menggugat struktur tradisional secara terbuka. Walhal semua hal ehwal pentadbiran negara adalah ditentukan oleh pejabat tanah jajahan British di London.

Menjaga dan Memelihara Kedaulatan Pemerintah Melayu
Untuk mengekalkan kestabilan dan mendapatkan sokongan rakyat tempatan, British mengekalkan institusi Kesultanan Melayu. Mereka menampilkan diri seolah-olah ‘melindungi’ kedaulatan raja-raja Melayu, sedangkan hakikatnya sistem ini digunakan sebagai alat untuk mengekalkan pengaruh penjajahan. British hanya membenarkan sultan terlibat dalam hal ehwal agama Islam dan adat Melayu, manakala segala urusan politik dan pentadbiran dikawal sepenuhnya oleh pihak kolonial. Sultan setiap negeri tidak bebas untuk mengadakan hubungan dengan negara luar tanpa persetujuan daripada Pejabat Tanah Jajahan British. Selain dari menjaga kedaulatan pemerintah, British juga tidak menganggu-gugat kesucian agama Islam dan budaya Melayu. Sejauhmanakah mereka tidak menganggu agama dan budaya Melayu? Lihat sahaja cukai-cukai yang dikenakan kepada masyarakat tempatan serta pengurniaan gelaran-gelaran kepada golongan bangsawan Melayu.

Dasar ‘Pecah dan Perintah’ (Divide and Rule)
Perumpamaan Melayu menyebut ‘seperti menarik rambut dalam tepung: rambut jangan putus, tepung jangan terserak’ yang membawa maksud pekerjaan yang sulit yang harus dikerjakan dengan hati-hati sekali. Salah satu strategi paling berkesan British ialah dasar ‘Divide and Rule’ atau pecah dan perintah. Dalam hal ini, British memisahkan masyarakat Tanah Melayu mengikut kaum dan peranan ekonomi, orang Melayu di desa sebagai petani, orang Cina di lombong, dan orang India di ladang. Sistem ini memastikan masyarakat tidak bersatu dan memudahkan British mengekalkan kuasa. Dalam konteks hari ini, jika masyarakat tidak bersatu padu, negara akan mudah dirosakkan oleh anasir-anasir luar.


Penyediaan Kemudahan Infrastruktur
Seiring dengan pendudukan mereka, secara tidak langsung mereka juga telah membina jalur jalan raya dan jalan kereta api bagi menghubungkan kawasan getah, bijih timah ke pelabuhan. Persoalan di sini adakah kemajuan ekonomi itu untuk rakyat tempatan atau untuk British? Selain dari menyediakan infrastruktur untuk perhubungan, British juga membina sekolah-sekolah Inggeris yang indah seni binanya. Begitu juga pembinaan hospital-hospital. Namun, semua kemudahan ini adalah untuk kepentingan ekonomi mereka dan untuk bangsa mereka yang berkhidmat di sini.
Membuat Catatan
Salah satu kebiasaan atau tabiat orang Barat yang kita boleh contohi adalah mereka gemar ‘merakamkan’ atau ‘merekodkan’ atau ‘membuat catatan’ apa sahaja yang mereka lihat dan pandang. Pengalaman bersama masyarakat tempatan sehari-hari direkodkan dengan hanya menulis tangan atau ditaip. Kaedah ini telah berjaya menarik orang sekeliling untuk mengetahui sesuatu keadaan atau peristiwa berdasarkan kaca mata seseorang penulis. Antara penulis Barat yang banyak menulis tentang keadaan Tanah Melayu semasa penjajahan adalah Stamford Raffles, R. J. Wilkinson, R.O. Winstedt, J. M. Gullick dan beberapa lagi.



Seni campur tangan British di Tanah Melayu bukan sekadar penjajahan secara ketenteraan, tetapi satu bentuk penguasaan yang bijak, licik, dan tersusun. Melalui perjanjian, Sistem Residen, serta dasar pecah dan perintah, British berjaya menguasai Tanah Melayu dari dalam tanpa menimbulkan penentangan besar-besaran. Walaupun mereka membawa kemajuan dari segi pentadbiran dan infrastruktur, kesan campur tangan ini meninggalkan impak mendalam terhadap politik, ekonomi dan identiti bangsa Melayu hingga ke hari ini. Campur tangan British di Tanah Melayu tidak berlaku secara mendadak tetapi melalui strategi halus yang bermula dengan ekonomi dan berkembang ke politik, sosial, dan budaya. Walaupun British memperkenalkan kemajuan dari segi infrastruktur, pendidikan dan pentadbiran moden, campur tangan mereka juga menyebabkan kehilangan kuasa politik raja-raja Melayu, ketidakseimbangan ekonomi, serta perpecahan masyarakat. Hari ini, kesan campur tangan itu masih dapat dilihat dalam struktur pentadbiran, sistem pendidikan, dan identiti budaya Malaysia moden. Sebagaimana kita mempelajari tentang seni mempertahankan diri, kita harus mempelajari seni campur tangan British agar sejarah tidak berulang sekali lagi.

Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 156 views