Transformasi Buku Bercetak vs Elektronik: Perspektif Trend Kelestarian Masa Hadapan
Kejayaan sesebuah bangsa dan negara adalah ditentukan oleh masyarakat yang membaca dan berilmu. Tujuan kita membaca adalah untuk mendapatkan ilmu. Ilmu pengetahuan yang diperoleh dari pembacaan dapat membentuk jati diri yang diterjemahkan kepada kejayaan dalam kehidupan serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem masyarakat dan negara.
Pendedahan kepada pembacaan yang pelbagai telah diterap dari peringkat awal pendidikan pra, pendidikan dasar, pendidikan menengah dan pendidikan tinggi. Di sepanjang tempoh proses pendidikan ini, masyarakat telah didedahkan dengan berbagai sumber pembacaan seperti buku fiksyen dan bukan fiksyen, majalah, komik dan yang lebih mendalam jurnal penyelidikan dan sebagaimya.
Fungsi dan Keperluan Perpustakaan
Keupayaan untuk menanam minat membaca dalam diri setiap insan wujud dari kemudahan yang disediakan dan akses kepada sumber pembacaan tersebut seperti Perpustakaan. Di pelbagai peringkat pendidikan sama ada rendah atau tinggi, Perpustakaan memainkan peranan penting dan merupakan entiti sokongan utama dalam menyediakan sumber koleksi bagi menggalakkan pembacaan sama ada secara santai, pengajaran, pembelajaran atau penyelidikan.
Dalam membangunkan sumber koleksi ini keutamaan bahan bacaan buku adalah berbentuk format bercetak. Namun, selari dengan perubahan zaman dan teknologi semasa memberi impak kepada keperluan kaedah baharu iaitu format buku elektronik.
Sememangnya terdapat pro dan kontra untuk Perpustakaan menyediakan koleksi buku mengikut format bercetak dan elektronik. Bagi buku format bercetak masih digemari oleh sesetengah golongan kerana elemen nostalgia seperti boleh dipegang dan pengguna masih boleh merasai aroma kertas cetakan namun, ia terbatas iaitu pengguna perlu hadir untuk membaca atau meminjam di perpustakaan. Manakala buku elektronik hanya memerlukan peranti seperti telefon pintar, tablet dan gajet bersesuaian untuk mengakses buku dan tiada batasan masa atau lokasi untuk membaca. Namun, mungkin ada isu dari segi kesihatan mata atau keperluan sistem pada peranti yang perlu dikemaskini.
Kelestarian Transformasi Pembangunan Koleksi
Untuk memastikan kelestarian dari segi pembangunan koleksi, Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengaplikasikan konsep perpustakaan hibrid iaitu kombinasi tradisional dan moden. Pembangunan koleksi ini khususnya buku telah mengalami transformasi dari format bercetak kepada format elektronik secara intensif bermula tahun 2019 sehingga kini dengan peningkatan kadar pembelian buku format elektronik melebihi bercetak sebanyak 80 peratus.
Transformasi ini juga selari mengikut perkembangan inisiatif hala tuju¬¬¬ universiti dan juga melibatkan faktor seperti peruntukan kewangan, sistem, rangkaian internet, ruang, staf, prosedur standard dan terpenting untuk memenuhi kehendak pengguna.
Ini juga dapat dilihat dari segi langganan pangkalan data buku elektronik adalah mengikut pakej kandungan subjek yang bertambah setiap tahun, dikemas kini dari segi versi dan disusuli pembelian buku elektronik secara terus untuk pakej bersesuaian berbanding pembelian buku secara bercetak. Contoh perbandingan trend penggunaan buku bercetak dan buku elektronik.

Justifikasi bagi perspektif Perpustakaan yang menunjukkan peningkatan keperluan langganan, kandungan pakej subjek dan pembelian buku elektronik secara terus melebihi buku bercetak adalah kerana:
1. Hala tuju perkembangan teknologi untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan penyelidikan untuk semua fakulti di universiti, akreditasi dan penarafan yang menjadi pemangkin kepada penyediaan sokongan perkhidmatan yang terkini, berkualiti, sahih dan pantas untuk kegunaan pengguna. Prasarana infrastruktur yang disediakan oleh universiti dari segi jaringan internet seiring dalam merialisasikan info struktur yang disediakan Perpustakaan.
2. Kemudahan akses tanpa batasan dan penggunaan bersama (Co-Usage) di antara fakulti untuk item bahan buku dan artikel jurnal contohnya platform ScienceDirect atau Springer bagi rujukan subjek yang berkaitan program yang ditawarkan oleh fakulti. Buku elektronik juga boleh diakses tanpa batasan lokasi dan masa selagi ada rangkaian internet. Ini memudahkan pengguna dalam kalangan pelajar dan pensyarah untuk mencari bahan yang diperlukan secara efisien.
3. Inisiatif adaptasi rangkaian sumber (Resource link) secara langsung dari sumber elektronik perpustakaan seperti Discovery@Lib, Library catalog@eFind, dan eResources kepada platform Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) seperti KALAM dan Pelan Pengurusan Pembelajaran (IMS Teaching Plan) iaitu inisiatif baharu untuk memenuhi kaedah keperluan pengajaran dan pembelajaran (PdP) para pengajar dan pelajar bagi memudahkan pensyarah meletakkan sumber rujukan akademik. Contohnya, di KALAM untuk diakses terus oleh para pelajar.
4. Perolehan buku elektronik berdasarkan pembelian berasaskan bukti (evidence based acquisition) atau pemilihan buku dipacu data (data driven decision making) dapat memastikan pembelian buku mengikut kehendak pengguna dari segi trend penggunaan. Apapun pelaburan yang dibuat untuk pembangunan koleksi juga perlu mengikut kesesuaian platform, pakej subjek, terma perolehan dan lain-lain kriteria berkaitan.
5. Penggunaan buku elektronik lebih mudah dipantau berbanding penggunaan buku bercetak. Data penggunaan buku elektronik dapat dijana secara pelbagai seperti muat turun akses mengikut platform, jenis bahan, buku yang tidak dapat diakses (Turnaway), pencarian (Search) atau sesi manakala buku bercetak hanya melalui pinjaman atau pemulangan bahan tersebut. Pengiraan pulangan pelaburan dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa kerana data penggunaan yang tersedia untuk digunakan bagi penyediaan pelaporan.
Mungkin perspektif pengguna berbeza dengan pihak yang mengurus atas pelbagai sebab dari segi keutamaan penggunaan format elektronik atau bercetak. Namun, keberhasilan keperluan dari sudut trend penggunaan ini dapat dilihat jelas dari segi statistik penggunaan buku elektronik dengan statistik pinjaman dan pemulangan buku bercetak yang menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun. Dari perspektif ini juga menunjukkan potensi sumber buku elektronik dapat menjamin kelestarian sumber rujukan masa hadapan.


Rujukan:
1. Dokumen Peruntukan Bajet Jabatan 2025
2. Laporan Statistik Penggunaan Pangkalan Data Perpustakaan [PPT] Jan-Jun 2025
3. Statistik Penggunaan buku elektronik mengikut platform dan statistik peminjaman dan pemulangan buku bercetak.
4. Unit Media, Perpustakaan UMPSA

Oleh: Noor Azura Omar
E-mel: noorazura@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pustakawan Kanan, Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 10 views
Reports by: