Skip to main content

Tulislah untuk Malaysia

Tanggal 31 Ogos 1957 negara kita merdeka, manakala 16 September 1963 adalah hari penubuhan Persekutuan Malaysia. Maka penulisan ini adalah untuk menyedarkan kita semua bahawa warga negara ini mempunyai peranan masing-masing bagi memastikan negara Malaysia terus maju dan membangun. Negara ini membangun maju disebabkan peranan watan atau warga Malaysia. Justeru, jalankan peranan masing-masing berdasarkan kekuatan yang mereka miliki. Kekal atau musnahnya kemerdekaan adalah disebabkan faktor warganya. Dari segi sejarah, kita dapat lihat bagaimana masyarakat zaman sebelum kemerdekaan menggunakan pena (penulisan) sebagai alat untuk menyedarkan masyarakat yang lemah dan mundur untuk keluar dari kemiskinan dan kemunduran. Mereka menyebarkan idea-idea positif untuk menyedarkan masyarakat agar keluar dari kemiskinan pemikiran, ekonomi, pendidikan, politik, dan penjajahan.

Guru-guru Melayu antara yang paling aktif menulis di surat khabar dan majalah pada waktu itu bagi menyedarkan masyarakat Melayu
Guru-guru Melayu antara yang paling aktif menulis di surat khabar dan majalah pada waktu itu bagi menyedarkan masyarakat Melayu

Golongan intelektual Melayu pada zaman itu memainkan peranan menyebarkan idea-idea kemajuan dan nasionalisme melalui tulisan mereka seperti Abdullah Kadir Munsyi (penulis hikayat Pelayaran Abdullah), Syed Sheikh Al-Hadi, Raja Ali Haji, Ibrahim bin Yaacob (penulis akhbar Warta Malaya), Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba (digelar pendeta Melayu), Harun Aminurrashid (penulis novel bercorak sejarah), Syeikh Tahir Jalaluddin, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad (dikenali sebagai Pak Sako), Abdul Rahim Kajai (Bapa Kewartawanan Melayu), Ibu Zain, dan banyak lagi. Manakala penulis barat pula terdiri dari R.J. Wilkinson, John Crawford, R.O. Winstedt (menulis History of Classical Malay Literature), Stamford Raffles, W. Shellabear (penulis Malay Annals), W. Linehan (menulis buku Sejarah Pahang), Rupert Emerson (A Study Indirect and Direct Rule) dan beberapa orang pegawai British banyak menyimpan cerita tentang Tanah Melayu semasa mereka berkhidmat di negara ini. Boleh dikatakan hampir semua pegawai-pegawai British menulis dan mencatat segala peristiwa yang mereka alami bersama masyarakat Tanah Melayu pada waktu itu. Hasilnya tulisan mereka menjadi rujukan generasi masa kini bagi mengetahui latar belakang dan peristiwa pada waktu berkenaan serta perkara berkaitan sistem pemerintahan mereka di sini. Tulisan mereka dirujuk oleh bangsa yang mereka jajah walaupun tulisan mereka terselit British Centric di situ. 

Secara amnya, konsepnya ini sama sahaja dengan masa kini. Penulisan merupakan cara yang sangat efektif untuk menyebarkan idea dan maklumat kepada masyarakat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sedar atau tidak, setiap dari kita mempunyai kepakaran yang perlu dikongsi dengan masyarakat di luar sana. Para sejarawan berperanan mengkaji dan merakamkan tentang sejarah negara. Malaysia mempunyai sejarah yang panjang dan tersimpan banyak rakaman peristiwa sehingga membentuk Malaysia pada hari ini. Masih terdapat banyak kisah-kisah silam yang belum diterokai dan fail banyak tersimpan di Arkib Malaysia dan Arkib London. Maka kitalah yang bertanggungjawab untuk menganalisis dan menggali ilmu sejarah tersebut. Dewasa ini memperlihatkan betapa pentingnya dokumen-dokumen masa lalu disimpan untuk rujukan pada masa kini atau masa akan datang, khususnya yang melibatkan pertikaian antara dua buah negara mengenai kedaulatan dan kemerdekaan sesuatu wilayah atau negeri. Jangan biarkan negara tergadai hanya kerana kita gagal merakamkan dan menyimpan dokumen penting negara.  

Para guru pula tidak hanya mendidik semata-mata, mereka juga menulis buku rujukan untuk para pelajar. Ilmu perlu diperoleh dari dua cara iaitu secara langsung dengan guru dan melalui pembacaan yang bermutu. Para pensyarah IPTA/IPTS juga walaupun peranan mereka sama seperti seorang guru, mereka juga menulis buku berdasarkan kepakaran masing-masing. Selain itu, mereka juga perlu membuat kajian dan menulis hasil kajian tersebut sama ada dengan menghasilkan buku, artikel jurnal serta artikel surat khabar bagi menyebarkan penemuan baharu untuk masyarakat dan negara. Syabas kepada pensyarah, penyelidik yang berjaya menghasilkan penemuan terbaharu sehingga mampu meraih nama dan mengharumkan nama di luar negara. 

Profesor Madya Dr. Hazrulrizawati menghasilkan produk rawatan tulang melalui tanduk rusa
Profesor Madya Dr. Hazrulrizawati menghasilkan produk rawatan tulang melalui tanduk rusa

Para pelajar IPT pula tidak kurang hebatnya dalam menghasilkan atau membuat projek tahun akhir mereka dengan mencipta produk baharu berdasarkan apa yang mereka pelari di dalam bilik kuliah. Pelajar tidak semata-mata memahami teori, malahan mereka perlu menunjukkan penguasaan ilmu dalam sesuatu bidang dengan menghasilkan ciptaan baharu berdasarkan apa yang mereka telah pelajari. Di sini kita dapat melihat kemampuan pelajar IPT dalam membantu bukan sahaja universiti mereka, malahan ada antara mereka yang mampu mencipta nama di luar negara.

 

 Discovery of new knowledge in impactful journal writing


Discovery of new knowledge in impactful journal writing

Ahli politik sememangnya mempunyai pengalaman yang pelbagai semasa mereka berada dalam arena politik tanah air. Pengalaman peribadi menyandang pelbagai jawatan dalam politik boleh diabadikan sebagai kenangan yang dijelmakan melalui penulisan buku. Segala pahit manis yang dilalui bersama masyarakat perlu dibukukan kerana ia perlu dibaca untuk generasi pewaris bangsa dan negara pada masa akan datang. Pengalaman orang lalu seharusnya dijadikan pedoman untuk pembangunan politik pada masa akan datang. Kemampuan dan bakat memimpin sesetengah ahli politik ada kalanya menjadi sumber inspirasi masyarakat di luar sana dan mereka menulis biografi tentang pemimpin tersebut. 

Para pejuang bahasa juga tidak ketinggalan memainkan peranan untuk memperkembangkan dan mengangkat bahasa yang menjadi identiti bangsa ke persada antarabangsa. Sebagaimana yang telah diketahui umum, bahasa adalah elemen penting kewujudan sesuatu peradaban kerana sesuatu bangsa itu dikenali melalui bahasanya. Bahasalah yang membezakan sesuatu peradaban. Tanpa bahasa hilanglah sesuatu peradaban. Kepada pakar bahasalah negara bergantung harap agar bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara ini dihormati, dikenali dan dikembangkan ke seluruh negara. Tulislah sebanyak mungkin bahan bacaan dalam bahasa Melayu, angkatlah bahasa Melayu setinggi mungkin, kekalkan penggunaan, suatu masa bahasa Melayu akan berdiri sebaris dengan bahasa dunia lain. 

Para agamawan, tulislah ilmu agama dan jangan pernah berasa lelah untuk menulis mengikut kepakaran masing-masing. Sebarkan ilmu agama dengan lebih meluas tidak hanya sekadar kuliah-kuliah ringkas di masjid-masjid. Sebarkannya di semua media sosial yang banyak menyediakan peluang untuk menulis di samping membukukan ceramah-ceramah agama dalam bentuk yang lebih menarik. Tunjukkan kepada masyarakat ilmu agama bukan sahaja boleh didapati di kuliah dan masjid, malahan ilmu agama ada dalam pelbagai bentuk mengikut minat masing-masing. 

Akhir sekali, universiti sememangnya memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran ilmu. Justeru, universiti harus bekerja keras bagi menghasilkan tulisan-tulisan bermutu bukan sahaja untuk rujukan warga universiti, malahan untuk masyarakat di luar sana yang dahagakan ilmu yang bukan sahaja ilmu akademik, malahan ilmu bukan akademik. Jika ini mampu dilakukan, maka universiti ini telah berjaya berperanan sebagai gedung ilmu untuk masyarakat, agama dan negara.

Sebagai penutup, tulislah untuk agama, bangsa dan negaramu yang merdeka ini. 

Dr. Hasnah Hussiin
Dr. Hasnah Hussiin

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

E-mel: hasnah@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News