UMPSA memperkasa bahasa warisan melalui audio siar ‘UMPSA Ethnic Inspiration: My Language, My Heritage’
Hayat bahasa di akal bangsanya, ajal bahasa di keris bangsanya.
Bahasa adalah alat komunikasi. Bahasa adalah penentu identiti, warisan budaya dan jambatan menghubungkan generasi. Menyedari kepentingan ini, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menganjurkan audio siar (podcast) ‘UMPSA Ethnic Inspiration: My Language, My Heritage’ bagi memperkasa warisan bahasa, membina jati diri pelajar dan mengeratkan hubungan komuniti.
Audio siar yang berlangsung pada 14 November 2025, menampilkan dua penceramah luar dan disertai pelajar, guru bahasa dan pensyarah universiti yang membincangkan kepelbagaian bahasa warisan seperti bahasa Kadazandusun dan Tamil, sambil menyemai rasa bangga terhadap budaya tempatan dalam kalangan generasi muda.

Tema ‘My Language, My Heritage’ atau ‘Bahasaku, Warisanku’ dipilih kerana bahasa merupakan instrumen utama dalam pembentukan identiti budaya generasi kini. Dalam era globalisasi, generasi muda memerlukan ruang untuk memahami akar bahasa dan warisan mereka agar tidak terputus daripada latar identiti sebenar. Selaras dengan aspirasi UMPSA, program ini menyokong pembangunan mahasiswa dan mahasiswi, khususnya dalam kelestarian budaya dan pengantarabangsaan.
Dari segi kemahiran insaniah pula, pendekatan pembelajaran pengalaman memberi impak positif. Menurut Feng, Chen, dan Li (2023), reka bentuk pengajaran berasaskan metakognisi budaya meningkatkan kompetensi antara budaya pelajar melalui aktiviti projek komuniti, bengkel, dan interaksi merentas budaya. Dalam konteks audio siar bahasa warisan ini, pelajar berpeluang mempelajari bahasa Kadazandusun dan Tamil sambil memahami budaya dan amalan masyarakat yang memeliharanya. Proses ini membantu mereka mengasah kemahiran komunikasi dan kepekaan terhadap kepelbagaian budaya, sekaligus membentuk identiti pelajar yang lebih inklusif dan berdaya saing dalam masyarakat berbilang bahasa.
Melalui program ini, pelajar turut digerakkan sebagai agen perubahan dalam pemeliharaan kepelbagaian linguistik negara, menjadikan program satu usaha berstruktur universiti dalam memperkukuh identiti pelajar dan menyemai toleransi antara komuniti. Pendekatan ini juga sejajar dengan SDG 4 yang menekankan penyediaan pendidikan berkualiti dan inklusif, serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
Audio siar dirasmikan oleh Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali dan dikendalikan oleh moderator, Guru Bahasa PBM, Mohammad Baihaqi Hasni dan Guru Bahasa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Florina Jumil, membawakan sesi pertama bertajuk ‘Kadazandusun: Cerita Bahasa, Cerita Jiwa (Susui do boros, susui do ginawo)”. Beliau menayangkan video pembelajaran bahasa Kadazandusun yang menerangkan budaya masyarakat Kadazandusun termasuk tarian Sumazau dan memperkenalkan Poniukadan (peribahasa Kadazandusun) dan nilai teras seperti hormat dan kesyukuran.

Florina turut menekankan penggunaan teknologi untuk memperkasa pembelajaran bahasa warisan sambil menyeru para peserta menghargai bahasa warisan. Bahasa Kadazandusun adalah warisan yang tidak ternilai dan tanggungjawab memeliharanya bukan hanya di bahu penutur asal tetapi juga setiap individu yang menghargai warisan bangsa.

Dr. Thanam Subramaniam dari Kolej Sunway pula membawakan sesi kedua ‘Lintasan Suara: Bahasa Warisanku Tamil (மொழிகளின் சந்திப்பு: தமிழ் மொழி பாரம்பரை)’. Beliau berkongsi sejarah bahasa Tamil, perkembangannya dalam media, muzik dan teknologi dan nilai seperti kejujuran, tanggungjawab, keadilan serta konsep kebaikan (aram). Tayangan dokumentari bahasa Tamil turut membantu peserta memahami keindahan bahasa warisan ini.

Dr. Thanam menekankan bahawa kita harus berasa bangga dan tidak malu menggunakan bahasa warisan seperti bahasa Tamil di tempat awam. Bahasa warisan tiada gantinya dan wajar dipertuturkan secara aktif oleh generasi kini dan akan datang.

Audio siar ini juga menampilkan sesi kuiz interaktif untuk menguji kefahaman peserta. Seramai 13 pelajar menerima e-baucar daripada Koperasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (KOPUMPSA) Berhad sebagai penghargaan atas penyertaan aktif mereka. Dengan penglibatan aktif ini, peserta menunjukkan minat tinggi terhadap kepelbagaian bahasa warisan dengan kesedaran yang semakin mendalam tentang nilai linguistik dalam kehidupan seharian. Pengalaman mempelajari bahasa Kadazandusun dan Tamil menjadikan peserta lebih menghargai keunikan budaya negara.
Audio siar ini dilihat meningkatkan kemahiran komunikasi, kolaborasi dan keberanian pelajar untuk tampil dalam konteks budaya. Hal ini selari dengan kajian Liu (2025) yang menyatakan bahawa kemahiran komunikasi antara budaya menyumbang kepada literasi pelbagai bangsa dalam kalangan pelajar universiti. Di peringkat institusi, integrasi warisan budaya melalui bengkel seni dan sambutan kebudayaan pula dikenal pasti sebagai aset strategik untuk membina rasa kepunyaan pelajar (Kinainah, 2025) menunjukkan bahawa pendekatan audio siar ini penting untuk memperkukuh kompetensi budaya dan identiti pelajar.
Dengan kejayaan yang dicapai, audio siar ini berpotensi menjadi program tahunan universiti bagi memupuk kecintaan terhadap bahasa dan budaya dalam komuniti serta mengukuhkan jaringan universiti dengan pelbagai pihak.
Bahasa warisan adalah nadi budaya kita. Setiap perkataan yang kita pelihara, setiap cerita yang kita kongsi, merupakan langkah menjaga warisan bangsa untuk generasi akan datang. Mari kita terus memelihara bahasa warisan dan terus mendidik generasi yang menghargai warisan bangsa.
Hayati bahasa, hayati budaya.
Rujukan:
Feng, L., Chen, X., & Li, H. (2023). Developing intercultural competence through a cultural metacognition-featured instructional design. Frontiers in Psychology, 14, Article 1246141.
Kinainah, K. Z. (2025). Kepelbagaian budaya dan warisan sebagai aset strategik dalam persekitaran universiti. Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPM.
Liu, H. K. (2025). Exploring the impact of cultural intelligence on multicultural literacy in university students: A serial mediation model of cultural exposure and cross‑cultural communication skills. Frontiers in Psychology, 16.

Oleh: Leong Hui Theng
Guru Bahasa
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
E-mel: leonghuitheng@umpsa.edu.my

Oleh: Nur Anisnabila Dianah
Guru Bahasa
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
E-mel: nuranisnabila@umpsa.edu.my

Oleh: Mahzaton Aqma Abu Talip
Guru Bahasa
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
E-mel: mahzaton@umpsa.edu.my
- 31 views
Reports by: