Skip to main content

UMPSA Perkasa Bakat Pentadbiran Melalui Sangkutan di Aviation Australia, Brisbane, Australia

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mempergiat agenda pengantarabangsaan melalui pelaksanaan program mobiliti staf yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat dan peningkatan kompetensi. Inisiatif ini diterjemahkan menerusi Program Sangkutan Staf Pentadbiran yang melibatkan dua wakil dari Pusat Pembangunan Bakat, Jabatan Pendaftar iaitu Pengarah Pusat Pembangunan Bakat, Juliana Mohd Ali dan Penolong Pegawai Tadbir Kanan, Noranita Mohammad pada 20 hingga 24 April 2026 di People and Culture (P&C), Aviation Australia. 

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik UMPSA di bawah inisiatif Amanat Naib Canselor UMPSA 2026, Lonjakan 3 (Bakat) – Mobiliti staf dan Pelan Strategik UMPSA 2025 – 2030; OS: 1B: Attracting and Nurturing Global Talent (Staff) berobjektifkan untuk meningkatkan pendedahan global kepada staf sebagai usaha memperluas pengalaman dan memperkukuh kompetensi staf melalui penglibatan dalam program mobiliti bertaraf antarabangsa serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dengan institusi pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Aviation Australia – Your Future in Aviation Starts Here

Aviation Australia adalah sebuah organisasi latihan penerbangan bertaraf antarabangsa yang berpangkalan di Brisbane, Australia. Ditubuhkan bagi menyokong keperluan industri penerbangan global, Aviation Australia menawarkan pelbagai program latihan teknikal dan vokasional khususnya dalam bidang penyelenggaraan pesawat (aircraft maintenance), kru kabin (cabin crew), juruterbang (pilot) serta latihan juruterbang jarak jauh (remote pilot). Aviation Australia merupakan rakan kerjasama kepada lebih 60 syarikat penerbangan dan syarikat aeroangkasa, kerajaan, angkatan pertahanan serta pihak berkuasa kawal selia dengan lebih 1,000 graduan yang kini berkhidmat di seluruh dunia.

UMPSA Perkasa Bakat Pentadbiran Melalui Sangkutan di Aviation Australia, Brisbane, Australia

Sepanjang lawatan, fokus utama lawatan ini adalah berpusat di People and Culture, Aviation Australia yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber manusia merangkumi pengambilan, pembangunan dan pengekalan bakat berkemahiran tinggi dalam industri penerbangan, selain menyelaras program latihan dan pembangunan kompetensi bagi memastikan staf kekal relevan dengan keperluan industri. 

UMPSA Terokai Dunia Aviation Australia

Hari pertama program sangkutan dimulakan dengan sesi pertemuan bersama pasukan People and Culture yang diketuai oleh Head of People and Culture, Kerrie Fiechtner. Dalam sesi tersebut, delegasi telah diberikan taklimat berkaitan struktur organisasi Aviation Australia, peranan dan fungsi setiap jabatan serta penawaran program oleh organisasi tersebut. Delegasi turut didedahkan dengan peranan strategik People and Culture dalam menyokong pembangunan bakat dan pengurusan sumber manusia secara keseluruhan. Selain itu, sesi turut disusuli dengan pertemuan ringkas bersama Executive Dean, Higher Education and Emerging Technologies, Profesor Talal Yusaf, yang juga merupakan individu penting memainkan peranan menghubungkan universiti dan industri penerbangan di Australia.

Seterusnya, delegasi UMPSA telah dibawa untuk site tour di beberapa lokasi merangkumi beberapa kemudahan latihan utama meliputi hangar latihan bagi penyelenggaraan pesawat, pusat latihan cabin crew yang memberi pendedahan kepada aspek perkhidmatan dan keselamatan penerbangan serta bilik kuliah yang digunakan untuk sesi pembelajaran teori dan latihan. 

Selepas sesi lawatan fasiliti, delegasi UMPSA seterusnya telah menghadiri beberapa sesi taklimat yang memberi pendedahan kepada aspek tadbir urus dan keselamatan di Aviation Australia. 

UMPSA Perkasa Bakat Pentadbiran Melalui Sangkutan di Aviation Australia, Brisbane, Australia

Taklimat pertama berkaitan Risk and Compliance telah disampaikan oleh Owen Buckley yang menekankan pengurusan risiko serta pematuhan terhadap standard operasi dan peraturan industri penerbangan termasuk keperluan pematuhan kepada badan pengawal selia seperti Civil Aviation Safety Authority (CASA) dan European Union Aviation Safety Agency (EASA). Taklimat ini memberi gambaran tentang kepentingan kerangka kawal selia antarabangsa dalam memastikan tahap keselamatan, kualiti latihan serta integriti operasi penerbangan sentiasa berada pada standard tertinggi.

Sesi diteruskan dengan taklimat Safety and Security oleh Carl Torrie yang memberi fokus kepada aspek keselamatan operasi serta pematuhan prosedur keselamatan dalam persekitaran latihan dan industri. Kedua-dua sesi ini memberi pemahaman kepada delegasi mengenai kepentingan elemen keselamatan, pematuhan dan pengurusan risiko dalam ekosistem penerbangan.

Delegasi turut berpeluang mengikuti sesi CEO Virtual Town Hall yang disampaikan oleh Chief Executive Officer Aviation Australia, Glenn Ryan selama kira-kira 30 minit. Sesi ini memberi perkongsian berkaitan perkembangan semasa dan pelancaran logo baharu Aviation Australia.

UMPSA Meneroka Amalan Pelan Penggantian Aviation Australia bagi Menjamin Kesinambungan Kepimpinan

Bersesuaian dengan salah satu objektif program sangkutan ini iaitu untuk menanda aras pelaksanaan pelan penggantian dan pembangunan kepimpinan dalam konteks kesinambungan organisasi, delegasi UMPSA telah diberikan perkongsian oleh Kerrie Fiechtner berkaitan pelaksanaan perancangan penggantian di Aviation Australia serta berkongsi pendekatan semasa yang sedang dibangunkan di UMPSA.

UMPSA Perkasa Bakat Pentadbiran Melalui Sangkutan di Aviation Australia, Brisbane, Australia

Pelan penggantian di Aviation Australia mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 2025 dan masih berada pada peringkat awal pelaksanaan. Namun demikian, ia dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh daya tahan organisasi (resilience) khususnya bagi memastikan kelangsungan operasi sekiranya berlaku kekosongan dalam peranan kritikal. Dalam konteks industri penerbangan, jawatan kritikal (critical roles) ditakrifkan sebagai jawatan yang memberi impak besar terhadap operasi sekiranya tidak diisi, termasuk jawatan yang tertakluk kepada keperluan badan kawal selia seperti CASA dan EASA. Sebagai contoh, kekosongan dalam jawatan seperti Penyelia Hangar boleh menyebabkan operasi penyelenggaraan pesawat terpaksa dihentikan sepenuhnya sekali gus menegaskan kepentingan pelan sandaran yang sistematik dalam memastikan kelangsungan fungsi teras organisasi.

UMPSA Dalami Program Emerging Leaders bersama Pakar P&C Aviation Australia dan Program Pembangunan Kepimpinan CQU 

Sesi bersama Senior People and Culture Business Partner, Lisa Floyd memberi fokus kepada perkongsian berkaitan pelaksanaan program pembangunan kepimpinan di organisasi tersebut. Dalam sesi ini, beliau menghuraikan struktur dan reka bentuk program kepimpinan yang dilaksanakan, termasuk pendekatan keseluruhan dalam membangunkan kumpulan pemimpin pelapis di peringkat organisasi. Pada masa ini, program pembangunan kepimpinan di Aviation Australia merangkumi:

a.    Onboarding Leadership Program
b.    HR for Leaders Miniseries – Information Sessions bi-monthly (Decision Making & Change Management)
c.    Coaching/Mentoring 
d.    Emerging and Developing Leaders (EDL) Program – Annually
e.    EDL Alumni Leaders Program – Brave VR

Sesi ini memberikan gambaran kepada delegasi UMPSA mengenai amalan Aviation Australia dalam membangunkan ekosistem kepimpinan yang menyokong pertumbuhan bakat secara holistik dan selaras dengan keperluan organisasi.

Seterusnya, delegasi UMPSA berkesempatan mengadakan pertemuan ringkas secara bersemuka bersama Glenn Ryan. Dalam sesi tersebut, delegasi telah memperkenalkan peranan dan fungsi masing-masing serta menjelaskan objektif pelaksanaan program sangkutan yang memfokuskan kepada pembelajaran dan penerokaan amalan terbaik dalam konteks pembangunan sumber manusia.

Dalam pertemuan singkat itu, CEO Aviation Australia menekankan kepentingan perkongsian ilmu dan pendedahan kepada amalan terbaik organisasi. Beliau turut menyatakan bahawa walaupun terdapat perbezaan dari segi struktur dan budaya kerja, delegasi digalakkan untuk memanfaatkan pengalaman ini bagi tujuan penambahbaikan berterusan di institusi masing-masing.

Pengalaman dan pendedahan berkaitan pembangunan kepimpinan ini seterusnya diperkukuh melalui lawatan singkat delegasi UMPSA ke Central Queensland University (CQU), kampus Brisbane yang terletak di pusat bandar Brisbane yang diaturkan oleh Profesor Talal Yusaf susulan pertemuan ringkas pada hari pertama program sangkutan. 

Lawatan tersebut memberi ruang kepada delegasi untuk meninjau pendekatan institusi pengajian tinggi tersebut dalam membangunkan kapasiti barisan kepimpinan. Sesi tersebut telah disertai secara dalam talian oleh Senior Workforce Capability Partner, People and Culture CQU, Samantha Olive dan Deputy Director International Operations, Student Success Department, Meena Issar yang berkongsi amalan universiti dalam pembangunan kepimpinan sekali gus melengkapkan perspektif delegasi UMPSA terhadap pelaksanaan pembangunan bakat merentas sektor industri dan akademia.

Menariknya, program pembangunan kepimpinan di CQU juga merupakan inisiatif yang baharu diperkenalkan bermula pada tahun 2025 dengan tiga program utama iaitu Leading Self (projek rintis dilaksanakan pada tahun 2025), Leading Others (projek rintis dijadualkan pada tahun 2026) serta Supervisor Series yang merangkumi lapan sesi dengan tema Service Excellence yang akan dilaksanakan pada tahun 2026. 

Selepas sesi perkongsian tersebut, delegasi UMPSA telah dibawa melawat beberapa fasiliti utama di CQU bagi melihat sendiri persekitaran pembelajaran, kemudahan sokongan akademik serta infrastruktur yang menyokong suasana pembelajaran kondusif. Kampus CQU yang terletak strategik di pusat bandar Brisbane turut memberikan kelebihan dari segi aksesibiliti, jaringan industri serta pendedahan kepada persekitaran bandar yang dinamik.

Penutup

Secara keseluruhannya, program sangkutan ini dapat memperkukuh keupayaan strategik UMPSA dalam pembangunan bakat pentadbiran melalui pendedahan kepada amalan terbaik di peringkat antarabangsa, di samping memberi nilai tambah kepada penambahbaikan berterusan kerangka pembangunan sumber manusia universiti serta memperluas jaringan kerjasama strategik antara UMPSA dan rakan kerjasama global. 

Sepanjang tempoh lima hari tersebut, sebahagian besar pengisian program tertumpu di Aviation Australia, manakala lawatan ke CQU dilaksanakan dalam tempoh yang lebih singkat. Delegasi UMPSA turut mendapati persekitaran kerja di kedua-dua organisasi tersebut sangat mesra dan welcoming, sekali gus mencerminkan budaya organisasi yang inklusif, profesional serta menyokong kesejahteraan warganya.

Penulis merupakan Pengarah dan Penolong Pegawai Tadbir Kanan Pusat Pembangunan Bakat, Jabatan Pendaftar, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Juliana Mohd Ali
Juliana Mohd Ali
Noranita Mohammad
Noranita Mohammad

Oleh: Juliana Mohd Ali, Noranita Mohammad
E-mel: juliana@umpsa.edu.my, noranita@umpsa.edu.my

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri