12 staf akademik UMPSA terima surat kenaikan pangkat
PEKAN, 17 Disember 2024 – Seramai 12 staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini menerima surat surat kenaikan pangkat bagi calon-calon yang berjaya dalam permohonan kenaikan pangkat jawatan akademik.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha dalam ucapannya menegaskan bahawa kenaikan pangkat bukanlah satu hak, tetapi adalah hasil daripada merit kecemerlangan.
Beliau turut mengingatkan agar mereka yang dinaikkan pangkat perlu menjadi suri teladan (role model) dan meneruskan kerja yang baik serta cemerlang untuk memberi inspirasi kepada orang lain.
“Kenaikan pangkat ini adalah peluang untuk memberi sumbangan semula kepada universiti.
“Semua ini berkait rapat dengan hubungan kita dengan Allah SWT, bersihkan diri daripada perkara-perkara yang tidak baik, dan selalu menjaga integriti diri.
“Malah, staf juga perlu sentiasa memperbaiki diri, mempunyai niat yang betul dalam bekerja, dan sentiasa mengutamakan universiti dalam setiap tindakan,” ujarnya.
Di samping itu juga, beliau turut menekankan bahawa penghargaan dan pengiktirafan akan datang dengan usaha yang berterusan serta komitmen terhadap kecemerlangan.
“Semangat pasukan yang tinggi dan kerjasama adalah kunci kejayaan universiti.
“Justeru, saya berharap agar staf UMPSA terus berusaha ke arah kecemerlangan demi kemajuan bersama,” katanya.
Antara staf yang dinaikkan pangkat adalah Fathiah Izzati Mohamad Fadzillah dan Hanisah Bon (Kasbon) dari Pusat Bahasa Moden (PBM) yang dinaikkan pangkat ke jawatan Guru Bahasa Gred DG44/ DG10 (SSPA).
Zulfika Anuar dan Zusafly Zubir dari Pusat TVET Termaju pula dinaikkan pangkat ke jawatan Pegawai Latihan Vokasional Gred DV44/ DG10 (SSPA).
Selain itu, Nurul Wahidah Arshad dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, (FTKEE) dinaikkan pangkat ke Pensyarah Universiti Gred DS52/ DS13 (SSPA).
Beberapa pensyarah yang dinaikkan pangkat ke Pensyarah Universiti Gred DS54/ DS14 (SSPA) termasuklah Profesor Madya Dr. Mohamad Shaiful Abdul Karim dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohammad Fadhil Abas dari FTKEE, Profesor Madya Ts. Dr. Hajar Fauzan Ahmad dari Fakulti Sains Teknologi Industri (FSTI), Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Rashidi Maarof dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Madya Ts. Dr. Lee Khai Loon dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI), dan Profesor Madya Ts. Dr. Liew Siau Chuin dari Fakulti Komputeran (FK).
Manakala menurut Pengarah Pusat TVET Termaju, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani, beliau turut menekankan mengenai pentingnya untuk sentiasa peka terhadap persekitaran dan tidak terlepas pandang terhadap hak-hak yang perlu dipenuhi.
Manakala Dekan FTKMA, Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad pula menyatakan bahawa kenaikan pangkat perlu dilihat sebagai peningkatan tanggungjawab yang lebih besar dan memberi peluang untuk lebih banyak sesi mentoring bagi perkongsian ilmu.
Dekan FTKEE, Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal turut menekankan kepentingan aspek profesionalisme seperti penampilan diri, ketepatan masa, dan pembinaan persepsi positif dalam kalangan staf.
Dekan Pusat Bahasa Moden (PBM), Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi juga mengingatkan bahawa setiap tahap dalam organisasi memainkan peranan penting untuk memastikan kelancaran operasi universiti dan staf perlu sentiasa terbuka untuk bekerjasama.
Sesi serahan surat kenaikan pangkat ini adalah simbol pengiktirafan terhadap sumbangan dan prestasi staf, serta satu langkah ke hadapan dalam memajukan UMPSA.
Disediakan Oleh: Siti Sakinah Mohtar, Jabatan Pendaftar
- 87 views