Skip to main content

1,576 pelajar baharu daftar di UMPSA

GAMBANG, 29 September 2024 - Seramai 1,576 pelajar baharu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mendaftar bagi sesi ambilan kali ini.

Ia melibatkan seramai 978 orang pelajar mengikuti pengajian di UMPSA kampus Gambang manakala selebihnya iaitu seramai 598 di kampus Pekan.

Pendaftaran pelajar diadakan di beberapa lokasi berbeza secara serentak iaitu di Dataran Pusat Aktiviti Pelajar (PAP) untuk pelajar UMPSA Pekan, manakala Kolej Kediaman 3 dan 4 pula untuk pelajar UMPSA kampus Gambang.

Proses pendaftaran yang bermula seawal jam 8.30 pagi dilihat berjalan lancar dan mendapat kerjasama yang baik daripada semua pelajar, ibu bapa dan petugas.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin turut meluangkan masa bertemu mahasiswa baharu semasa proses pendaftaran. 

1,576 pelajar baharu daftar di UMPSA

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed. 

Dalam pada itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut berpeluang melawat kemudahan dan kebersihan ruang di bangunan kolej kediaman termasuklah gimnasium dan dapur siswa yang disediakan buat mahasiswa.

Beliau turut mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada mahasiswa baharu ijazah sarjana muda yang memilih destinasi pendidikan tinggi di legasi UMPSA bagi sesi akademik 2024/2025. 

“Saya mengharapkan para pelajar yang terpilih melanjutkan pelajaran di UMPSA akan menjalankan tanggungjawab sehabis baik dengan penuh semangat dan berdedikasi,” ujarnya. 

Pasangan kembar seiras dari Miri, Sarawak, Gabriella Dorrie anak Guri dan adik kembarnya Gabriellyn Norwie, 19 adalah antara 1,576 pelajar baharu yang mendaftar di kampus Gambang. 

1,576 pelajar baharu daftar di UMPSA

Ternyata mereka begitu teruja apabila diterima melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Data Analitik di Fakulti Komputeran.

Gabriella Dorrie berkata, dia dan kembarnya amat bersyukur dan merasa bertuah apabila impian untuk melanjutkan ke UMPSA menjadi kenyataan walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga.

“Berpeluang menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang yang kami inginkan bukanlah  halangan untuk menyambung pengajian demi cita-cita untuk menjadi pakar komputer suatu hari nanti,” katanya. 

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri