250 pelajar dan guru KV sertai Program Pemerkasaan TVET PRS
PEKAN, 7 Ogos 2023 - Penganjuran Program Pemerkasaan TVET Bersama Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang yang sertai seramai 250 pelajar dan guru-guru melibatkan 86 Kolej Vokasional (KV) seluruh Malaysia berjaya menyuntik minat, membangunkan potensi dan memperkasa daya saing para pelajar dalam menceburi bidang berkaitan TVET.
Program yang berlangsung selama empat hari tiga malam itu yang bermula mulai 4 Ogos lalu di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebagai tuan rumah amat bertepatan dalam rangka serta usaha kerajaan untuk memperkasakan program TVET sebagai agenda pembangunan negara.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserie Zainuddin, UMP sentiasa komited untuk konsisten mendukung agenda pemerkasaan TVET seperti yang telah digariskan di dalam Pelan Strategik UMPSA 2021- 2025 Objektif Strategik 1 (OS 1) Keunggulan TVET Aras Tinggi.
“Dengan kepakaran yang dimiliki oleh universiti dalam pelbagai lapangan Kejuruteraan, Sains dan Teknologi, saya percaya UMP sememangnya berkeupayaan untuk berperanan sebagai rakan sinergi yang kompeten dalam konteks tersebut.
“Para pelajar lepasan KV dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) berpeluang untuk ditawarkan ke program-program akademik berteraskan Kejuruteraan, Sains, Teknologi dan Pengurusan di UMP sama ada di peringkat diploma atau SARJANA MUDA,” katanya ketika merasmikan program.
Selain itu, UMPSA turut menawarkan program-program Kejuruteraan seperti Kejuruteraan Teknologi dan Teknologi kepada para pelajar lepasan SPM khususnya pelajar lepasan SMT manakala bagi pelajar lepasan KV, UMPSA yang merupakan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menawarkan tujuh program Bachelor Technology (BTech) khusus buat pelajar lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM).
Beliau juga mengucapkan syabas dan penghargaan kepada rakan-rakan dari BPLTV, guru-guru, kaunselor, KV, SMT dan semua yang terlibat atas komitmen dalam menjayakan pelaksanaan program ini.
Malah beliau juga mengharapkan sinergi kerjasama ini dapat diteruskan bagi mengukuhkan lagi agenda pemerkasaan TVET.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Murid, Sektor Pengurusan Kecemerlangan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Khairul Anuar Ramlan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak UMPSA yang bekerjasama dan menjayakan program ini.
“Program ini juga dapat membantu kaunselor menggerakkan perkhidmatan Unit Psikologi dan Kerjaya secara lebih berkesan dengan bantuan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang dilatih secara sistematik.
“Manakala PRS memainkan peranan yang amat penting dalam kemenjadian pelajar khususnya di KV dan SMT memandangkan mereka merupakan kumpulan pemimpin yang amat penting sebagai pendamping kepada pelajar yang lain serta mampu menjadi fasilitator yang mempunyai tahap empati yang tinggi serta membentuk nilai kepimpinan dalam diri,” katanya.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Pengerusi Pengarah KV/SMT Zon Pahang, Tuan Haji Zakaria Omar dan Penolong Pengarah Unit Pengurusan Murid, BPLTV. Nor Maizan Samsudin.
Program mendapat kerjasama antara Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Kementerian Pendidikan, Majlis Pegawai Kaunseling Pendidikan, KV dan Sekolah Menengah Teknik Malaysia (MAPEKA).
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 164 views