42 staf UMP berbasikal sejauh 4.6 km tamatkan misi kayuhan
PEKAN, 28 November 2020 - Cuaca hujan tidak langsung menghalang 42 orang staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) menamatkan kayuhan sejauh 4.6 kilometer dalam Pertandingan UMP Cycling Challenge 2020 anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP baru-baru ini.
Peserta dilepaskan pada jam 8.00 pagi oleh Pegawai Belia dan Sukan merangkap Pengarah Program, Mohd Aznorizamin Ismail di Dewan Serbaguna, UMP Pekan.
Menurut Mohd Aznorizamin, program ini merupakan perlumbaan basikal (lap race) iaitu perlumbaan jarak dekat mengikut pusingan dalam usaha menggalakkan aktiviti berbasikal dan memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan staf.
“Walaupun cuaca hujan, namun semua peserta berjaya menamatkan sehingga ke garisan penamat.
“Acara berbasikal yang dipertandingkan adalah acara lebuh raya (Road Bike) dan Mountain Bike (MTB) bagi kategori lelaki dan wanita,” katanya.
Bagi seorang peserta, Ts. Muhammad Ikram Mohd Rashid yang juga merupakan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) berkata, beliau amat gembira dan terkejut apabila menjuarai acara lebuh raya (Road Bike) dan meraih tempat ketiga dalam acara Mountain Bike (MTB) bagi kategori lelaki.
“Persaingan sangat sengit daripada rakan-rakan dam saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur dan berharap program ini boleh diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
Manakala acara Mountain Bike (MTB) kategori wanita pula, tempat pertama dimenangi oleh Eksekutif Kanan, Pusat Pengurusan Akademik UMP, Nor Sabrina Ismail.
Ujarnya, beliau baharu dua bulan berjinak-jinak dalam aktiviti berbasikal dan tidak menyangka dengan kemenangan ini.
Baginya antara cabaran yang ditempuhi ketika pertandingan berlangsung adalah apabila berdepan cuaca hujan lebat dan peserta perlu lebih berhati-hati dengan jalan berlubang.
Namun katanya, pengalaman itu tidak akan memadamkan semangatnya untuk terus meminati aktiviti berbasikal.
Pemenang bagi acara Road Bike tempat kedua pula dimenangi oleh Profesor Madya Dr. Wan Mohd Hafizuddin Wan Yussof dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Mohd Roslan Muhamad dari Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK).
Bagi acara Mountain Bike (MTB) kategori lelaki pula tempat pertama dimenangi oleh Mohd Roslan Muhamad dari PTMK dan tempat kedua dimenangi oleh Profesor
Madya Dr. Mohd Fakhrurrazi Ishak dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA).
Bagi acara Mountain Bike (MTB) kategori wanita pula tempat kedua dimenangi oleh Wan Rosnur Irma Wan Mohamad dari Perpustakaan dan tempat ketiga dimenangi oleh Noor Afiza Mohd Asmi dari Pusat Sukan dan Kebudayaan.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor
- 107 views