600 pelajar baharu daftar di UMP
PAYA BESAR, 22 Julai 2023- Terpancar kegembiraan tatkala ibu bapa dan keluarga hadir dalam sesi pendaftaran pelajar pengajian diploma dan Asasi Sains dan Teknologi bagi sesi akademik 2023/2024 di Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini.
Seramai 600 pelajar baharu mengikuti Hari Suai Kenal selama dua hari dengan beberapa pengisian antaranya program ‘RP Ku Rumah Ku’ Bersama Pengetua Residen Pelajar, Taklimat Pengurusan Akademik, Taklimat E-Pembelajaran (KALAM) dan Taklimat Kaedah Tatatertib Pelajar Taklimat Kebajikan dan Pengalaman Kampus.
Mereka juga berpeluang mengikuti program Bicara Madani: Agenda Pemerkasaan Mahasiswa bersama Akademi Pilihan Raya Malaysia (APR) dan Chit Chat Belia Madani: Belia Progresif Membina Perpaduan yang bakal memanfaatkan pelajar untuk menimba pengalaman kampus.
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, pihak universiti mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang menyambung pengajian serta menjadi sebahagian Keluarga UMP.
Beliau mengharapkan pelajar baharu ini dapat memanfaatkan segala peluang pembelajaran dan kemudahan yang ada di kampus UMP universiti.
Dalam pada itu, para pelajar juga turut berpeluang menambah pengetahuan berhubung isu semasa terutamanya berkaitan perpaduan dan menerapkan nilai masyarakat Madani dalam memperkasakan identiti Nasional.
Penganjuran program ini amat bertepatan dengan objektif memperkukuh dan memantapkan pemahaman, penghayatan dan pengamalan Rukun Negara dalam kehidupan harian terutamanya buat belia dan pelajar hari ini.
Tambah Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, dengan program ini juga mampu memperkukuh interaksi sosial masyarakat pelbagai kaum melalui sikap saling memahami bahasa ibunda, adat resam dan budaya kaum lain dapat diterapkan.
“Pelajar hari ini merupakan pelapis kepimpinan negara di masa hadapan.
“Bagaimana negara ini akan dicorakkan, ia bergantung kepada bagaimana mahasiswa hari ini dibentuk dari segi jati dirinya, sahsiahnya, integritinya dan pembawaannya.
“Mahasiswa hari ini tidak lagi boleh bergantung kepada kecemerlangan dari segi akademik semata-mata,” ujarnya.
Katanya, malahan untuk memenangi perlumbaan di alam pekerjaan selepas bergraduat, memerlukan graduan yang ‘complete package’ iaitu cemerlang dari segi akademik dan mampu menonjolkan diri dari segi daya kepimpinan, berketerampilan serta berkarisma.
“Pointer yang tinggi kini bukan lagi lesen besar bagi mana-mana mahasiswa untuk menempatkan diri bersaing di pasaran pekerjaan,” jelas beliau.
Beliau turut menasihatkan mahasiswa agar dapat menyertai kelab, persatuan dan pertubuhan sebagai platform berorganisasi yang diiktiraf oleh pihak universiti yang boleh disertai mengikut kecenderungan dan minat masing- masing untuk mengasah bakat, daya kepimpinan dan potensi diri.
Sebagai contoh, ujarnya Sekretariat Rukun Negara (SRN) yang merupakan wadah terbaik untuk semua mahasiswa.
Beliau juga yakin pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bersedia memberi khidmat nasihat sekiranya diperlukan bagi membolehkan SRN ini digerakkan dengan lebih aktif dan mencapai matlamat penubuhannya.
Program Diskusi Perpaduan: Chit Chat Belia turut menampilkan panel yang terdiri daripada pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Mohd Rahimi Ramli, Penolong Setiausaha Kehormat Majlis Belia India Malaysia, Presant a/l Sathasivam dan Yang di-Pertua MPP UMP, Agha Khilfi Suarno serta Nurzahrina Zaidi sebagai moderator.
Sementara itu, pelajar baharu UMP, Irdina Darwisyah Izran yang mendaftar untuk program Diploma Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam mengatakan bahawa perasaan beliau bercampur baur kerana walaupun agak gementar untuk menyesuaikan diri di tempat baharu, namun pada masa yang sama juga teruja untuk mencipta pengalaman di menara gading.
“Abang sulung saya, Muhammad Hafizuddin Izran yang merupakan alumni UMP adalah idola saya.
“Selain itu, dua beradik lagi iaitu abang dan kakaknya iaitu Muhammad Afif Aiman Izran dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automobil dan kakak saya, Iylia Maisarah Izran dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam juga merupakan pelajar UMP dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda dan ini antara sebab utama saya memilih UMP untuk melanjutkan pengajian di sini.
“Jika diberi peluang, saya juga ingin melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda kelak seperti abang dan kakak saya dalam bidang kejuruteraan seperti mereka,” katanya.
Proesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie hadir merasmikan Program Diskusi Perpaduan: Chit Chat Belia Tahun 2023 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Pahang dan Majlis Penutup Hari Suai Kenal 2023/2024 di Dewan Astaka UMP.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional Negeri Pahang, Amira Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Haji Mohd Rusllim Mohamed.
Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 182 views