8 pelajar UMPSA terpilih dalam program Axiata Digital Leadership Programme for Girls 2024
BANGI, 20 Mei 2024 - Seramai lapan orang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terpilih mewakili universiti dalam program Axiata Digital Leadership Programme for Girls yang dianjurkan oleh Yayasan Axiata.
Program tujuh hari yang bermula pada 3 hingga 9 Mei 2024 di Hotel Tenera, Bangi itu melibatkan penyertaan seramai 72 mahasiswi daripada sembilan universiti awam (UA) di seluruh negara.
Program ini bertujuan untuk membangunkan para profesional masa depan yang bersedia menghadapi cabaran dalam era digital.
Para peserta yang dipilih dalam kalangan mahasiswi UA itu berusia antara 19 hingga 25 tahun, dilatih dengan pelbagai kemahiran teknikal dan digital yang menjadikan mereka sangat berdaya saing dalam industri yang kebanyakannya didominasi oleh lelaki seperti bidang IT, Kejuruteraan, dan Teknologi.
Program ini merangkumi aspek teori dan praktikal, termasuklah sesi perkongsian Pengetahuan industri dan pembelajaran praktikal melalui bengkel interaktif serta latihan kepimpinan.
Aktiviti-aktiviti ini dirancang untuk memberikan pengalaman 'hands on' dan memperkukuhkan kemahiran kepimpinan peserta.
Pelajar tahun 3, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik (Robotik) dengan Kepujian, Arshada Nadia Abdullah berkata, beliau dan tujuh orang wakil UMPSA yang lain terpilih setelah melalui dua peringkat penilaian.
“Peringkat pertama melibatkan pengisian Google Form dengan data CGPA, pendapatan isi rumah dan pengiriman resume.
“Setelah melalui penyaringan pertama, kami ditemu duga pula sama ada memenuhi kriteria pemilihan ataupun tidak,” katanya.
Sebagai seorang pelajar, Arshada berpendapat banyak manfaat yang diperoleh melalui program ini.
Katanya, mereka didedahkan dengan kemahiran kepimpinan dan digital menerusi Power BI, design analytics, design thinking dan data story telling.
“Selain itu, program ini juga turut membantu meningkatkan jenama peribadi dan penarafan kebolehpasaran secara keseluruhan.serta.
“Malah, kami turut menerima sijil dari Centre of Applied Data Science (CADS),” katanya.
Beliau berharap agar Axiata Digital Leaders Programme (ADLP) ini terus berkembang dan menjadi semakin efektif dalam melatih para pemimpin terutama wanita dalam dunia digital pada masa depan yang dapat menghadapi cabaran industri dengan keberanian.
Disediakan Oleh: Naqiah Fuaad, Pusat Komunikasi Korptorat
- 268 views