80 pelajar SMK Jengka 6 lawat UMP
PEKAN, 27 Januari 2023 - Seramai 80 pelajar tingkatan tiga dan empat serta lapan guru pengiring dengan disertai oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 6, Faridzah Ahmad melawat Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini.
Hadir sama menyambut ketibaan pelajar ialah Pengurus, Pejabat Naib Canselor (PNC), Muhammad Faisal Mohd Yasin yang turut disertai oleh Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik, Zainal Bahari.
Dalam pada itu, Muhammad Faisal Mohd Yasin turut mengalu-alukan kedatangan sekolah ke UMP dan mengharapkan lebih banyak sekolah lagi yang akan hadir dalam memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai suasana di Universiti Awam (UA).
Pengetua SMK Jengka 6, Faridzah Ahmad berkata, lawatan ini diharapkan dapat menyuntik semangat dan motivasi pelajar untuk terus berjaya hingga ke menara gading.
"Kita juga mahu para pelajar melihat dan merasai sendiri suasana pembelajaran di universiti.
“Malah ia juga diharapkan dapat membantu pelajar dalam meningkatkan kecemerlangan dalam akademik, sahsiah dan kokurikulum,” katanya.
Terdahulu, para pelajar diberikan taklimat program akademik sebelum dibawa meninjau mercu tanda UMP iaitu Menara Jam dan menerokai Perpustakaan UMP.
Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 83 views