Skip to main content

Atlet kayak UMPSA takluki Tasik Raban

PERAK, 28 Julai 2024 - Atlet kayak Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya menguasai kategori utama di Lenggong International Kayak Orienteering Championship 2024 baru-baru ini. 

Pertandingan dua hari itu mulai pada 26 hingga 28 Julai 2024 telah diadakan di Tasik Raban, Lenggong, Perak.

UMPSA diwakili oleh sepuluh orang atlet kayak yang terdiri daripada lapan orang pelajar lelaki dan dua orang pelajar wanita bagi menyertai dua kategori utama iaitu kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) Lelaki dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Campuran.

Bagi kategori IPT Lelaki, atlet kayak UMPSA iaitu gandingan Akmal Hamidi Zaidi dan Muhammad Hazim Hairul Azam berjaya merangkul gelaran juara. 

Manakala, gandingan atlet Wan Ahmad Idris Wan Mohd Faizal dan Abdul Khaleq Adam Abdul Nasir pula meraih tempat naib juara. 

Gandingan atlet Al-Mu’izzuddin Safian dan Muhammad Shaqir Aiman Abdul Halim turut meraih di kedudukan tempat keempat bagi kategori yang sama.

Nama UMPSA sekali lagi digeruni apabila diumumkan sebagai johan dan tempat ketiga bagi kategori IPT Campuran. 

Gandingan hebat atlet Muhd Jazmi Muliaddie dan Hashsyimmah Abdullah meraih gelaran johan bagi kategori ini. 

Manakala, gandingan Nur Ain Nasihah Mohd dan Muhammad Zulhilmi Zuki pula meraih tempat ketiga bagi kategori yang sama.

Menurut Nur Ain Nasihah, beliau terpilih untuk mewakili UMPSA untuk pertandingan ini melalui sesi pemilihan atlet kayak UMPSA di tasik UMPSA yang dinilai oleh jurulatih kelab kayak. 

“Malah, saya juga terpilih kerana menunjukkan prestasi yang konsisten dalam latihan berkayak serta telah menyertai beberapa pertandingan kayak sebelum ini.

“Kami telah menjalani latihan selama enam bulan sebelum kejohanan ini berlangsung bertempat di tasik UMPSA pada setiap petang.

Atlet kayak UMPSA takluki Tasik Raban

“Kami dibimbing oleh pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Dr. Amir Aziz yang juga merupakan jurulatih kelab kayak UMPSA,” katanya. 

Menurutnya lagi, beliau memulakan minatnya terhadap sukan kayak apabila melanjutkan pengajian di UMPSA.

“Saya berminat untuk menceburi sukan berkayak ini setelah berada di UMPSA. 

“Pihak universiti memberikan pelbagai inisiatif dan galakan kepada atlet kayak sepanjang pertandingan seperti menyediakan pusat latihan dan peralatan yang mencukupi, dana untuk kos penyertaan, perjalanan dan juga penginapan.

 
“Saya berharap agar atlet pasukan kayak akan terus mencapai kejayaan dan menempa nama di persada dunia dan terus meningkatkan prestasi cemerlang pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau juga berharap agar dengan kejayaan yang ditempa oleh atlet kayak ini dapat menarik minat pelajar yang lain untuk menceburi sukan ini. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad