Ayuh sertai pertandingan menjelang Sambutan Jubli Perak 2027, peluang warga UMPSA pamer kreativiti
PEKAN, 8 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membuka tirai menjelang Sambutan Jubli Perak UMPSA 2027 dengan penganjuran pertandingan kreatif yang memberi peluang kepada seluruh warga universiti menyumbang idea dan bakat dalam menyemarakkan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhannya pada tahun hadapan.
Penganjuran pertandingan itu bertujuan menghimpunkan idea-idea kreatif yang mampu mencerminkan identiti, aspirasi serta pencapaian UMPSA sepanjang 25 tahun penubuhannya sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang unggul.
Tiga kategori pertandingan yang dipertandingkan ialah Pertandingan Mencipta Logo Jubli Perak, Pertandingan Penulisan Rencana dan Pertandingan Video Pendek.
Menurut Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMPSA, Mimi Rabita Abdul Wahit, Pertandingan Mencipta Logo bertujuan mendapatkan reka bentuk logo rasmi Sambutan Jubli Perak UMPSA yang akan menjadi identiti utama sepanjang pelaksanaan program sambutan pada tahun 2027.
“Sehingga kini, sebanyak 42 penyertaan telah diterima dan telah ditutup pada 30 Jun lalu.
“Manakala dua lagi pertandingan lagi iaitu Pertandingan Penulisan Rencana dan Pertandingan Video Pendek masih dibuka sehingga 30 Ogos depan,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Pertandingan Penulisan Rencana mengajak warga universiti untuk menghasilkan karya yang mengangkat perjalanan, pencapaian dan aspirasi UMPSA sebagai institusi yang terus komited melahirkan graduan berkualiti serta memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
Dalam pada itu, bagi kategori Video Pendek pula, peserta digalakkan menghasilkan kandungan kreatif yang memaparkan keunikan kampus, pengalaman warga universiti, budaya kerja, kejayaan serta nilai-nilai yang membentuk jenama UMPSA.
Jelas Mimi Rabita lagi, pihaknya amat mengharapkan agar program ini dapat menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga UMPSA dan menggalakkan penyertaan aktif dalam meraikan detik bersejarah universiti yang bakal menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-25 pada tahun 2027.
“Selain itu, UMPSA turut mengalu-alukan penyertaan yang terbuka kepada pelajar, staf, alumni dan seluruh warga UMPSA dan setiap peserta hanya dibenarkan menghantar satu penyertaan bagi setiap kategori pertandingan.
“Hadiah menarik menanti pemenang dengan hadiah wang tunai bagi hadiah utama bernilai RM1,000, diikuti hadiah kedua RM500, hadiah ketiga RM300 serta dua hadiah sagu hati bernilai RM100 setiap satu bagi setiap pertandingan,” katanya.
Warga UMPSA dijemput menyertai pertandingan ini dan bersama-sama menyumbang idea kreatif bagi menjayakan Sambutan Jubli Perak UMPSA 2027.
Maklumat lengkap mengenai syarat penyertaan boleh diperoleh melalui kod QR yang disediakan pada poster rasmi pertandingan.
Penyertaan hendaklah dihantar melalui e-mel kreatif@umpsa.edu.my sebelum tarikh tutup yang ditetapkan.
Disediakan Oleh: Hafizatulazlin Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat
- 27 views
Reports by: