Bicara Perwira suntik semangat hargai perjuangan polis
KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2022 - Program Bicara Perwira bertajuk ‘Pengorbanan Polis Menentang Pengganas Komunis’ anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini yang berlangsung di Dewan Sultan Ahmad Shah Maktab PDRM Kuala Lumpur berjaya menyuntik semangat bagi golongan muda menghargai perjuangan polis dalam mempertahankan negara tercinta.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, program ini bertujuan memaparkan perjuangan dan pengorbanan yang telah dilalui oleh setiap anggota polis sewaktu zaman darurat iaitu daripada tahun 1948-1989 sekali gus mengangkat martabat dan membina naratif bagi menghargai perjuangan yang telah diberikan oleh pasukan PDRM dalam mengekalkan keamanan serta kedaulatan negara tercinta dalam kalangan pelajar dan generasi muda.
“Pada hari ini, kita semua dapat bersama-sama menikmati keamanan dan kedamaian hasil daripada pengorbanan serta perjuangan pihak polis dalam memastikan sebarang bentuk keganasan dapat diatasi.
“Justeru, hargailah dan kenanglah segala jasa serta pengorbanan yang ditaburkan oleh para perwira, anggota PDRM, ahli keluarga mereka serta seluruh rakyat yang telah berkhidmat tanpa mengira penat lelah yang juga sanggup menggadaikan nyawa demi keamanan negara agar generasi hari ini dapat hidup dalam suasana yang selesa dan selamat.
“Pengalaman perwira dan sejarah ini wajar dikongsikan dan didokumentasikan untuk dijadikan tapak sejarah serta rujukan generasi muda,” ujarnya.
Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz mengharapkan program ini dapat memupuk semangat cintakan negara tertutama dalam kalangan belia kerana mereka bakal memimpin negara suatu masa nanti.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain semasa berucap berkata, usaha dalam meningkatkan semangat patriotisme telah dilakukan secara bersepadu dari peringkat sekolah rendah hingga ke IPT.
“Justeru masyarakat wajar mengambil iktibar dan memahami erti perjuangan sebenar kemerdekaan,” katanya.
Ujarnya kepada mahasiswa, sungguhpun mereka tidak menjulang senjata namun semangat patriotisme harus dipupuk bagi memastikan kesejahteraan dan keamanan negara terus terpelihara.
Dalam program itu, telah menampilkan seramai tiga ahli panel yang terdiri daripada Bekas Ketua Pegawai Turus EIM, Cawangan Khas, Dato’ Abdullah Abdul Hamid, Dekan Kanan Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan UMP, Profesor Madya Dr. Hassan Ahmad, Peguam dan EXCO BGAM, Ooi Suan Kim.
Manakala Pengarah Kanan Akademi ADAB UMP, Mejar Imaduddin Abidin bertindak sebagai moderator.
Fokus perbincangan menjurus dalam tiga perspektif iaitu perspektif akademik, perspektif penglibatan pegawai polis dan perspektif awam.
Bagi Datuk Abdullah, generasi muda perlu tahu dan meminati sejarah, sekiranya sejarah dapat dihayati pastinya mereka dapat menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.
Manakala Profesor Madya Dr. Hassan Ahmad pula menasihati generasi muda agar banyak menyertai program wacana sebegini untuk mendapatkan lebih pemahaman dan menjadi agen untuk menyebarluaskan perjuangan polis dan orang-orang tedahulu.
Ooi Suan Kim pula berkata, jangan dilupa pengorbanan pejuang-pejuang yang telah banyak berkorban demi negara dan kita harus bersyukur pengorbanan polis yang tanpa had untuk negara yang aman damai.
Hadir sama Pengerusi British Graduate Association Malaysia (BGAM), Dato Kamarudin Md Ali dan Pengerusi Retired Senior Police Officers Association (RESPA), Dato’ Meor Che Hussein.
Program Bicara Perwira yang julung kali diadakan itu adalah atas inisiatif Yayasan UMP dan Institut Tamadun dan Kajian Strategi UMP (ITKAS).
Turut hadir pengurusan tertinggi UMP dan PDRM, bekas ahli F-TEAM, wakil daripada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Masjid Saidina Umar al-Khattab Bukit Damansara (MSUA), warga kerja PDRM dan para pelajar UMP.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.
- 193 views