Dari permukaan ke dasar laut: Perjalanan menjadi jurukimpal bawah air
KUANTAN, 22 April 2024 – Pelajar tahun akhir daripada enam institusi termasuklah Institut Pengajian Tinggi (IPT), Kolej-kolej dan Politeknik di seluruh negara yang masih belum mendapat pekerjaan telah menyertai Program Pengenalan Kepada Kimpalan di Bawah Air baru-baru ini.
Menurut Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang juga pengarah program, Profesor Madya Ts. Dr. Siti Rabiatull Aisha Idris, program ini menyasarkan pelajar tahun akhir atau berada di semester, atau graduan yang telah tamat belajar pada tahun 2023 namun masih belum mendapat pekerjaan.
“Ia bertujuan memberikan nilai tambah kepada pelajar untuk memasuki bidang kerjaya yang kian kompetitif.
“Melalui program seumpama ini, para pelajar akan mendapat lebih kemahiran serta pengetahuan mengenai kimpalan bawah air.
“Kimpalan bawah air atau kimpalan basah adalah proses penyambungan logam yang dilakukan di dalam air sama ada di dasar laut atau di lokasi perairan lain,” ujarnya.
Katanya, ia memerlukan teknik yang khusus melalui latihan yang komprehensif disebabkan bekerja di bawah air melibatkan risiko yang tinggi.
“Namun, permintaan kerjaya di dalam bidang ini amatlah tinggi dan diperlukan oleh pelbagai industri sama ada tempatan mahupun antarabangsa.
“Latihan yang diberikan kepada peserta melalui program kali ini menggabungkan teori dan praktikal.
“Para peserta diajar teknik kimpalan dasar, penggunaan alat-alat kimpalan khusus, dan prosedur keselamatan yang ketat untuk bekerja di bawah air,” katanya lagi.
Tambah beliau, antara topik yang diajar kepada peserta adalah seperti teknik kimpalan, prosedur keselamatan di air, latihan menyelam serta pemeriksaan kualiti kimpalan.
“Kimpalan di bawah air merupakan salah satu kerjaya yang menarik dan mencabar, namun dengan latihan yang komprehensif, peserta dapat dipersiapkan mengikut kehendak industri.
“Selain memberikan peranan penting dalam pelbagai industri, mereka yang memiliki kemahiran kimpalan di bawah air ini sering mendapat permintaan yang tinggi dengan peluang yang baik untuk perkembangan kerjaya,” katanya.
Program yang berlangsung selama empat hari iaitu pada 22 hingga 25 April 2024 di Johor Bahru itu adalah kerjasama antara UMPSA dengan Aquasplash Academy.
Disediakan Oleh: Profesor Madya Ts. Dr. Siti Rabiatull Aisha Idris, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif
- 426 views