Skip to main content

Didik Mahasiswa dalam Pengurusan Literasi Kewangan ASNB

Kuantan, 2 Oktober – Menyedari pentingnya dalam memberi pendedahan serta pendidikan kepada mahasiswa dalam pengurusan literasi kewangan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengadakan Program Pengurusan Literasi Kewangan ASNB yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang baru-baru ini.

Program mendapat kerjasama pihak Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) disertai seramai 1500 orang mahasiswa baharu. Hadir dalam program Dekan Pembangunan Pelajar JHEPA, Dr. Muhamad Mat Noor, Pengurus Jabatan Pemasaran dan Literasi Kewangan ASNB, Abdul Rahman Abdul Hamid, Pengurus JJIM, Mohd Raizalhimy Mohd Rais dan Kaunselor Kanan JHEPA, Pn. Paridah Mohd Ali.

Menurut Dr. Muhamad, program seumpama ini amat baik untuk diberi pendedahan kepada mahasiswa khususnya dapat membantu mahasiswa dalam menguruskan kewangan mereka serta dapat menggalakkan budaya menyimpan sejak muda lagi.  “Lebih menarik lagi, pihak ASNB telah memberi baucer bernilai RM10.00 dalam bentuk unit amanah kepada mahasiswa yang membuka akaun serta mengemaskini akaun ASNB semasa program berlangsung,” katanya.

Bagi Abdul Rahman berkata, program ini bukan hanya untuk memupuk budaya menabung melalui pelaburan dalam kalangan mahasiswa sejak dari awal tetapi juga  merupakan salah satu inisiatif kerjasama jaringan strategik antara UMP dan ASNB. Dalam pada itu, seramai 1600 mahasiswa telah mendaftar akaun ASNB sempena Hari Pendaftaran Mahasiswa Baharu yang diadakan di kampus Pekan dan Gambang.

Disediakan Halizan Mohmood dan Siti Nurfarmy Ibrahim.

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim