Doa keselamatan dan kesejahteraan buat rakyat Malaysia
PEKAN, 4 Februari 2021 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Majlis Bacaan Yasin yang diadakan setiap hari Jumaat menerusi dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet dan Facebook bagi memohon perlindungan daripada penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas berkata, Majlis Bacaan Yasin ini telah dimulakan sejak minggu lalu khusus untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat semua warga UMP dan seluruh rakyat di negara ini dalam mendepani pandemik Covid- 19 sejak setahun lalu.
Majlis Bacaan Yasin pada kali ini diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustaz Md Abdu Sahak dengan disertai semua staf dan pelajar.
“Semoga ia akan menjadi amalan untuk terus kita bermunajat kepada Allah SWT.
“Operasi di Masjid UMP Kampus Gambang dan Pekan tetap beroperasi namun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini semua pihak perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Bagi jemaah yang mempunyai simptom seperti demam, sesak nafas dan sakit tekak tidak dibenarkan masuk ke kawasan masjid,” katanya.
Selain itu, tambah beliau lagi, sebagai norma baharu PIMPIN juga menganjurkan pelbagai aktiviti kerohanian seperti Kuliah Maghrib dan Wawancara Keagamaan dalam talian yang disiarkan menerusi Facebook PusatIslamUMP .
“Masjid UMP tetap menjaga SOP yang telah ditetapkan seperti di pintu masuk perlu disediakan kaunter pemeriksaan, alat pengukur suhu, cecair sanitasi, buku log kehadiran, Kod QR MySejahtera dan penanda kedudukan antara jemaah.
“Selain itu, jemaah diwajibkan membawa sejadah, beg plastik untuk menyimpan kasut atau selipar dan memakai pelitup muka sewaktu hadir untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid UMP.
“Jemaah juga turut digalakkan untuk berwuduk di rumah atau pejabat masing-masing untuk mengelakkan kesesakan di ruang masjid,” katanya.
Katanya, masjid dibuka satu jam sebelum solat fardu dan satu jam setengah sebelum solat Jumaat.
“Para jemaah dinasihatkan mengikuti SOP yang telah ditetapkan bagi sama-sama kita berganding bahu dalam membenteras wabak ini.
“Setiap warga universiti perlu kekal tenang dan tabah dengan keadaan mencabar ini serta terus berdoa semoga kita semua dilindungi serta penularan Covid-19 ini segera berakhir,” ujar beliau.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 726 views