EMGS anjur Townhall Zon Timur 2025 fokus memperkukuh pengurusan pelajar antarabangsa UMPSA
PEKAN, 24 Julai 2025 – Education Malaysia Global Services (EMGS) telah menganjurkan Townhall Road Tour 2025 bagi Zon Timur di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebagai tuan rumah, menghimpunkan wakil-wakil dari universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Pantai Timur untuk memperkukuh tadbir urus pelajar antarabangsa di Malaysia.
Majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Razak UMPSA Pekan itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pusat Antarabangsa dan Mobiliti Pelajar UMPSA, Noor Syahidah Sabran, sebelum diteruskan dengan ucapan pembukaan oleh Penasihat Kanan EMGS, Ramlan Abd Aziz.

Menurut Pengarah Kanan Perkhidmatan Akademik UMPSA, Ernie Nurazlin Lizam, penganjuran sesi townhall ini amat bertepatan dengan cabaran semasa pengurusan pelajar antarabangsa yang semakin kompleks dan memerlukan kerjasama semua pihak.
“Pelajar antarabangsa bukan sahaja mewarnai kampus kita dengan kepelbagaian budaya, malah merupakan penanda aras penting dalam jaringan global dan penarafan universiti.
“Oleh itu, pengurusan mereka mesti sentiasa cekap, berintegriti dan mematuhi dasar semasa,” ujar beliau.
Antara pengisian utama sesi ini ialah taklimat daripada pelbagai agensi berkepentingan, antaranya Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi (JPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengarah Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Rosemanizam Mohammed Nalif turut menyampaikan taklimat dasar dan hala tuju pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

Ujarnya, ini adalah komitmen kita bersama dalam memantapkan pengurusan pelajar antarabangsa.
“Ini adalah manifestasi tanggungjawab kita untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pendidikan pilihan di peringkat global.
“EMGS komited untuk terus memperkukuh ekosistem pendidikan antarabangsa di Malaysia melalui kolaborasi pelbagai pihak, demi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelajar antarabangsa di rantau ini,” katanya.
Manakala Pengarah Bersekutu EMGS (ISMS), Mohd Farha Md Ishak pula memberi penjelasan terperinci berkaitan inisiatif dan penambahbaikan dalam sistem STARS serta pengurusan visa pelajar antarabangsa.
Jabatan Imigresen Malaysia pula melalui Tuan Muhamad Mohd Zain turut menyentuh tentang cabaran pematuhan visa dan kawalan pelajar berisiko tinggi, diikuti taklimat khas dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA JIM serta sesi oleh SPRM berkaitan pencegahan salah guna kuasa dan integriti.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian amalan terbaik oleh beberapa institusi yang memperkenalkan kaedah inovatif dalam pengurusan pelajar antarabangsa.
Kemuncak program adalah sesi soal jawab interaktif bersama panel yang terdiri daripada wakil EMGS, JPT dan JIM, memberi peluang peserta bertanya secara langsung dan mendapatkan maklum balas segera terhadap isu di lapangan.
Menurut salah seorang peserta, Nor Asikin Salleh, Pembantu Tadbir (P/O), Pusat Perkhidmatan Akademik UMPSA, sesi townhall ini sangat bermanfaat dan memberi gambaran yang lebih jelas tentang peranan setiap agensi.
“Kami sering berhadapan dengan isu teknikal dalam sistem STARS dan urusan visa, tetapi hari ini banyak penjelasan yang membuka mata.
“Sesi soal jawab juga sangat membantu,” katanya.
Sesi ini juga menandakan permulaan bagi siri jelajah EMGS Townhall 2025 di seluruh negara, dengan matlamat untuk memperkukuh hubungan antara EMGS dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta menambah baik pengalaman pelajar antarabangsa di Malaysia.

Turut hadir wakil-wakil daripada JIM Cyberjaya, JIM Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, JIM Negeri Pahang, JIM Negeri Kelantan, JIM Negeri Terengganu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga SPRM.
Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Perkhidmatan Akademik
- 79 views