Skip to main content

FiMiEX 2021 tonjol bakat pelajar dalam reka cipta produk

KUANTAN, 30 September 2021 - FIM Innovation Exhibition (FiMiEx) 2021 dilihat sebagai medan dalam menonjolkan bakat pelajar di institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah dan masyarakat dalam reka cipta produk komersial sebagai satu persiapan sebelum peserta mengambil bahagian dalam ekspo inovasi yang diiktiraf serta berprestij.

FiMiEX 2021 berfokuskan COVID-19 selaras dengan petunjuk matlamat pembangunan mampan 17 Sustainable Development Goals (SDGs) yang bertemakan Better, Cheaper and Faster Solutions.

Pada masa yang sama juga turut berlangsung Forum FiMiEX 2021 bertajuk ‘Vaksinasikan Inovasi’ anjuran Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) dengan kerjasama Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), Jabatan Pembangunan Graduan, Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Forum tersebut dirasmikan oleh Dekan FPI, Dr. Mohd Hanafiah Ahmad.

Turut hadir ialah Penolong Naib Canselor, Jabatan Pembangunan Graduan, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin, Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani dan Ketua Program Pengembangan Ilmu, FPI merangkap Pengarah Program FiMiEX 2021, Kapten Imaduddin Abidin.

Menurut Dr. Mohd Hanafiah, forum ini bertujuan menggilap dan mengetengahkan bakat para pelajar dari seluruh institusi pengajian tinggi dan sekolah seluruh negara dalam menghasilkan produk inovasi supaya dapat bertanding ke platform yang lebih tinggi.

“Aktiviti inovasi ini diharapkan dapat diterapkan bukan sahaja dalam organisasi malah masyarakat dan tidak semestinya bersifat teknikal.

“Malah, inovasi dalam pengurusan juga sangat banyak dan dapat dilaksanakan kepada semua,” katanya.
 
Webinar itu dikendalikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) FPI, Profesor Madya Dr. Puteri Fadzline Muhamad Tamyez.

Manakala barisan panel adalah terdiri daripada profesional akademik, industri dan wakil masyarakat yang berpengalaman dalam penyelidikan iaitu Pengarah dan Pengasas Zull Design Autotronic, Zulkifli Haron, Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Ir. Ts. Mat Kamil Awang dan Presiden, Malaysia TRIZ Innovation Association, Eng Hoo Tan.

Sesi forum ini dimulakan dengan setiap panel mentakrifkan istilah ‘vaksinasikan inovasi’ melalui pengalaman berdasarkan bidang masing-masing.

Selain itu, turut disentuh bagaimana untuk menjadi pelatih TRIZ.

Mengimbas kembali bagaimana dikenali sebagai MacGyver Malaysia, Zulkifli Haron berkata ia terhasil daripada inovasi.

“Cara kekal hidup adalah inovasi dan semakin baik anda berinovasi semakin baik hidup anda.

“Kita hendaklah menjadi kreatif dan inovatif di samping mencari wow factor yang melebihi dari orang lain,” ujarnya.

“Dunia inovasi ini sangat menarik dan usia bukan penghalang untuk setiap individu menjadi kreatif,” ujarnya.

Tambah beliau, selagi ada usaha, minat, rajin dan doa, insya-Allah kejayaan milik kita.

“Gunakan kekuatan kita sebagai orang Malaysia untuk meningkatkan kecekapan dan bijak dalam menguruskan inovasi.

“Jangan pernah mengalah, teruskan berusaha, yakin dan berdoa serta percayalah kejayaan menanti di hadapan,” katanya.

Turut diumumkan pemenang-pemenang bagi FiMiEX 2021 yang menyaksikan bagi kategori staf, pingat emas dimenangi oleh Profesor Madya Dr. Cheng Jack Kie dengan tajuk YANA - You Are Not Alone (Emergency Expert in a Click) dari UMP.

Turut memenangi emas, Muhammad Zulfaqar Mazlan, K.B., P.A dari Kolej Vokasional Betong dan Ts. Dr. Norazlianie Sazali dari UMP dengan projek masing-masing bertajuk Pendigitalan Informasi PPD dan Reformed Polymide/Nanocrystalline Cellulose for Gas Separation.

Manakala bagi kategori pelajar universiti/kolej pula pingat emas dimenangi oleh Ahmad Zakwan Mohd ‘Asri dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang bertajuk Solar based Melaka River Cruise dan Mohamad Irfan Arif Irwan Syah serta Mohd Nur Fadzly Basar dari UMP bertajuk Sensorized Sanitizer attached with Petrol Pump Machine by TRIZ dan Retirement Financial Wellness Index for Elderly Population in Malaysia.

Bagi kategori pelajar sekolah, pingat emas dimenangi oleh Aqil Asyraf Mohd Shamsul Azmi dan Suziyani Samsudin dari Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad yang bertajuk Brick Mate.

Projek penyelidikan oleh Tan Jian Zhi, Nur’aina Farhana Md Lukman, Quraisha Irdina Hazimin, Khairiyah Mohamad Nor dan Norazlin A Rahman dari Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar yang bertajuk Natural Heat Recovery System juga memenangi pingat emas.

Projek oleh Sofea Qalisha Jamiluddin dari Sekolah Rendah Islam Ibnu Abbas bertajuk Leaf Tapioca Flour Composite as Green Food Packaging turut memenangi pingat emas dan UMPH Young Scientist Special Award.

UMPH Young Inventor Special Award pula dimenangi oleh Irfan Zauhayr, Mohamad Khir Johari dengan projek bertajuk Pam dari Kompressor Peti Sejuk Terpakai dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera, Kuantan.

Manakala UMP Ecopest Sdn. Bhd. Sustainability Development Special Award pula dimenangi oleh Muhammad Mustakim Mohd Ghaztar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan projek bertajuk Polymer - Industrial Productions.

Ahmad Rifqi Mohd Jerome Rinjes dan Alvin John Romanus dari UMP pula berjaya memenangi UMP Ecopest Sdn. Bhd. Green Special Award dengan penyelidikan yang bertajuk Jet Fuel using Biomass.

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri