Skip to main content

Graduan FTKPM UMPSA jadi rebutan majikan

PEKAN, 17 Mei 2024 – Graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mempunyai peluang pekerjaan yang cerah di pelbagai sektor kejuruteraan merangkumi sektor pembuatan, minyak dan gas, servis, penyelidikan dan pelbagai sektor kejuruteraan yang lain.

Berdasarkan rekod kebolehpasaran graduan FTKPM mencatatkan angka yang memberangsangkan dengan purata 90 peratus ke atas untuk lima tahun. 

Menurut Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FTKPM, Ts. Dr. Muhamed Nafis Osman Zahid, walaupun berlaku sedikit penurunan semasa pandemik COVID-19, data terkini menunjukkan trend peningkatan semula dan pada tahun 2023 kadar kebolehpasaran graduan FTKPM mencecah 98.4 peratus. 

“Pihak fakulti komited untuk terus memberikan servis dan pengalaman pembelajaran yang terbaik kepada pelajar dan seterusnya membantu pelajar untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang cerah setelah bergraduat nanti,” ujarnya. 

Mengulas mengenai contoh peluang pekerjaan bagi lepasan graduan dari FTKPM, Ts. Dr. Muhamed Nafis berkata, disebabkan oleh bidang pengajian yang bersifat non-traditional engineering, graduan FTKPM mempunyai peluang pekerjaan yang cerah di pelbagai sektor kejuruteraan merangkumi sektor pembuatan, minyak dan gas, servis, penyelidikan dan pelbagai sektor kejuruteraan yang lain.

“Graduan FTKPM menjadi rebutan majikan di peringkat tempatan dan antarabangsa. 

“Antara majikan yang menawarkan pekerjaan adalah seperti Vacuumschmelse Sdn. Bhd., Intel Microelectronics Sdn. Bhd., Boston Scientific Sdn. Bhd., Infineon Technologies Sdn. Bhd., Petronas dan pelbagai industri yang lain. 

“Malahan, kadar gaji permulaan yang ditawarkan adalah dalam julat RM2,500 hingga RM10,000,” katanya. 

Tambahnya lagi, ini menunjukkan pasaran kerja yang baik bagi graduan FTKPM yang telah mengikuti program akademik yang memenuhi keperluan dan piawaian industri.

Pada masa ini, FTKPM menawarkan lapan program akademik iaitu, Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan Kepujian, Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan Kepujian dan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan Kepujian (Ijazah  Dual). 

Lain-lain Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan) dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Automasi Industri) dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik (Robotik) dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Permesinan Industri dengan Kepujian dan Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembuatan.

FTKPM turut menawarkan Program Ijazah Dual yang dijalankan dengan kerjasama Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Germany di dalam bidang Mekatronik. 

Kurikulum program ini dibentuk dengan kerjasama institusi tersebut dan mendapat pengiktirafan oleh pemain industri utama dari German seperti Vacuumschmelse Sdn. Bhd., Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd., Robert Bosch Automotive Steering Sdn. Bhd. dan lain-lain.

Menurut Ts. Dr. Muhamed Nafis lagi, tenaga pengajar bagi program ini terdiri daripada pensyarah tempatan dan pensyarah yang didatangkan dari Jerman. 

“Selain  itu, pelajar juga berpeluang untuk mengikuti pengajian di Jerman dalam bentuk latihan industri, mobiliti antarabangsa dan menjalankan projek tahun akhir di sana,” jelas beliau lagi. 

Bersempena dengan program Jom Masuk U 2024 yang telah memulakan siri jelajahnya baru-baru ini, Ts. Dr. Muhamed Nafis menyeru para pelajar lepasan diploma dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk sama-sama menyertai program akademik di FTKPM.

UMPSA amat mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi Jom Masuk U Zon Tumur II yang akan diadakan di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang pada 1 dan 2 Jun 2024 nanti.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Naqiah Puaad