Hari Terbuka UMPSA warnai Jom Masuk U 2024 Zon Timur II
GAMBANG, 1 Jun 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) akan mengadakan Hari Terbuka bersempena program dengan program ‘Jom Masuk U 2024 Zon Timur II pada 1 dan 2 Jun bertempat di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, tujuan utama Hari Terbuka ini adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai dan masyarakat setempat untuk memasuki UMPSA sambil menikmati keindahan dan persekitaran kampus yang unik.
“Acara ini juga bertujuan untuk mendekatkan universiti dengan komuniti melalui pelbagai aktiviti yang menarik dan bermanfaat.
“Antara tarikan utama Hari Terbuka ini ialah hampir 20 aktiviti yang akan diadakan.
“Pengunjung boleh mempelajari bahasa Mandarin, menyertai pertandingan mewarna, mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma, dan mempelajari kaedah pertolongan cemas seperti teknik Cardio-Pulmonary Resuscitation (CPR),” ujarnya.
Bagi ibu bapa yang ingin menggalakkan minat anak-anak mereka dalam bidang Sains dan Matematik, aktiviti seperti Street Science dan STEM juga akan diadakan sepanjang dua hari program berlangsung.
Program ini juga diadakan bersempena dengan Hari TVET Negara.
Beberapa fakulti di UMPSA akan turun padang untuk mendekati masyarakat dengan aktiviti-aktiviti menarik seperti dron dan robotik.
Tambah beliau lagi, universiti pastinya tidak asing lagi dengan produk penyelidikan yang dekat dengan masyarakat.
“Justeru, di Hari Terbuka ini, kami turut mempamerkan produk penyelidikan selaras dengan slogan UMPSA, ‘Teknologi untuk Masyarakat’.
“Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan, kaunter Jabatan Pendaftar akan menawarkan perkhidmatan kerjaya dengan beberapa peluang pekerjaan yang terdapat di UMPSA.
“Ini adalah peluang baik bagi pencari kerja untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mungkin berpeluang menjadi sebahagian daripada keluarga besar UMPSA,” katanya.
Beliau turut berharap agar masyarakat setempat dapat hadir beramai-ramai ke UMPSA kerana program ini dapat menarik minat lebih ramai pelajar dan ibu bapa untuk memilih UMPSA sebagai destinasi pendidikan tinggi.
"Hari Terbuka ini dapat memberikan gambaran sebenar mengenai kehidupan kampus dan kemudahan yang kami sediakan, serta menginspirasi para pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik dan kemahiran praktikal.
“Selain itu, kemudahan makmal yang canggih dan moden di UMPSA juga akan dibuka kepada para pengunjung.
“Ini memberikan peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri kemudahan yang disediakan dan memahami pentingnya makmal bagi sesebuah universiti.
“Dengan pelbagai aktiviti yang dirancang dan keterlibatan fakulti-fakulti yang komited, Hari Terbuka UMPSA dijangka akan menjadi satu acara yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik dan memberi inspirasi kepada para pengunjung.
“Datanglah beramai-ramai ke Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang pada 1 dan 2 Jun ini untuk menikmati pengalaman yang berharga dan menyeronokkan,” katanya.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 166 views