Ilmu keusahawanan bantu mahasiswa UMP
Kuantan, 11 Disember- Program penambahbaikan inisiatif keusahawanan dan maklumbalas yang disampaikan Dr.Suraya Sulaiman daripada Alpha Catalyst Consulting memberi peluang mahasiswa lebih bersedia mendalami bidang perniagaan. Program anjuran Pusat Keusahawanan UMP (MyPACE) ini turut membabitkan penyelaras keusahawanan bersama mahasiswa yang terlibat sebagai usaha untuk memperkasakan agenda keusahawanan negara.
Program ini merupakan satu kajian Impak Perlaksanaan Program Keusahawanan di institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia, yang bertujuan untuk mengkaji keberkesanan inisiatif di bawah Pelan Strategik Keusahawanan IPT 2016-2020 dan pada masa yang sama, memperincikan hala tuju pelan strategik yang baharu, melalui analisa kritikal terhadap penerimaan dan prestasi semasa, isu, cabaran dan jurang serta impak kepada pewujudan ekosistem kondusif komuniti.
Menurut Dr.Suraya, antara salah satu fokus utama dalam sesi ini ialah untuk menangani isu di antara Job Creater dan Job Seeker yang sedang hangat diperkatakan pada masa kini. Beberapa perkara asas yang dicadangkan untuk diberikan perhatian seperti pendedahan ilmu keusahawanan di peringkat pengajian rendah dan latihan keusahawanan yang komprehensif serta berstruktur diperkasakan di peringkat pengajian tinggi bagi membantu anjakan minda mahasiswa dan graduan pada masa kini.
Dalam pada itu pendekatan terbaik, penilaian semula dasar serta inisiatif, analisis kekangan, peluang penambahbaikan serta ekosistem dan pembudayaan keusahawanan antara elemen penting yang ditekankan supaya mampu melahirkan mahasiswa dan graduan usahawan yang berdaya saing pada masa akan datang.
“Walau apa-apa pun yang dipilih. kedua-dua mind set ini tetap menyumbang kepada pembangunan negara dan yang membezakan adalah cara kerja, usaha serta hasil yang diperolehi adalah mengikut daya saing dan ketahanan masing – masing,” katanya.
Bagi Pengarah Pusat Keusahawanan (MyPACE), Prof Madya Ts. Dr. Hadi Manap berkata, pihaknya menganjurkan pelbagai program bagi memberi peluang mahasiswa mendalami ilmu keusahawanan agar lebih bersedia untuk menawarkan perkhidmatan dan perniagaan yang terbaik kepada golongan sasaran juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Penganjuran program ini sebagai inisiatif dalam menyuburkan dan membudayakan aktiviti keusahawanan di UMP.
Manakala bagi siswazah Sarjana Kejuruteraan Kimia, Mohd Nazarni Che Isa, program ini amat memberi manfaat buat mahasiswa. Malahan untuk menjadi Job Creator adalah bukan satu yang mudah tetapi tidak mustahil. Ianya boleh bermula dengan sekecil –kecil perniagaan bagi mendapatkan pengalaman dan merasai tahap ketahanan, sebelum mengorak langkah untuk meneroka aktiviti perniagaan yang berskala besar.
Lebih 30 orang mahasiswa yang terpilih merangkumi pelbagai bidang dan tahun pengajian berlangsung selama satu hari yang mana ianya dimulakan dengan sesi perbincangan bersama pengurusan Pusat Keusahawanan pada sebelah pagi bagi mendapatkan maklumbalas dan isu – isu utama keusahawanan seperti berkaitan fungsi, skop dan polisi keusahawanan.
Dalam pada itu, program pada sebelah petangnya melibatkan sesi bersama mahasiswa dan penyelaras keusahawanan fakulti yang lebih berfokuskan kepada pembelajaran dan ilmu keusahawanan yang diperolehi di universiti.
Disediakan oleh Noor Syahidah Sabran daripada Pusat Keusahawanan UMP dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat.
- 83 views