Jelajah Prihatin UMPSA cakna keperluan pelajar bakal mendaftar
KELANTAN, 20 September 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyantuni pelajar baharu yang berkeperluan sebagai inisiatif dan memudah cara urusan pendaftaran mereka pada 28 September akan datang.
Malahan, UMPSA sentiasa cakna dan peka akan keperluan mereka mendaftar sehinggalah bergraduasi kelak terutamanya terhadap kebajikan sepanjang pengajian.
Melalui kerjasama erat Kementerian Pendidikan Tinggi, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Yayasan UMPSA, fakulti dan rakan-rakan kolaborasi strategik, Skuad Ziarah Prihatin UMPSA telah digerakkan bagi membantu memudah cara urusan kewangan dan pendaftaran di UMPSA.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, universiti dan Yayasan UMPSA sentiasa prihatin dalam menghulurkan bantuan buat pelajar berkeperluan dalam meringankan beban mereka terutamanya di awal pengajian semasa melangkah masuk ke menara gading.
“Pada masa ini, Skuad Ziarah Prihatin UMPSA telah memulakan siri jelajah mulai 18 hingga 27 September ke seluruh negara.
“Sehingga kini, seramai 162 bakal pelajar berkeperluan telah dikenal pasti dan seramai 30 pelajar miskin telah dihubungi pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan disusuli dengan Program Ziarah Prihatin untuk mengenal pasti keperluan pendaftaran pelajar termasuk pengangkutan ke universiti,” ujarnya.
Bagi bakal pelajar, Muhammad Nasrullah Che Hussin dari Kota Bharu, yang menerima Bantuan Siswa SULUNG 3.0, beliau melahirkan rasa bersemangat dan teruja untuk mendaftar tidak lama lagi.
Begitu juga dengan Muhammad Syadiqin Mohamed Rabbani juga dari Kota Bharu yang merupakan bakal pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) yang menerima bantuan Dermasiswa B40 TVET.
Sementara itu, Mohamad Hasif Haqimie Cik Lah dari Ketereh, bakal pelajar Fakulti Komputeran (FK) yang menerima bantuan Dermasiswa B40 TVET turut bersyukur dan gembira dengan kunjungan dari pihak UMPSA.
“Alhamdulillah, bantuan yang diterima sangat membantu kerana keadaan keluarga saya yang tidak berkemampuan dari segi kewangan,” tambahnya lagi.
Anak ketiga dari enam orang adik-beradik itu juga berazam untuk menjadi pelajar yang berdisiplin demi mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang pensyarah.
Malah, beliau juga ingin menjadi mahasiswa yang berdisplin dan mendedikasikan diri saya sebagai pelajar yang cemerlang dengan harapan dapat membahagiakan ibu bapa saya serta berjaya dalam pelajaran sepanjang pengajian di UMPSA.
Turut sama menerima manfaat, Nur Afifah Usup dari Bukit Rakit, Terengganu yang merupakan bakal pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), beliau menerima bantuan Dermasiswa B40 TVET.
Lain-lain penerima, Wan Nur Syafikah Wan Ahmad bakal mahasiswa Fakulti Pengurusan Industri (FPI) di Tumpat yang menerima bantuan Derma Siswa B40 TVET, Insentif Pendidikan dan Bantuan Komputer Riba.
Skuad Ziarah Prihatin UMPSA turut ke Tanah Merah Kelantan bagi menemui Muhammad Najmi Farhat Marzam yang merupakan bakal pelajar Fakulti Komputeran (FK) dan menyampaikan bantuan Derma Siswa B40 TVET dan Insentif Pendidikan bagi menampung pengajiannya di UMPSA.
Menurut Hasif Haqimie Cik Lah pula, sebagai penerima sumbangan, beliau amat berterima kasih kepada pihak UMPSA yang cakna dengan nasib bakal pelajar sepertinya.
Terdapat tiga jenis bantuan yang disalurkan kepada pelajar yang berkelayakan iaitu Dermasiswa B40 TVET, Bantuan Komputer Riba dan Siswa Sulung 3.0.
Bagi pelajar yang menerima Dermasiswa B40 TVET, Yuran Pengajian Setiap Semester akan ditanggung sepenuhnya kecuali Yuran Penginapan Asrama dan pelajar akan menerima Elaun Sara Diri sebanyak RM730.00 (diploma) dan RM800.00 (ijazah sarjana muda).
Manakala Bantuan Komputer Riba pula disalurkan kepada pelajar yang berkeperluan sekiranya pelajar mempunyai kekangan kewangan untuk membeli komputer riba.
Lebih menarik, seramai 150 pelajar lepasan diploma, matrikulasi, politeknik, Kolej Vokasional dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang cemerlang dan terpilih menyambung pengajian di UMPSA juga bakal menerima Insentif Kecemerlangan Yayasan UMPSA bagi sesi akademik pada tahun ini.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat