Skip to main content

Jom Masuk U 2024 buka tirai memulakan siri jelajah ke 10 zon di seluruh negara

PERAK, 3 Mei 2024 - Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024) memulakan siri jelajah kesepuluh zon di seluruh negara bermula 3 Mei hingga 9 Jun 2024 dengan majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar baru-baru ini. 

JMU2024 merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan maklumat kemasukan ke institusi pendidikan tinggi (IPT) selain menggalakkan pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Jom Masuk U 2024 buka tirai memulakan siri jelajah ke 10 zon di seluruh negara

Turut sama hadir pada majlis Perasmian JMU 2024, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, reruai UMPSA berada di sepuluh lokasi mengikut jadual yang ditetapkan dan UMPSA akan menjadi tuan  rumah penganjuran JMU 2024 pada 1 dan 2 Jun 2024 nanti di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.  
“UMPSA menawarkan pelbagai program Sarjana Muda Teknologi (BTech) yang bersesuaian dan khusus untuk pelajar lepasan Diploma TVET,” katanya. 

Beliau juga turut mengalu-alukan pelajar lepasan diploma politeknik untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda (Teknologi Kejuruteraan) dalam bidang TVET di UMPSA dan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN). 

Selain itu, UMPSA juga menawarkan program Asasi Sains dan Teknologi dan pelajar berpeluang mengikuti pengajian ijazah dual  dalam program kerjasama dengan institusi di Jerman, China dan Kazakhstan serta Korea pada masa akan datang. 

Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan sepanjang JOM MASUK U 2024 berlangsung antaranya pameran, sesi konsultasi UPUOnline®, konsultasi penajaan/biasiswa/pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi, terjah booth IPTA, cabutan bertuah, campus tour, persembahan pelajar, aktiviti bersama alumni dan banyak lagi.
Penganjuran JMU2024 ini dapat mempromosikan maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh IPT di bawah KPT yang merangkumi Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta penglibatan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

JMU2024 menyasarkan kumpulan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan diploma/setaraf.
Sepanjang program JMU2024, calon-calon lepasan SPM dan STPM/Setaraf turut boleh memohon dan mengemas kini permohonan UPUOnline® yang telah dibuka pada permohonan Fasa 2 mulai 29 April 2024 hingga 9 Jun 2024, jam 5.00 petang.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri