JP&I anjur taklimat Geran Dana Penyelidikan UMP
PEKAN, 20 Oktober 2021 – Bagi memberikan input-input terkini berkaitan penambahbaikan garis panduan geran-geran penyelidikan UMP, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi telah menganjurkan sesi taklimat Geran Dana Penyelidikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) secara dalam talian menerusi aplikasi Microsoft Team.
Taklimat telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Dekan Penyelidikan, Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim, Dekan Inovasi Industri, Profesor Madya Dr. Abdul Adam Abdullah dan wakil Dekan Pengkomersialan, Nurul Haida Idrus.
Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi, penambahbaikan garis panduan geran-geran penyelidikan UMP adalah sebagai inisiatif merangka semula penawaran geran-geran penyelidikan yang ditawarkan melalui dana UMP bagi membolehkan skim geran-geran ini meliputi keseluruhan keperluan yang merangkumi aspek penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan.
“Inisiatif ini sekali gus menerobos kepada Technology Readiness Level (TRL) satu hingga sembilan yang melibatkan penyelidikan asas, percambahan idea dan konsep baharu, pembangunan prototaip dan produk, prapengkomersialan dan seterusnya pengkomersialan.
“Selain itu, ia juga bagi menyokong inisiatif dan aktiviti dalam menjayakan Pelan Strategik UMP25 bagi Objektif Strategik 2: Inovasi dengan Kolaborasi Industri dan Objektif Strategik 3: Penerokaan Teknologi Berimpak Tinggi.
“Kita juga mahu menggalakkan pembudayaan penyelidikan, pemindahan ilmu dan teknologi yang telah dijana di UMP.
“Di samping itu, kita ingin memperluas dan memperkukuhkan ilmu pengetahuan, penghasilan penerbitan yang bermutu dan produk yang diiktiraf,” katanya.
Tambah beliau lagi, penambahbaikan juga adalah bagi memperjelaskan tadbir urus geran dan kewangan penyelidikan UMP dengan garis panduan yang jelas dan terperinci dan pemantauan hasil penyelidikan yang berimpak tinggi.
Dalam taklimat itu, JP&I berharap dengan penawaran kepelbagaian geran penyelidikan melalui dana UMP itu mampu menghasilkan inisiatif yang mampan bagi memacu perkembangan penyelidikan dan inovasi universiti untuk manfaat Bersama.
Disediakan oleh: Idayu Mat Ali, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Nur Hartini Mohd Hatta, Hafizatulazlin, Penerbit UMP
- 87 views