Kaloborasi UMP dan Haro Sports dalam bidang pembuatan kenderaan sukan permotoran
Pekan, 30 Ogos- Universiti Malaysia Pahang (UMP) dilihat sebagai institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia yang akan memiliki kepakaran dan menjadi pengeluar utama model kenderaan sukan permotoran bagi Formula Comet melalui penawaran pembuatan kenderaan sukan permotoran kepada umum yang berminat untuk terlibat dalam sukan permotoran ini.
Kerjasama dengan Haro Sports & Entertainment Sdn Bhd (Haro Sports) dalam teknologi kejuruteraan automotif yang dimilikinya ini bakal meneroka prospek pengembangan industri permotoran dan perlumbaan bersama rakan sinergi sama ada dari sektor awam atau swasta. Ianya membabitkan penyelidikan dan pemindahan teknologi permotoran dan perlumbaan kepada para pengajar dan pelatih yang terdiri daripada pelajar dan staf UMP sendiri.
Selain itu, membuka peluang kepada pelajar UMP yang terpilih untuk menceburkan diri dan meningkatkan kemahiran dalam pembangunan dan penyelidikan kenderaan sukan permotoran Formula Comet serta pengurusan program dan acara perlumbaan. Ianya selaras dengan agenda UMP dalam memasyarakatkan teknologi dan menggalakkan kerjasama dua hala dengan pihak industri bagi memperkasa Pendidikan Teknikal & Vokasional (TVET) negara.
Majlis menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani Ahli Lembaga Pengarah UMP (mewakili Senat), Dato’ Ts Dr.Rosli Mohd. Yunus dan Dekan Inovasi Industri, Prof Madya Dr Abdul Adam Abdullah. Manakala Pengarah Urusan Haro Sports, Fahrizal Hasan dan Pengurus Besar Haro Sport, Mohamad Yamin Ahmad Shafie hadir mewakili Haro Sports.
Menurut Dato’ Ts Dr.Rosli, pihak universiti berbangga dengan inisiatif Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC) dalam berkaloborasi dengan pihak HARO Sports bagi meningkatkan pertukaran teknologi dalam bidang pembuatan kenderaan sukan permotoran.
“Sukan bermotor perlu dilihat sebagai satu ekosistem yang melibatkan pembangunannya sebagai satu industri. Pembangunan bukan hanya untuk kenderaan, pemandu atau penunggang tetapi juga individu yang terlibat dibelakang tabir. Mereka inilah merupakan tulang belakang pasukan. “Unsung heroes,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak.
Ujarnya, ianya bersesuaian dengan pembentukan pelan pembangunan pendidikan berteraskan TVET, Learning Factory dan Teaching Factory kepada pelajar khasnya dan negara amnya yang wajar dilaksanakan dengan wujudnya penglibatan wakil industri secara berterusan.
Manakala bagi Fahrizal, Formula Comet ini juga dilihat sangat berpotensi besar untuk berjaya memandangkan terdapat keperluan dan permintaan yang tinggi bagi membangunkan satu peringkat sukan permotoran seperti Formula Comet ini. Potensi dalam mengembangkan pasaran terhadap kejohanan sukan permotoran Formula Comet ini telah dikenalpasti akan lebih meluas yang mensasarkan kepada negara di rantau Asia Tenggara, Pasifik dan Asia Timur.
Katanya, hasil daripada usaha ini seterusnya dapat menyediakan peluang kerjaya dan latihan industri dalam bidang permotoran dan perlumbaan secara global yang menjamin pendapatan yang tinggi kepada bakal graduan UMP dan seterusnya dapat meningkatkan kebolehpasaran dan melahirkan graduan yang berkualiti. Selain itu, kerjasama ini juga membuka jaringan prospek yang lebih luas, terutamanya dengan rakan-rakan antarabangsa yang berkredebiliti lagi berpotensi.
Dalam majlis yang sama turut menyaksikan penyerahan kenderaan lumba Toyota 86 oleh pihak Haro Sports kepada UMP yang berlangsung di Dataran Bangunan Canseleri UMP Pekan.
- 144 views